Isu I (Reka Bentuk Inovasi Dan Reka Cipta) : Kestabilan
Struktur
Oleh : Nur Adibah binti Harun
Setiap pembinaan amat mengutamakan kestabilan struktur
sebagai asas dalam mekanik pepejal. Ini perlu dititikberatkan dalam memastikan
struktur daripada faktor yang menyebabkan ia runtuh (Bazant, 2000). Sebuah struktur
yang stabil mempunyai bahagian-bahagian yang dipasang antara satu sama lain
dengan penyambung yang sesuai dan selamat bagi menghasilkan suatu kerangka yang
berupaya menanggung beban yang dijangkakan. Ini bermaksud struktur tersebut dikatakan
stabil apabila dapat menampung beban dan tidak mudah retak. Sebuah struktur bangunan
boleh dikatakan stabil apabila strukturnya statik di kedudukan yang sama tanpa
mengalami sebarang pergerakan apabila berupaya menahan daya yang bertindak ke
atasnya. Oleh itu, kestabilan struktur akan ditentukan terlebih dahulu melalui
dua proses iaitu analisis struktur dan reka bentuk struktur (Kumar, 1998).
Kepentingan
Kestabilan
struktur yang wujud dari zaman penjajahan menjadi bukti perkembangan sejarah
yang dialami oleh sesebuah tempat. Contohnya di Melaka, Kota A’ Famosa tempat menjadi
bukti bahawa Melaka pernah ditawan oleh penjajah Portugis pada tahun 1511.
Diikuti pula dengan binaan Bangunan Stadthuys (1650) yang melambangkan
kedatangan penjajah Belanda ke Melaka. Bangunan bersejarah ini merupakan kaedah
terbaik dalam memberikan maklumat kepada masyarakat mengenai peristiwa yang
telah berlaku pada masa itu.
Gambar 1 dan 2 : Bangunan memaparkan rentetan perkembangan sejarah
Kewujudan
struktur candi di Lembah Bujang sebagai monumen keagamaan bagi agama Hindu dan
Buddha menjadi satu bukti penyebaran agama ketika itu. Ini melambangkan
kehebatan struktur yang pernah menjadi rumah ibadat terkenal sebagai tempat
penyimpanan patung dewa utama. Meskipun begitu, bahagian tapak sahaja yang
berjaya dikekalkan di kesemua candi tersebut.
Gambar 3 : Rentetan perkembangan agama Hindu dan Buddha
Gambar 4 : Struktur candi yang masih utuh
Keutuhan
bangunan lama seperti Istana Kenangan di Perak menjadi lambang kestabilan
struktur seni bina Melayu tradisional. Penggunaan pasak iaitu kayu yang
‘dipaku’ dengan kayu daripada lantai hingga ke atap amat mengagumkan. Istana
yang masih kukuh tersergam dengan keaslian reka bentuk menjadi lambang kebudayaan
Melayu yang indah. Ditambah lagi dengan corak kelarai di dindingnya menjadikan
motif alam sebagai lambang ketelitian masyarakat Melayu pada masa itu.
Gambar 5 : Corak kelarai lambang seni bina Melayu
Kini sektor
pembinaan negara telah berjaya mengeksploitasi sepenuhnya teknologi canggih
yang sedia ada. Buktinya dengan pembinaan pelbagai mercu tanda dan bangunan
pencakar langit di seluruh pelosok negara. Sebagai contoh semasa pembinaan
Menara Kuala Lumpur, kaedah pembinaan Slip
Form atau acuan gelansar diperkenalkan dalam pembinaan terowong tegak
menara (Faridah & Zuraidah, 1995).
Namun begitu, kita
juga dikejutkan dengan kejadian bangunan runtuh yang telah menyebabkan
kemusnahan harta benda serta mengorbankan puluhan nyawa seperti yang berlaku di
Highland Towers (11 Disember 1993), Stadium Sultan Mizan (2 Jun 2009) dan
Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar (14 Oktober 2010). Kejadian ini
seolah-olah mempunyai rentetan pada tahun yang berikutnya. Menurut Ahamd Fauzi
(2011), sudah tiba masanya semua pihak yang bertanggungjawab mengambil berat
isu bangunan runtuh yang sekian lama dipandang remeh dan diperdolak-dalikan.
Apa yang meragukan ialah runtuhan bangunan ini kerap berlaku pada bangunan
komersial tetapi jarang sekali berlaku kepada mercu tanda dan bangunan pencakar
langit.
Faktor
Kestabilan sesebuah struktur dipengaruhi oleh pelbagai
faktor sama ada buatan, semula jadi dan lain-lain. Menurut Siti Mariam (2011),
tragedi runtuhnya Highland Tower telah berlaku pada musim hujan iaitu selepas
hujan tanpa henti selama 10 hari berturut-turut. Kadar aliran air bawah tanah
yang banyak akibat hujan menyebabkan tanah menjadi lembab sehinggakan kekuatan
struktur tanah terjejas. Kadar aliran air bawah tanah dan cuaca merupakan
sebahagian daripada faktor semula jadi yang menyumbang kepada kejadian runtuhan
bangunan.
Dari segi faktor buatan, pemilihan bahan asas binaan menjadi punca utama
ketidakstabilan struktur. Perkara ini berlaku kepada bangunan Sekolah
Kebangsaan Gunung yang runtuh secara tiba-tiba disebabkan pengubahsuaian lantai
simen tanpa konkrit yang kukuh (Azmi dan Siti Fatimah, 2010). Lantai simen
tersebut tidak mampu menampung beban berat manusia dan peralatan kelas hingga
menyebabkan berlaku runtuhan berkenaan.
Gambar 6 : Runtuhan berlaku ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung
Bagi Stadium Sultan Mizan yang telah runtuh sebanyak dua
kali, faktor lain-lain yang menyumbang kepada runtuhnya stadium tersebut ialah
kualiti kerja tidak mengikut spesifikasi serta tiada pengawasan dan kawalan
kualiti dilakukan di tapak projek (Utusan Malaysia, 18 Julai 2013). Ini telah
menyebabkan struktur besi untuk bumbung stadium tersebut runtuh dalam masa
kurang dari setahun tempoh pembinaan siap dijalankan.
Kesan
Impak yang timbul
daripada kejadian ini begitu menakutkan terutamanya pertambahan dalam bilangan
mangsa korban kejadian. Selain itu, mangsa yang terselamat akan menghadapi
kesan psikologi yang membimbangkan iaitu trauma. Trauma menjadikan mangsa berada
dalam ketakutan dan dibelenggu kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga.
Malahan kemusnahan
harta benda yang bernilai juta ringgit amat merugikan apatah lagi melibatkan
harta benda seperti rumah, bangunan dan kemudahan awam terutamanya jalan raya. Akibatnya,
kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk membina semula
kemudahan atau memberikan bayaran pampasan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Kejadian ini juga
menyebabkan perubahan landskap yang amat ketara pada struktur tanah dan
topografinya. Kawasan tanah tinggi berkemungkinan menjadi rata akibat tanah dan
lumpur yang terkumpul sekali gus memberi kesan kepada ekosistem kawasan
berkenaan. Tambahan pula, imej Malaysia sebagai negara yang membangun akan
terjejas di mata dunia. Ia menampakkan kelemahan tenaga kerja negara dalam
mengendalikan pembinaan di tanah air sendiri.
Pertelagahan antara pihak tertentu yang membawa kepada kes saman-menyaman akibat
penyelewengan kelulusan Certificate
of Fitness (CF) hanya sebagai retorik dalam meletakkan kesalahan kepada pihak lawan. Contohnya saman
awam yang difailkan oleh kerajaan negeri Terengganu kepada pihak yang terlibat
dengan projek pembinaan stadium yang melibatkan tuntutan bernilai jutaan
ringgit.
Gambar 7 dan 8 : Kesan runtuhan bangunan
Peranan Kerajaan dan Masyarakat
Bagi mengelakkan kejadian buruk ini berulang lagi, kerajaan
perlu mengatasi isu ini dengan mempraktikkan sistem pengurusan dan
penyelengaraan bangunan yang lebih sistematik. Juru ukur bangunan diberikan
tempat untuk bertindak sebagai juru runding yang mewakili kepentingan kerajaan
bagi melakukan check and balance ke
atas kerja yang dilakukan oleh kontraktor, akitek dan jurutera yang telah
dilantik bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah (Ahmad Fauzi, 2011).
Pihak ini bertanggungjawab untuk mengemukakan syor penambahbaikan kepada pembinaan
untuk dipertimbangkan oleh pihak-pihak berkaitan.
Selain itu, tender projek yang dipohon perlulah selari dengan
keupayaan dan kemahiran yang dimiliki oleh sesebuah syarikat pembinaan. Keuntungan
atas angin semata-mata tidak menjamin keutuhan syarikat pembinaan masing-masing
kerana hasil pembinaan yang tidak berkualiti ditambah pula pekerja yang tidak
mahir akan mengundang lebih banyak masalah dan menyebabkan syarikat muflis.
Kejadian ini memangkin kesedaran masyarakat untuk
mengambil berat tentang aspek kestabilan struktur di dalam pembinaan bangunan
kediaman mereka. Bangunan kediaman yang dibina adalah berdasarkan jangkaan
keutuhan semaksimum mungkin. Masyarakat juga semakin peka dengan status pemaju
dan kontraktor binaan yang dipilih bagi menjalankan projek pembinaan agar
berbaloi dengan kewangan yang telah diperuntukkan.
Gambar 9 dan 10 : Penyelesaian bangunan runtuh memerlukan kerjasama daripada semua pihak yang bertanggungjawab
Kesimpulannya saya amat bersetuju dengan kenyataan Ahmad
Fauzi (2011) bahawa sudah tiba masanya isu bangunan runtuh tidak lagi dipandang
enteng oleh pihak yang bertanggungjawab. Namun begitu, terpulang kepada pihak
tersebut untuk menerima tekanan ini secara positif atau negatif kerana cara
penerimaan masing-masing akan membezakan kesannya terhadap mereka.
Tidak dinafikan bahawa pekerja sektor pembinaan terdedah
dengan pelbagai cabaran, dugaan dan desakan duniawi sehingga boleh menggugat
pertimbangan. Tidak hairanlah jika ada di antara pekerja ini terlibat dalam
aktiviti penyelewengan, penyalahgunaan dan melanggar piawai yang ditetapkan
yang bukan sahaja membawa kesan kepada integriti diri malah kepada keseluruhan
imej sektor pembinaan itu sendiri. Ini kerana masyarakat semakin hari semakin
bijak menilai keupayaan, ketelusan dan daya usaha yang ditunjukkan oleh pihak
yang bertanggungjawab dalam sektor pembinaan.
Bibliografi
Ahmad Fauzi Md Sood. (2011, Mac 18). Bangunan Runtuh
Bukan Isu Remeh. Berita Harian, 18.
Azmi Md Deros & Siti Fatimah Mohamed Anwar. (2010,
Oktober 14). 10 Murid Cedera Lantai Sekolah Runtuh. Berita Harian, 5.
Bazant, Z. P. (2000). Structural Stability. International
Journal Of Solids And Structures, 37(7), 55-67.
Diyana Rose Kamalludeen. (2009, Julai 25). Taipei 101
Gagah Hadapi Cabaran. Utusan Malaysia,
8.
Faridah Taib & Zuraidah Ali. (1995). Siri Teknologi : Teknologi Terkini.
Petaling Jaya, Selangor : Penerbit Pinang.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. (2009). Lembah Bujang. Diakses pada 5 Ogos 2014
dari http://www.arkib.gov.my/en/web/guest/lembah-bujang.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. (2009). Kota A’ Famosa, Melaka. Diakses pada 5
Ogos 2014 dari http://www.arkib.gov.my/en/web/guest/kota-a-famosa-melaka1.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. (2009). Istana Kenangan. Diakses pada 5 Ogos
2014 dari http://www.arkib.gov.my/en/web/guest/istana-kenangan.
Kumar, A. (1998). Stability
Of Structures. Mumbai, India : Allied Publishers Limited.
Mohamad Hairi Arifin, Abdul Ghani Rafek, Ibrahim Abdullah
& Mohd Rozi Umor. (2010). Geologi Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Bekas
Terowong Sungai Lembing, Kuantan, Pahang Sebagai Tapak Warisan Geologi. Bulletion Of Geological Society Of Malaysia,
56(4), 61-66.
Rasimah binti Md Zain. (2013). Penilaian Integriti
Struktur Robi Test Bed (Road Bridge Interface Test Bed) Di Atas Tanah Lembut. Disertasi Ijazah Sarjana Muda.
Universiti Tun Hussein Onn.
Sinar
Harian. (2013, Februari 20).
Lima Cedera Kerangka Lama Stadium Gong Badak Runtuh, 5.
Siti Mariam Elias. (2011, Februari). Tumbangnya Highland
Towers Eratkan Kasih Sayang Saya Dan Isteri. Majalah MIDI, 23-26.
Thomas, M. F. (1991). Geomorfologi
Tropika. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Utusan Malaysia. (2013, Julai 18).
Tak Ikut Spesifikasi Punca Stadium Sultan Mizan Runtuh, 6.
Jabatan
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. (2009). Kemalangan Melibatkan Runtuhan Struktur Bangunan. Diakses pada 5
Ogos 2014 dari www.dosh.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=117:incident-regarding-collapse-of-building-structure&catid=440&Itemid=1127&lang=ms
No comments:
Post a Comment