Sunday 19 October 2014

you are beautiful





LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE JABATAN KIMIA MALAYSIA CAWANGAN NEGERI MELAKA

LAPORAN
LAWATAN AKADEMIK:

(JABATAN KIMIA MALAYSIA CAWANGAN NEGERI MELAKA)

Pada 18 Ogos 2014, guru pelatih PISMP Sains Januari 2011, semester 8 telah mengadakan lawatan ke Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Negeri Melaka. Lawatan ini telah disertai oleh 17 orang guru pelatih dan 2 orang pensyarah pengiring. Antara objektif lawatan ini adalah seperti yang berikut.

Objektif Program     :

1)   Memenuhi sukatan pelajaran dan amali subjek ‘Sains Teknologi dan Masyarakat’           (SCE 3143) yang ditetapkan oleh IPGM pada semester ini.
2)   Untuk memenuhi keperluan tugasan kerja kursus projek bagi subjek ‘Sains Teknologi dan Masyarakat’.
3)   Untuk mempelajari dan mengukuhkan fahaman tentang isu-isu penggunaan bahan kimia sebagai bahan tambah dalam makanan berserta kesannya terhadap manusia.
4)   Melihat secara lebih dekat teknologi yang digunakan untuk mengenal pasti bahan tambah dalam makanan.
5)   Sebagai salah satu wadah untuk guru pelatih menghargai pembangunan teknologi dan kesan positifnya kepada masyarakat.

Sebelum memulakan lawatan, kertas kerja dihasilkan terlebih dahulu dan semua jawatankuasa telah menjalankan tugas masing-masing. Dalam memastikan lawatan ini berjalan lancar, guru pelatih telah berkomunikasi dengan pihak dari Jabatan Kimia mengenai aktiviti yang ingin dijalankan di sana. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti tentatif yang berikut.

Masa
Aktiviti
Tempat
9.00 pagi
Ketibaan guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu
Lobi JKMC Melaka


9.05 pagi
Taklimat Keselamatan OSH
Oleh Pengurus OSH Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Melaka
(En. Jayasilan a/l Sinnathurai)


Dewan PLKM, Aras 2
Tayangan Video Korporat Jabatan Kimia Malaysia
Sesi Pembentangan ‘Safety Food’
(En Najif Bin Rahman)
10.00 pagi
Sesi Lawatan ke Makmal Makanan
Makmal Makanan, Aras 1
Sesi demonstrasi analisis
Bilik Peralatan PLKM, Aras 2
12.30 tengah hari
Bersurai


Semua jawatankuasa menjalankan tugas masing-masing sepanjang proses lawatan berlangsung. Jawatankuasa makanan telah mengagihkan botol mineral kepada semua guru pelatih PISMP Sains Januari 2011, 2 orang pensyarah pengiring dan seorang pemandu bas sebelum bergerak ke Jabatan Kimia. Selain itu, jawatankuasa dokumentasi pula bertugas membuat rakaman video dan mengambil gambar sepanjang berada di sana. Jawatankuasa aktiviti mencatat dan mengumpulkan hasil analisis bahan tambah makanan yang telah dilakukan bersama pihak Jabatan Kimia Negeri Melaka.

            Oleh itu, pada jam 8.15 pagi kesemua guru pelatih dan pensyarah pengiring bertolak dari IPG Kampus Perempuan Melayu dan tiba di Jabatan Kimia tepat jam 8.45 pagi. Kami telah disambut dengan penuh ramah dan mesra oleh staf-staf Jabatan Kimia yang menyambut kedatangan kami di sana.

Laporan Aktiviti / Setiap Pengisian:-

Aktiviti 1 : Taklimat Keselamatan OSH

Pada permulaan lawatan kami di Jabatan Kimia, kami telah diiringi oleh En. Aidil Fahmi bin Shadan ke Dewan PLKM di aras 2 Jabatan Kimia. Selepas beliau memberikan ucapan bagi mengalukan kedatangan kami di sana, kami telah diberikan taklimat ringkas mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan terlebih dahulu. Taklimat ini telah disampaikan oleh En. Jayasilan a/l Sinnathurai iaitu Pengurus OSH Jabatan Kimia Negeri Melaka. Taklimat ini diadakan bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada kami dari aspek keselamatan sekiranya berlaku kebakaran sepanjang kami berada di situ. Selain itu, kami juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan sepanjang berada di makmal dan bilik peralatan bagi mengelakkan kecederaan atau kebakaran berlaku. Syukur Alhamdulillah, segala aktiviti dapat dijalankan dengan baik sepanjang kami berada di sana.

En. Jayasilan a/l Sinnathurai telah memberikan taklimat keselamatan kepada kami.

Aktiviti 2 : Tayangan Video Korporat JKM

Kemudian, pihak Jabatan Kimia Melaka telah menayangkan video korporat kepada kami bagi memperkenalkan organisasi Jabatan Kimia Malaysia. Jabatan Kimia Malaysia merupakan badan yang bergerak dibawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan mempunyai 6 fungsi bahagian iaitu bahagian Forensik, Kesihatan Alam Sekitar, Penyelidikan & Jaminan Kualiti, Industri & Klasifikasi Tarif Dagangan, Pembangunan & Maklumat Teknologi dan Khidmat Pengurusan & Sumber Manusia. Jabatan Kimia juga mempunyai beberapa cawangan di sekitar semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak.

Aktiviti 3 : Sesi Pembentangan ‘Safety Food’

Aktiviti seterusnya pula ialah sesi pembentangan mengenai ‘Safety Food’ yang telah disampaikan oleh En. Najif bin Rahman selama 40 minit. Pada sesi ini, beliau telah memperkenalkan kami mengenai keselamatan makanan iaitu makanan yang bersih daripada bahan kimia, kuman berbahaya, racun, toksin, najis dan bahan buangan yang lain. Beliau juga telah menyampaikan input-input mengenai aditif dan kontaminan dalam makanan termasuklah bahan pengawet, bahan pewarna, bahan pemanis tanpa zat, bahan perisa, antipengoksida, perapi makanan dan bahan tambah dalam makanan. Kontaminan merujuk kepada sisa racun serangga, logam berat, mikotoksin, antibiotik dan 3-mcpd. Selepas sesi pembentangan, sesi soal jawab antara guru-guru pelatih dan En. Najif bin Rahman berjalan dengan lancar dan perbincangan yang aktif berlaku sepanjang sesi soal jawab. Hal ini menunjukkan guru-guru pelatih fokus dan tertarik dengan isu yang telah disampaikan oleh pegawai JKM. Sesungguhnya, banyak ilmu yang telah kami peroleh mengenai bahan tambah dalam makanan dan kesannya kepada kami sepanjang berada di sana. Lawatan ini sememangnya telah membuka minda guru pelatih untuk terus mengkaji dan meneliti secara terperinci mengenai makanan-makanan yang berada di pasaran sekarang.

Sesi Pembentangan telah disampaikan oleh En Najif bin Rahman 
mengenai ‘Safety Food’ yang merangkumi aspek bahan tambah dalam makanan.

Aktiviti 4 : Sesi Lawatan ke Makmal Makanan

Selepas sesi pembentangan, kami telah dibawa ke makmal makanan di aras 1 Jabatan Kimia Melaka. Sepanjang berada di makmal, kami berpeluang untuk melakukan demonstrasi mengenai bahan pewarna dalam makanan menggunakan peralatan di sana. En Najif telah memperkenalkan kami kepada pelatih di sana iaitu Nur Izyan bagi menunjukkan demonstrasi dan membimbing kami melakukan analisis bahan pewarna dalam kordial minuman. Sesi ini sememangnya telah memberikan banyak pendedahan kepada kami mengenai pewarna yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam kordial minuman khususnya.

Cik Nur Izyan telah memberikan taklimat terlebih dahulu mengenai 
proses dalam menentukan bahan pewarna dalam makanan 
dengan melibatkan 3 proses iaitu Extraction, Separation dan Confirmation.

Bahan-bahan yang diperlukan sebelum memulakan
 proses mengestrak bahan pewarna dalam makanan.

Cik Nur Izyan menunjukkan langkah-langkah untuk 
mengekstrak bahan pewarna kepada kami.

Bahan pewarna tersebut kemudian dianalisis 
menggunakan peralatan UV Spectrophotometer.

Aktiviti 5 : Sesi Demonstrasi Analisis

Pada sesi yang terakhir, kami telah dibawa ke bilik peralatan PLKM, Aras 2 untuk menganalisis bahan tambah seperti pewarna dalam teh. Dalam proses ini kami dapat menilai teh yang menggunakan pewarna dan teh yang menggunakan bahan asli iaitu daun teh dalam tabung uji yang berisi air suling dan serbuk teh. Selain itu, En Najif juga telah menunjukkan demonstrasi penggredan beras di Malaysia yang melibatkan proses mengukur tahap kerosakan, kematangan dan kandungan benda asing dalam beras bagi menentukan gred beras kepada gred 5 dan gred 10. Walaupun kami tidak dibenarkan untuk menangkap gambar di dalam kawasan tersebut namun kami berasa sungguh bertuah dan bersyukur kerana diberi peluang untuk melihat proses analisis penggredan beras dan analisis bahan pewarna dalam teh. Sebelum bersurai, kami telah menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada pihak Jabatan Kimia Malaysia kerana sudi menerima kami dan memberikan tunjuk ajar sepanjang lawatan akademik berlangsung.

 Pn Hjh Fatimah menyampaikan cenderamata dari pihak IPG KPM 
kepada En Najif bin Rahman iaitu wakil dari Jabatan Kimia Melaka.

Selepas berakhirnya sesi terakhir bagi aktiviti yang telah dijalankan oleh Jabatan Kimia kepada para pengunjungnya, maka kami menamatkan sesi lawatan tersebut pada jam 2.00 petang. Selepas lawatan tersebut tamat, kami telah menjalankan sesi refleksi di dalam kelas pada keesokan harinya mengenai lawatan yang telah dijalankan pada hari tersebut. Sesungguhnya, ilmu yang kami perolehi sepanjang berada di sana tidak mungkin dapat kami peroleh di dalam kelas. Dengan menggunakan teknologi yang canggih dan penerangan yang mantap daripada pihak Jabatan Kimia Melaka telah membuka mata dan minda kami mengenai bahan tambah dalam makanan.

Sesi pengambaran guru pelatih dan pensyarah

 bersama En Najif bin Rahman 

Selepas lawatan ini, kami telah pulang ke kampus dengan penambahan ilmu bagi tajuk ‘Bahan Tambah Makanan’ dengan lebih mendalam. Seterusnya, segala bahan yang didokumentasikan sepanjang lawatan dilakukan diterjemahkan ke dalam bentuk laporan dokumentasi bagi tujuan penambahbaikan bagi sesi akan datang dan dijadikan sebagai bahan rujukan bagi guru pelatih yang akan datang. Setiausaha lawatan iaitu Fadhlin Zahirah binti Suhimi dan Bahjatu Sholihah binti Raman telah bersama-sama menyediakan laporan bagi lawatan ke Jabatan Kimia Negeri Melaka. Semoga lawatan yang telah dijalankan ini memberi manfaat kepada semua guru pelatih PISMP Sains Januari 2011 terutama dari aspek pedagogi dan pengetahuan sains pemakanan dalam meniti kehidupan sebagai seorang guru kelak.








LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE PETRONAS PENAPISAN (MELAKA) SDN. BHD.

LAPORAN
PENGISIAN AKTIVITI
LAWATAN ILMIAH
PETRONAS PENAPISAN (MELAKA) SDN. BHD.

Lawatan akademik ini telah berlangsung pada Rabu, 27 Ogos 2014  dengan jayanya di Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. (PPMSB) yang bertempat di Bangunan Pentadbiran Persiaran Penapisan, 76300 Sungai Udang, Melaka. Lawatan ini dijalankan dengan matlamat untuk melahirkan guru yang mempunyai kefahaman yang lebih mendalam mengenai tenaga yang tidak boleh diperbaharui iaitu petroleum. Program ini juga bermatlamat membuka minda guru pelatih tentang teknologi yang diaplikasikan untuk memproses dan menapis minyak mentah dan penggunaannya.

Objektif utama lawatan akademik ini adalah untuk memenuhi sukatan pelajaran bagi subjek ‘Sains, Teknologi dan Masyarakat’ (SCE 3143) yang ditetapkan pada semester ini disamping memberi peluang kepada guru pelatih untuk mempelajari dan mengukuhkan kefahaman berkaitan tenaga petroleum (tenaga alternatif) serta penggunaannya. Selain itu, lawatan akademik ini juga dapat menjadi salah satu wadah untuk guru pelatih menghargai pembangunan teknologi dan kesan positifnya kepada masyarakat. Satu objektif tidak dapat dicapai iaitu untuk memberikan pengalaman sebenar berkaitan proses-proses yang dijalankan di Petronas Penapisan kepada guru pelatih berikutan peraturan baru Petronas Penapisan yang tidak membenarkan lawatan ke tapak proses mulai tahun 2014.

Program lawatan ini disertai oleh 17 orang guru pelatih PISMP Sains Ambilan Januari 2014 dengan diiringi oleh 2 orang pensyarah pengiring iaitu Pn. Fatimah binti Yusof dan Pn. Rohaya binti Mee. Sepanjang program lawatan ini berlangsung, kumpulan kami telah disambut oleh wakil pihak Petronas iaitu YM Tunku Mukhriz bin Tunku Zainudin daripada Unit Perhubungan Korporat PPMSB Yang juga  bertanggungjawab untuk mengendalikan program lawatan ini secara keseluruhannya.  Program lawatan ini turut disertai oleh kumpulan pelajar dan guru daripada Kolej Yayasan Saad yang turut melakukan lawatan pada hari yang sama memandangkan PPMSB hanya dibuka untuk program lawatan pada hari Rabu sahaja setiap minggu.

Pintu Utama Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd.

Kami tiba di PPMSB pada pukul 8.50 pagi dan terus diarahkan oleh pengawal keselamatan untuk menuju ke dewan utama. Sebaik sahaja tiba di dewan utama, kami disambut oleh wakil Petronas Penapisan yang kemudiannya memaklumkan tentang masalah teknikal yang berlaku dan kami diminta untuk menunggu sebentar di lobi dewan utama.  Masalah teknikal berlarutan sehinggakan sesi kudapan diawalkan menjadi sarapan pagi. Pada pukul 10.15 pagi, barulah kami dipanggil masuk ke dewan untuk sesi seterusnya. Video keselamatan ditayangkan bagi memenuhi keperluan akreditasi keselamatan Petronas. Video tersebut menekankan aspek-aspek keselamatan yang perlu diikuti oleh pengunjung sepanjang berada di premis PPMSB.

Tayangan Video Keselamatan Petronas Penapisan.

Selepas persembahan video keselamatan, acara diteruskan dengan sesi penerangan dan perbincangan yang dikendalikan oleh wakil PPMSB.  Peserta lawatan dimaklumkan tentang jenis-jenis minyak mintah yang diproses di PPMSB iaitu sweet crude oil yang mengandungi kandungan sulfur rendah dan sour crude oil yang mengandungi kandungan sulfur tinggi. Antara pihak pengeluar bahan bersumberkan petroleum  yang berurusan dengan Petronas Penapisan termasuklah Petronas, Shell, Petron, Carltex dan BHP.

Petronas penapisan beroperasi sejak 1994 dan menjalankan PSR 1 yang menggunakan tenaga yang disalurkan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) diikuti PSR 2 pada 1999. Mulai 2007, Cogen pula diperkenalkan dan dijalankan di PPMSB melalui penjanaan tenaga sendiri oleh PPMSB untuk menampung segala aktiviti dan proses yang dijalankan bagi mengatasi kebergantungan terhadap tenaga daripada TNB sekaligus mengurangkan kos pengeluaran diikuti MG3 pada 2008. Minyak mentah diproses di PPMSB melalui 4 proses utama iaitu separation, conversion, treating dan blending. Produk yang dihasilkan di PPMSB boleh dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu LPG, MG3, mogas, kerosene, diesel dan bitumen.

Penerangan berkaitan Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. 
oleh wakil Petronas Penapisan.

PPMSB juga menjalankan program-program sosial di bawah Corporate Social Resourse (CSR) yang terbahagi kepada 3 bahagian iaitu pendidikan, pembangunan persekitaran dan pembangunan sosial. Bagi bahagian pendidikan, PPMSB telah menjalankan program sekolah angkat bagi 3 buah sekolah berdekatan. Selain itu, sekolah-sekolah lain juga berpeluang untuk melibatkan PPMSB dalam program berupa kesedaran keselamatan, kesedaran penyalahgunaan dadah dan program motivasi di sekolah menengah. Bagi bahagian perkembangan persekitaran pula, pihak PPMSB sentiasa menjalankan aktiviti pengawasan kualiti air dan paras air laut di kawasan perhampiran. Selain itu, pelbagai program turut dijalankan bagi memenuhi keperluan perkembangan sosial melalui program seperti latihan kecemasan, karnival sukan, program hari kesihatan, sambutan perayaan dan program sentuhan kasih yang  melibatkan komuniti setempat termasuklah penghuni rumah orang-orang tua berdekatan.

Peserta lawatan tekun mendengar penerangan.

Selepas tamat sesi pembentangan, wakil PPMSB membuka sesi soal jawab. Pelbagai soalan telah diajukan oleh kedua-dua kumpulan lawatan. Antara soalan yang diakui popular dan sering disuarakan oleh pelawat lain ialah perancangan pihak Petronas selepas berakhirnya bekalan petroleum negara. Wakil tersebut mengakui kebergantungan pihak Petronas terhadap petroleum. Menurut beliau, Petronas masih dalam usaha mengkaji tenaga alternatif yang boleh dijadikan pengganti bagi petroleum disamping menggiatkan usaha mencari telaga petroleum baru di perairan negara. Apabila ditanya tentang kelebihan perol yang dikeluarkan oleh petronas berbanding syarikat pengeluar petrol lain disamping perbandingan antara petrol RON95 dan RON97, beliau menegaskan bahawa Petronas hanya mengeluarkan petrol RON97 sahaja. Namun, yang mencipta perbezaan ialah bahan tambahan rahsia yang digunakan oleh setiap syarikat bagi melariskan produk keluaran mereka.

Sesi Soal Jawab

Program lawatan ditutup secara rasmi selepas acara penyampaian cenderamata dan sesi bergambar bersama pihak petronas. Guru pelatih juga sempat melahirkan hasrat untuk meneruskan kerjasama dengan pihak Petronas bagi menjalankan program-program di sekolah yang melibatkan Petronas apabila berkhidmat di sekolah kelak. Hasrat tersebut telah disambut baik oleh pihak petronas. Adalah sangat iharapkan agar semua guru pelatih dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang lawatan ini dengan baik untuk diaplikasikan pada masa hadapan.


Sesi Penyampaian cenderamata daripada 
Pihak IPG Kampus Perempuan Melayu


Sesi bergambar bersama wakil pihak Petronas Penapisan Melaka Sdn. Bhd.

LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE SYARIKAT AIR MELAKA BERHAD (SAMB)

LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE SYARIKAT AIR MELAKA BERHAD (SAMB)


TARIKH        : 26 OGOS 2014
MASA            : 2.30 PETANG – 5.30 PETANG

TEMPAT       : LOJI RAWATAN AIR BUKIT SEBUKOR & EMPANGAN DURIAN TUNGGAL,   MELAKA\

SEBELUM:
            Perjumpaan telah diadakan bagi menetapkan tempat yang ingin dilawati dan sebuah jawatankuasa (JK) lawatan telah dibentuk. Jawatankuasa melibatkan JK tertinggi sehinggalah JK biasa. Semua yang terlibat adalah dalam kalangan siswi guru PISMP Sains Januari 2011. Setelah JK dibentuk, Setiausaha menyediakan kertas kerja bagi mendapatkan kelulusan daripada pentadbir IPGK PM. Selain daripada kertas kerja, surat memohon kebenaran mengadakan lawatan juga telah disediakan. Satu surat telah dihantar ke Pejabat Urusan Syarikat Air Melaka dan satu lagi kepada Badan Kawal Selia Air (BAKSA) negeri Melaka. Maklum balas telah diterima, di mana kedua-dua pihak membenarkan kami membuat lawatan ke tempat mereka. JK Pengangkutan dan Peralatan juga dibentuk supaya dapat memastikan lawatan yang dirancang dapat dijalankan dengan lancar. Dua orang pensyarah pengiring dilantik, iaitu Puan Fatimah dan Puan Suziela yang mewakili Jabatan Sains.

SEMASA:
            Perjalanan lawatan bermula pada jam 2.00 petang dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak IPGK PM. Tempat yang dilawati ialah Loji Rawatan Air Bukit Sebukor dan Empangan Durian Tunggal. Pada mulanya, kami tiba di loji air pada jam 2.30 petang dan sesi lawatan diteruskan dengan taklimat ringkas mengenai loji rawatan air tersebut. Seterusnya kami dibawa melawat kawasan di mana proses-proses rawatan air dijalankan. Setelah selesai, kami dijamu dengan minuman petang. Penyerahan sijil penghargaan dan cenderahati diadakan sejurus selepas kami selesai menjamu makanan yang disediakan. Sesi bergambar bersama staf SAMB juga dilakukan sebelum bergerak ke Empangan Durian Tunggal. Kemudian, kami meneruskan lawatan ke Empangan Durian Tunggal pada jam 4.30 petang sehingga 5.30 petang. Setibanya di empangan, kami disambut oleh Juruteknik yang bertugas, iaitu Encik Zambri yang memberi penerangan mengenai fungsi dan proses yang berlaku di Empangan Durian Tunggal. Sesi lawatan ke SAMB ditamatkan di Empangan Durian Tunggal dan pulang ke IPGK PM pada jam 5.30 petang.


SELEPAS:
            Kesemua bahan yang diperolehi sepanjang lawatan dikumpul dalam satu fail untuk dikongsikan bersama rakan seunit sebagai nota rujukan. Sesi refleksi juga diadakan bersama semua ahli jawatankuasa yang sama-sama menjayakan lawatan ini bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan lawatan. Selain itu, kami mendapati bahawa hasil lawatan ini telah berupaya memenuhi objektif yang ingin dicapai pada awal perancangan. Laporan kepada pensyarah pembimbing juga disediakan untuk disemak dan dihantar.      

LAPORAN AKTIVITI 1
TEMPAT        : BILIK MESYUARAT LOJI RAWATAN AIR BUKIT SEBUKOR, MELAKA
TARIKH          : 26 OGOS 2014       
MASA             : 2.30 PETANG – 3.00 PETANG

Taklimat ini merupakan aktiviti pertama setibanya kami di Syarikat Air Melaka Berhad. Taklimat ini bermula jam 2.30 petang dan mengambil masa kira-kira setengah jam. Taklimat yang disampaikan Encik Mohd Afiq adalah berkenaan latar belakang syarikat, polisi keselamatan dan juga proses-proses yang dijalankan oleh syarikat ini dalam memberi perkhidmatan bekalan air kepada penduduk negeri Melaka.

Berdasarkan penerangan yang disampaikan, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) adalah satu-satunya syarikat sulung dalam negeri Melaka yang mengambil alih pengurusan dan pengeluaran air mentah untuk disalurkan kepada pengguna yang dianggarkan sehingga 700,000 penduduk. Bekalan air bersih yang dihasilkan adalah mencecah ke angka 16MGD. Penerangan ringkas juga diberi berkaitan proses-proses dalam menghasilkan air bersih iaitu aeration, coagulant dosing, flocculation, proses pengenapan, penapisan, chlorination, fluoridation, pH correction dan electrochlorination. Dalam sesi taklimat ini juga, para guru pelatih berpeluang bersoal jawab dengan pegawai berkenaan berkaitan dengan isu-isu air yang pernah dialami di negara kita seperti kemarau dan catuan air.

 Pegawai memyampaikan taklimat tentang rawatan air

Sesi soal jawab

Keseluruhannya, daripada sesi taklimat ini pelbagai pengetahuan yang telah diperoleh terutamanya berkaitan peranan syarikat air dan proses-proses dalam menghasilkan bekalan air bersih.

LAPORAN AKTIVITI 2
TEMPAT        : KAWASAN OPERASI LOJI RAWATAN AIR BUKIT SEBUKOR, MELAKA
TARIKH          : 26 OGOS 2014       
MASA             : 3.00 PETANG – 4.30 PETANG

Setelah berakhirnya sesi taklimat, beberapa pegawai dan juruteknik telah membawa kami untuk membuat lawatan di luar pejabat Syarikat Air Melaka Berhad. Lawatan di Loji Air Bukit Sebukor telah diketuai oleh juruteknik, Encik Salleh. Lawatan ini berlangsung hampir setengah jam.

Kawasan Operasi Rawatan Loji Air Bukit Sebukor

Encik Salleh telah menunjukkan kami beberapa kawasan yang dijadikan kawasan penapisan. Kawasan ini melalui proses penurasan. Terdapat tiga jenis penapisan iaitu Aquazor, Lamella dan Candy. Teknologi penapisan ini adalah pembuatan dari negara Jerman dan British. Penapisan Aquazor dan Lamella mempunyai enam unit masing-masing manakala penapisan Candy mempunyai tiga unit.  Tujuan proses penapisan adalah untuk mengasingkan kekotoran terampai yang masih terdapat dalam air mendapan. Semasa proses penapisan, kekotoran akan menyebabkan penapis tersekat. Malahan, proses penapisan juga mengalami proses “backwashing”  iaitu cucian yang dijalankan selepas 72 jam atau “Loss Of Head” penapis mencapai dua meter.

Para Pensyarah Dan Guru Pelatih Meninjau Kawasan Proses Penapisan


Seterusnya, kami dibawa ke bahagian electrochlorination yang ditempatkan dalam bangunan yang berbumbung. Ia telah dibina pada tahun 2011 yang menggantikan kaedah penggunaan gas klorin. Konsep yang digunakan adalah lebih selamat, lebih jimat dan efisien dari segi produktiviti dan kualiti air. Klorin yang digunakan dalam rawatan air adalah berbeza kerana sebelum ini menggunakan gas klorin manakala cecair klorin telah digantikan. Umumnya, penggunaan gas klorin adalah berbahaya berbanding cecair klorin. Proses ini berasaskan garam untuk menghasilkan sodium hypochlorite. Encik Salleh dan beberapa juruteknik telah menunjukkan garam yang digunakan dan membenarkan kami merasa garam tersebut menggunakan tangan.

Lawatan Ke Bilik Elektroklorin

Kami telah menaiki ke kawasan yang bertangga untuk melihat proses aeration. Proses aeration ini dilakukan di tempat tinggi dan terdedah. Proses ini bertujuan untuk menambahkan kandungan oksigen di dalam air serta membebaskan gas seperti karbon dioksida yang boleh menyebabkan pengaratan pada saluran paip. Selain itu, proses ini menjadikan Ferum serta Manganese tidak akan terlarut di dalam larutan air untuk proses seterusnya. Air yang mengalir ke aereator ini telah melalui rumah pam air mentah. Ini merupakan proses pertama yang dilakukan untuk mendapatkan sumber bekalan air yang bersih.

Guru Pelatih Berjalan Mengelilingi Aerator

Setelah kami membuat lawatan luar di Loji Air Bukit Sebukor, kami telah menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak Syarikat Air Melaka Berhad. Selepas itu, penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata diserahkan oleh Penyelaras Kursus, Puan Fatimah Binti Yusof kepada pihak Syarikat Air Melaka Berhad. Kami menamatkan sesi lawatan di Loji Air Bukit Sebukor dengan sesi bergambar.   

LAPORAN AKTIVITI 3

TEMPAT         : EMPANGAN DURIAN TUNGGAL, MELAKA
TARIKH          : 26 OGOS 2014        
MASA                         : 4.30 PETANG – 5.30 PETANG
Setelah tiba di Empangan Durian Tunggal, kami disambut oleh Juruteknik yang bertugas, iaitu En. Zamri. Kami menerima penerangan ringkas mengenai Empangan Durian Tunggal daripada En. Zamri. Keluasan Empangan Durian Tunggal ialah 41.4 km persegi. Yang mula beroperasi pada tahun 1974. Empangan ini merupakan empangan kedua terbesar dan di bawah jagaan Badan Kawal Selia Air (BAKSA) negeri Melaka. Pengurusan di Empangan Durian Tunggal adalah sebagai operator sahaja dan hanya akan berurusan sekiranya mendapat arahan daripada BAKSA.

Sesi lawatan diiringi oleh En. Zamri

Dua kawasan yang dilawati ialah di kawasan air limpah (spill way) dan melawat kawasan penerimaan bekalan air dari Sungai Gersik, Muar. Kawasan air limpah mempunyai tiga injap air yang digunakan untuk menyalur bekalan air semasa musim kemarau. Negeri Melaka pernah mengalami musim kemarau yang teruk pada tahun 1990 selama tiga bulan. Paras air yang ditampung sebanyak 24 juta gelen dan paras airnya ialah 28.35 meter dari paras laut. Sumber air yang diperolehi oleh empangan ini adalah daripada tiga sumber sahaja, iaitu melalui hujan, Sungai Melaka dan Sungai Gersik. 

Penerangan ringkas mengenai ‘spill way’

Pada jam 5.00 petang melawat kawasan penerimaan bekalan air dari Sungai Gersik, Muar. Air yang diterima akan membantu Empangan Durian Tunggal untuk membekalkan air ke kawasan negeri Melaka. Empangan ini juga membantu Empangan Jus untuk bekalan air. Pihak BAKSA Melaka akan memastikan bekalan air yang terdapat di empangan ini sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk penggunaan penduduk di seluruh negeri Melaka. Bagi memastikan kualiti air, pH air mestilah sesuai, iaitu tidak boleh terlalu tinggi kerana ianya akan menyebabkan air bersifat alkali.

Kawasan saluran air dari Sungai Gersik, Muar

Sesi lawatan  yang berakhir di Empangan Durian Tunggal telah memberi kami pelbagai input mengenai proses rawatan dan pembekalan air yang berlaku di negeri Melaka. Ilmu yang diperolehi sangatlah berguna kepada kami sebagai bakal guru untuk disampaikan kepada murid-murid.

LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE POLITEKNIK MERLIMAU, MELAKA

LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE POLITEKNIK MERLIMAU, MELAKA

PROGRAM                           : PISMP Sains Januari 2011.
TEMPAT                               : Politeknik Merlimau, Melaka
TARIKH                                : 4 September 2014 (Khamis)

OBJEKTIF    
§  Memenuhi sukatan pelajaran bagi subjek ‘Sains, Teknologi dan Masyarakat’ (SCE 3114) yang ditetapkan pada semester ini.
§   Untuk mempelajari dan mengukuhkan kefahaman berkaitan kestabilan struktur.
§   Melihat secara lebih dekat lagi reka bentuk dan teknologi yang membolehkan sesuatu struktur menjadi stabil.
§ Sebagai salah satu wadah untuk guru pelatih menghargai pembangunan teknologi dan kesan positifnya kepada masyarakat.

LAPORAN SEBELUM, SEMASA DAN SELEPAS LAWATAN

SEBELUM

Bagi memenuhi tuntutan sukatan pelajaran bagi subjek Sains Teknologi Dan Masyarakat, SCE 3143, kami telah berbincang dan membuat keputusan untuk membuat lawatan ilmiah ke Politeknik Merlimau, Melaka. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kami berkenaan tajuk reka bentuk dan kestabilan struktur. Perkara pertama yang dilakukan adalah menulis satu kertas kerja untuk membolehkan kami mendapat kelulusan untuk mengadakan lawatan ke Politeknik Merlimau. Setelah kertas kerja yang dihantar mendapat kelulusan daripada Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, kami telah menghubungi pihak Politeknik untuk berbincang berkenaan lawatan ini. Setelah menghantar surat permohonan mengadakan lawatan ke pihak politeknik melalui mesin faks, kami telah menghubungi pihak politeknik untuk mengetahui sama ada kami mendapat kelulusan untuk mengadakan lawatan ilmiah ke Politeknik Merlimau ataupun tidak. Kami juga perlu mengetahui pihak atau jabatan yang sepatutnya kami hubungi untuk lawatan ini. Memandangkan tujuan utama kami menjalankan lawatan ilmiah ini adalah untuk mendapat pendedahan dan penerangan mengenai reka bentuk dan kestabilan struktur, kami telah dihubungkan dengan Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Merlimau. Tidak dinafikan berlaku sedikit masalah komunikasi antara pihak Politeknik dengan kami sehingga menyukarkan pihak politeknik untuk memberi kelulusan kepada lawatan ini. Namun, setelah kami menjelaskan beberapa kali melalui panggilan telefon, akhirnya kami telah mendapat kelulusan mengadakan lawatan pada tarikh yang telah ditetapkan.

SEMASA

Kami bertolak daripada IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka pada pukul 9 pagi dan tiba di Politeknik pada pukul 9.45 pagi. Setibanya kami disana, kami telah dijemput oleh Encik Ridhuan, pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam di blok Pentadbiran Politeknik Merlimau. Kami telah dibawa ke bilik Mesyuarat Jabatan Kejuruteraan Awam dan telah dijamu dengan sarapan pagi. Kemudian kami telah diberi penerangan mengenai Jabatan Kejuruteraan oleh Tuan Haji Razali bin Johari, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam. 

Kemudian, kami telah diberi penerangan mengenai reka bentuk dan kestabilan struktur oleh pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam. Penerangan pertama diberikan oleh Puan Noraini, pensyarah seni bina berkenaan reka bentuk bangunan daripada pandangan arkitek. Dari aspek pandangan seorang arkitek, reka bentuk struktur bergantung kepada sistem struktur sesuatu bangunan. Sebagai contoh ‘column and beam system’ yang digunakan semasa mereka bentuk sesebuah bangunan. Manakala penerangan kedua oleh Encik Mohd Fazli bin Abd Rahman, pensyarah Jabatan kejuruteraan lebih menekankan kepada aspek reka bentuk dan kestabilan struktur dari aspek kejuruteraan. Beliau turut menerangkan beberapa faktor yang diambil kira semasa membina sesebuah bangunan iaitu faktor iklim, kos pembinaan, reka bentuk bangunan dan tapak. Kajian kes yang dijalankan terhadap kejadian runtuhan bangunan Highland tower turut dibentangkan semasa sesi ceramah dijalankan. Sesi soal jawab berlaku secara aktif kerana siswi guru banyak mengutarakan soalan-soalan yang berkaitan dengan reka bentuk dan kestabilan struktur kepada pensyarah di Jabatan Kejuruteraan awam.

Setelah sesi taklimat dan penerangan tamat, kami telah dibawa ke Pameran Reka Bentuk Kiosk Menjual Peralatan Sukan, projek yang dijalankan oleh pelajar semester 3. Pameran ini turut mempamerkan koleksi model struktur kiosk yang telah dibina oleh pelajar Politeknik.

SELEPAS

 Lawatan kami di Politeknik tamat tepat pukul 12 tengah hari. Sesi fotografi bersama ketua dan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam sebagai kenangan lawatan ini. Selepas lawatan, satu laporan lengkap perlu dibuat sebagai bukti lawatan ini dijalankan. Penulisan reflektif mengenai lawatan ini perlu dibuat untuk menilai kekuatan dan kelemahan sepanjang lawatan ini dijalankan dan cadangan penambahbaikan yang boleh diambil untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Impak lawatan ilmiah terhadap diri sendiri untuk dibawa ke sekolah, masyarakat dan Negara turut diulas dalam penulisan reflektif. 

LAPORAN AKTIVITI

PENERANGAN TENTANG POLITEKNIK MERLIMAU OLEH KETUA JABATAN KEJURUTERAAN AWAM

Pada hari berkenaan, kami tiba di perkarangan Blok Pentadbiran Politeknik Merlimau pada pukul 9.45 pagi dan disambut oleh En.Ridhuan, Pensyarah Jabatan Seni Bina. Setibanya di bilik mesyuarat Jabatan kejuruteraan, kami telah diberikan penerangan mengenai Politeknik Merlimau oleh Tuan Haji Razali bin Johari, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam. Kami telah ditayangkan dengan slaid ‘Power point’ berkenaan  Jabatan Kejuruteraan Awam yang menawarkan dua bidang Program pada peringkat Diploma dan dua bidang bidang pada peringkat Sijil. Program yang ditawarkan adalah Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma senibina, Diploma Geomatik dan Sijil Kejuruteraan Awam. Sehingga Mei 2010, terdapat seramai 70 orang Pensyarah Jabatan Kejuruteraan awam. Bilangan pelajar yang mengikuti bidang program yang ditawarkan adalah sebanyak 1045 orang. Jabatan Kejuruteraan Awam mempunyai system pengurusan yang tersusun dengan diketuai oleh Ketua Jabatan. Ketua-Ketua Program, Pensyarah dan Kakitangan Sokongan. Penerangan mengenai kejayaan-kejayaan pelajar politeknik dalam pertandingan mereka cipta dan inovasi diperingkat kebangsaan dan antarabangsa turut menjadi intipati penerangan oleh Tuan Haji Razali.

Penerangan Oleh Tuan Haji Razali bin Johari,
Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam

PERBENTANGAN SLAID POWER POINT MENGENAI REKA BENTUK DAN KESTABILAN STUKTUR

Lawatan diteruskan dengan penerangan mengenai reka bentuk dan kestabilan struktur yang disampaikan oleh pensyarah di Jabatan kejuruteraan awam. Penerangan pertama berkenaan reka bentuk struktur dari pandangan seorang arkitek bangunan. Dari aspek pandangan seorang arkitek, reka bentuk struktur bergantung kepada sistem struktur sesuatu bangunan. Sebagai contoh ‘column and beam system’ yang digunakan semasa mereka bentuk sesebuah bangunan. Manakala penerangan kedua oleh Encik Mohd Fazli bin Abd Rahman, pensyarah Jabatan kejuruteraan lebih menekankan kepada aspek reka bentuk dan kestabilan struktur dari aspek kejuruteraan. Beliau telah memberi penerangan mengenai perancangan yang perlu dilakukan sebelum sesuatu bangunan dibina antaranya adalah penyiasatan tanah (Soil Inverstigation/ SI). Penyiasatan tanah penting sebagai asas permulaan bagi rekabentuk yang lebih efisien dan pembinaan yang ekonomi dalam kerja-kerja Kejuruteraan Awam dan Bangunan, adalah penting di mana pengurusan dan perancangan menjadi keutamaan. Pemantauan terhadap penyiasatan tapak perlu difokuskan kepada kaedah, pengujianan dan masalah-masalah yang timbul semasa penyiasatan tapak.
Antara kepentingan penyiasatan tapak adalah :
  • Mengetahui tentang faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan tapak pembinaan.
  • Memberi kefahaman tentang penggunaan peralatan yang sesuai mengikut kesesuaian projek dan kaedah yang digunakan.
  • Memberi gambaran tentang keperluan ujian-ujian di makmal yang mesti dijalankan untuk tujuan rekabentuk.
  • Menentukan kesukaran-kesukaran yang mungkin timbul disebabkan oleh kaedah-kaedah pembinaan yang ditentukan.

Kemudian, beliau turut menerangkan beberapa faktor yang diambil kira semasa membina sesebuah bangunan iaitu faktor iklim, kos pembinaan, reka bentuk bangunan dan tapak. Kajian kes yang dijalankan terhadap kejadian runtuhan bangunan Highland tower turut dibentangkan semasa sesi ceramah dijalankan. Sesi soal jawab berlaku secara aktif kerana siswi guru banyak mengutarakan soalan-soalan yang berkaitan dengan reka bentuk dan kestabilan struktur kepada pensyarah di Jabatan Kejuruteraan awam.

Penerangan oleh Encik Mohd Fazli bin Abd Rahman

LAWATAN KE PAMERAN REKA BENTUK BANGUNAN PELAJAR SEMESTER TIGA

Tamat sesi penerangan dan ceramah, kami dibawa ke pameran Reka Bentuk Kiosk Menjual Peralatan Sukan, projek yang dijalankan oleh pelajar semester 3. Pameran ini mempamerkan bakat-bakat pelajar Politeknik Merlimau dalam mereka bentuk sesebuah bangunan dengan ilham objek yang berada disekeliling mereka. Tema reka bentuk bangunan adalah kiosk peralatan sukan, Kami dapat melihat pelbagai reka bentuk bangunan yang kreatif dan menarik mengikut tema yang telah ditetapkan. Kami turut dibawa oleh pensyarah Politeknik Merlimau untuk melawat kawasan sekitar politeknik. Lawatan kami tamat pada pukul 12 tengah hari. Sesi fotografi bersama ketua dan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam sebagai kenangan lawatan ini.

Lawatan ke tapak pameran

Koleksi Model Kiosk

 

Penerangan oleh Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam di tapak Pameran


Sesi Fotografi bersama Ketua Jabatan dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam