Thursday 16 October 2014

Rencana : Pencemaran BUnyi

PENCEMARAN BUNYI

Oleh : Nursakinah binti Mohd Hamsani

            Setiap hari kita mendengar pelbagai bunyi daripada pelbagai sumber. Laupa Junus (2007) mengkategorikan bunyi kepada bunyi yang dikehendaki dan bunyi yang tidak dikehendaki. Bunyi yang dikehendaki mungkin bunyi-bunyi yang menenangkan seperti alunan bacaan Al-Quran, deruan angin dan lagu daripada pemain MP3. Manakala bunyi yang tidak dikehendaki adalah seperti bunyi suara orang membebel, kebisingan dan hingar. Bunyi-bunyi yang tidak dikehendaki dan mengganggu dianggap sebagai pencemaran bunyi. Pencemaran bunyi jarang diberi perhatian serius seperti pencemaran udara dan air yang impak fizikalnya dapat dilihat pada perubahan alam sekitar. Namun sebenarnya pencemaran bunyi lebih memberi kesan langsung kepada kesihatan dan kesejahteraan manusia tanpa disedari.
Menurut Shamsudin (1995), masalah pencemaran bunyi yang berlaku di Malaysia mula mendapat perhatian daripada pihak berkuasa pada tahun 1979. Aduan mengenai masalah pencemaran bunyi semakin meningkat terutamanya berkaitan dengan permasalahan bunyi bising yang berpunca daripada kegiatan komuniti menunjukkan pertambahan sebanyak tiga kali ganda dalam jangka masa lapan tahun di antara tahun 1979 hingga tahun 1987. Ini menunjukkan trend kesedaran dan keprihatinan masyarakat mengenai masalah bunyi bising ini semakin meningkat. Keprihatinan terhadap kewujudan masalah ini diharapkan dapat meningkatkan juga keprihatinan terhadap punca dan kesan pencemaran bunyi ini terhadap manusia serta langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasinya.

Berpunca daripada manusia   
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
 (Surah Ar-Rum : 41)

Ayat 41 daripada surah Ar-Rum telah mengingatkan kita tentang pencemaran yang berlaku di muka bumi adalah akibat perbuatan atau aktiviti manusia sendiri. Dalam mengecap kemajuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, aktiviti harian dan projek-projek pembangunan yang dilaksanakan sering mengabaikan unsur pemeliharaan alam sekitar.
Antara sumber pencemaran bunyi paling ketara di Malaysia ialah aktiviti pembandaran, Kajian-kajian yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa sebanyak 85% punca kebisingan atau pencemaran bunyi adalah daripada aktiviti perindustrian. Pembinaan bangunan, jalan raya dan jambatan yang tidak terancang juga menyumbang kepada pencemaran bunyi yang serius terutamanya di kawasan bandar. Penggunaan jentera berat dan mesin-mesin yang menghasilkan bunyi yang kuat boleh menjejaskan kesihatan pekerja di dalam kawasan perindustrian atau pembinaan tersebut, dan mengganggu masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran. Misalnya, pencemaran bunyi yang dilaporkan oleh warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keow Kuang, Pulau Pinang. Pencemaran bunyi yang datang daripada projek pembinaan kawasan perumahan baharu bersebelahan sekolah tersebut telah mencatat bacaan kekuatan bunyi sehingga 86.1 dBA, melebihi had yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar, iaitu 65 dBA pada waktu siang.
Walaupun hanya 5% punca pencemaran bunyi dicatatkan daripada kebisingan trafik, namun keadaan ini mampu memberi impak negatif kepada kualiti hidup manusia dan alam sekitar. Pertambahan bilangan kenderaan bermotor dan kenderaan berat, keadaan kenderaan, keadaan jalanraya dan kesesakan lalu lintas menyebabkan trafik di Malaysia menghasilkan bunyi bising yang begitu mengganggu. Di samping itu, pekerja di lapangan terbang dan penduduk yang tinggal berhampirannya juga terpaksa berhadapan dengan bunyi bising trafik udara, iaitu pada waktu pesawat berlepas dan mendarat terutamanya pada waktu malam. Begitu juga bagi yang berada berhampiran landasan kereta api dan pelabuhan.
Aktiviti sosial masyarakat seperti parti, kelab malam, karaoke dan kugiran dalam majlis perkahwinan yang berlanjutan hingga lewat malam juga menyumbang kepada pencemaran bunyi tidak kira di kampung atau di bandar. Tidak salah jika mahu berhibur dan berseronok, tetapi kita tidak seharusnya mementingkan diri sendiri hingga mengabaikan keselesaan masyarakat di sekeliling. Satu lagi punca pencemaran bunyi yang mungkin tdak disedari oleh kebanyakan daripada kita adalah kebisingan di dalam rumah. Peralatan seperti mesin rumput, radio, televisyen, mesin pengisar, penyedut hampagas dan mesin basuh yang mengeluarkan bunyi yang kuat akan mengganggu ahli di dalam rumah dan juga jiran tetangga. Suara manusia juga boleh menjadi penyebab pencemaran bunyi yang menyakitkan tanpa disedari. Misalnya suara leteran, pergaduhan, tangisan bayi dan nyanyian yang teruk. Sesuatu yang menakjubkan ialah pada suara laungan azan. Walaupun dapat didengari hingga ke seluruh sesuatu kawasan penempatan, azan tidak dianggap sebagai bunyi yang mengganggu, malah mendamaikan.

Manusia menerima akibatnya       
Telinga adalah organ yang menerima rangsangan bunyi. Bunyi dapat dianggap sebagai kebisingan atau pencemaran bunyi apabila bacaan tekanan bunyi yang didengar mencecah 80 dB. Rajah 1 menunjukkan tahap tekanan bunyi yang boleh didengar oleh telinga manusia berserta contoh-contoh pada setiap tahap. Bunyi yang berkekuatan lebih daripada 80 dB seperti konsert rock, bengkel pertukangn dan enjin jet boleh merosakkan sel rerambut pada telinga, iaitu  sel yang membawa isyarat dari gegendang telinga ke otak untuk ditafsirkan. Bagaimanapun, sama ada bunyi tersebut benar-benar menjejaskan telinga, ia bergantung kepada berapa lama seseorang terdedah kepada bunyi berkenaan. Bunyi yang berkekuatan tinggi sehingga 140dB boleh menjejaskan atau mencederakan sel rerambut walaupun dengan pendedahan yang singkat. Kecederaan pada sel ini seterusnya boleh menyebabkan pekak, iaitu kehilangan sebahagian atau seluruh kebolehan untuk mendengar.
Selain daripada masalah pendengaran, manusia yang terdedah kepada pencemaran bunyi juga boleh diserang pelbagai penyakit lain seperti masalah kardiovaskular. Mereka mungkin mengalami keadaan lemah jantung atau tekanan darah tinggi, menyebabkan aliran darah dalam tubuh tidak stabil, dan akhirnya boleh menyebabkan strok. Bukan itu sahaja, bahkan ketidaupayaan manusia menerima bunyi-bunyi yang mengganggu itu akan menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi dan perasaan.  Hal ini dpat dikesan apabila mereka sering keletihan, sakit kepala dan kadang-kala bertindak agresif di luar kawalan. Rutin tidur mereka juga akan terganggu, dan hal ini akan menjejaskan produktiviti mereka di tempat kerja atau tempat belajar.
 Di kawasan-kawasan berhampiran sumber pencemaran bunyi pula, aktiviti hariannya akan terganggu akibat bunyi-bunyi yang tidak dikehendaki ini. Bagi sekolah yang terletak berhampiran kawasan pembinaan, fokus guru dan murid di dalam bilik darjah akan terganggu. Komunikasi lisan juga sukar berlaku kerana bunyi bising mengatasi bunyi atau suara yang sepatutnya didengar dan diberi perhatian. Ini akan menyebabkan salah faham terhadap maklumat yang cuba disampaikan.

Apa yang boleh kita lakukan?  
            Secara umumnya, pencemaran bunyi yang berlaku di sekeliling kita boleh dicegah, namun amat sukar untuk dilupuskan. Maka, usaha-usaha kecil yang berterusan harus diambil oleh semua pihak demi keselesaan, kesihatan dan kesejahteraan bersama.
Secara individu, langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan diri daripada terdedah dengan pencemaran bunyi dan kebisingan melampau ialah dengan menggunakan pelindung telinga terutamanya apabila menggunakan mesin-mesin yang mengeluarkan bunyi yang kuat. Pelindung telinga dapat mengurangkan hingga 35 dB kebisingan yang diterima oleh telinga. Kita juga seharusnya mengutamakan membeli mesin dan peralatan rumah yang kurang mengeluarkan bunyi bising. Teknologi bagi tujuan ini telah banyak dibangunkan di dalam dan luar negara, maka sebagai pengguna, kita harus bijak memilih. Sebagai individu yang bertanggungjawab juga, kita boleh merendahkan nada bunyi daripada radio, televisyen, pemain MP3, pembesar suara dan pelbagai gajet yang dimiliki agar tidak mengganggu jiran-jiran dan ahli di dalam rumah kita sendiri.
           
“Dan janganlah kamu men­gurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela mela­kukan kerosakan di bumi.”
(Surah As-Syuara : 183)


Dalam hidup bermasyarakat, hubungan sesama manusia haruslah dijaga dengan baik. Aktiviti yang dilakukan seperti karaoke dan parti yang diadakan harus dihadkan masanya tidak melebihi waktu tengah malam agar tidak mengganggu waktu rehat jiran tetangga, melainkan jika bunyi bisingnya tidak kedengaran langsung di luar premis tempat aktiviti tersebut dijalankan.  Dinding kedap bunyi perlu dibina di antara lebuh raya, lapangan terbang dan landasan kereta api dengan kawasan perumahan bagi menjamin keselesaan penduduk setempat. Begitu juga bagi bangunan-bangunan perindustrian yang mengeluarkan bunyi bising, bangunan itu perlu dilengkapi dengan dinding kedap bunyi. Sekiranya boleh, penerbangan pada waktu lewat malam perlu dielakkan bagi mengurangkan gangguan bunyi kepada penduduk di sekitar kawasan lapangan terbang tersebut. Aktiviti-aktiviti pembinaan berhampiran kawasan sekolah dan universiti pula wajar dihadkan ketika waktu cuti sekolah  dan cuti semester sahaja.
            Bagi kerajaan yang peka terhadap isu ini pula, langkah seperti penguatkuasaan undang-undang boleh dilaksanakan. Akta kawalan kebisingan harus diaplikasikan bukan sahaja pada kenderaan di atas jalan raya dan jentera-jentera perindustrian, tetapi juga pada peralatan-peralatan di rumah seperti yang telah dilakukan oleh kebanyakan negara maju yang lain. Memandangkan pendidikan dilihat sebagai satu langkah terbaik bagi membendung masalah pencemaran bunyi ini, pembiayaan dan galakan bagi aktiviti-aktiviti kajian dan pembangunan terhadap masalah ini wajar diberi perhatian. Aktiviti seperti kempen kesedaran melalui pelbagai media juga harus dipergiat bagi meningkatkan keprihatinan, pengetahuan, kemahiran, nilai dan komitmen rakyat untuk berusaha secara individu dan bersama ke arah penyelesaian isu-isu alam sekitar selaras dengan matlamat pendidikan alam sekitar di Malaysia.

Sesungguhnya tanggungjawab memelihara dan memulihara alam sekitar serta memakmurkan Bumi ini merupakan tanggungjawab setiap individu manusia sebagai khalifah Allah s.w.t di muka Bumi ini. 

1 comment: