Thursday, 16 October 2014

Rencana : Pencemaran Radiasi

Pencemaran Radiasi

Oleh: Intan Najihah binti Mohamad Yusof

Pada zaman globalisasi ini, kemajuan sains membolehkan manusia memanfaatkan kelebihan tenaga nuklear. Teknologi nuklear memainkan peranan penting dalam mempercepatkan proses pembangunan negara Malaysia. Secara keseluruhannya, penggunaan tenaga nuklear banyak membantu manusia dalam pelbagai bidang. Walaubagaimanapun, hasil penjanaan tenaga nuklear ini merupakan salah satu penyumbang kepada pembebasan radiasi ke persekitaran. Majoriti kita seakan fobia apabila menyebut tentang radiasi. Perkara yang terlintas di fikiran kita adalah nuklear, bom atom, kecacatan dan pencemaran.


Sejarah:

Pada awalnya, sejarah penggunaan tenaga nuklear dunia bermula pada tahun 1942 dengan Projek Manhattan di Amerika Syarikat untuk menghasilkam bom atom pertama di dunia (Alias, 2011). Rentetan daripada penemuan ini, pihak AS telah menyerang Hiroshima da Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos 1945 dengan melepaskan bom atom yang memberi kesan yang sangat dahsyat di kawasan itu seterusnya menyumbang kepada pencemaran radiasi. Sejarah tenaga nuklear di Malaysia pula bermula dengan penubuhan sebuah Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada 19 september 1972. Penubuhan pusat ini diilhamkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman yang memikirkan Malaysia perlu memainkan peranan penting dalam pembangunan sains dan teknologi untuk kegunaan secara aman. Sejajar dengan pembangunan pesat dalam bidang teknologi nuklear, Malaysia mempunyai sebuah reaktor nuklear berkuasa 1 megawatt yang dinamakan Reaktor TRIGA Puspati untuk tujuan latihan, penyelidikan dan pengeluaran radioisotop. Setelah melalui beberapa fasa pertukaran nama, akhirnya Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear (MINT) ditukar nama kepada Agensi Nuklear Malaysia pada tahun 2006 (Arkib Negara, 2010).


Kepentingan:

Teknologi nuklear menghasilkan radiasi yang memberi kepentingan kepada kehidupan seharian kita. Salah satu kepentingan teknologi ini ialah dapat menjamin keselamatan pembekalan tenaga negara. Pembangunan teknologi nuklear dapat mengurangkan pergantungan negara kepada tenaga fosil, terutama arang batu, minyak mentah dan gas asli. Hal ini kerana, negara kita sangat bergantung kepada bekalan petroleum yang akan habis pada masa akan datang.

Disamping itu, kos juga dapat dijimatkan. Kos penjanaan elektrik oleh loji kuasa nuklear lebih rendah berbanding loji yang menggunakan sumber lain. Oleh itu, tenaga nuklear lebih murah berbanding petroleum. Penghasilan tenaga nuklear juga tidak memerlukan kawasan yag besar. Negara yang maju dalam industri berat seperti Jepun tidak mempunyai tenaga ahli sebaliknya bergantung pada tenaga nuklear untuk pembangunan negara.

Daripada segi perlindungan alam sekitar, teknologi nuklear ini menghasilkan gas rumah hijau atau karbon yag jauh lebih rendah sekaligus memberi kepentingan terhadap kelestarian alam sekitar sesuatu kawasan.


Kesan:

Penggunaan teknologi nuklear dan pendedahan kepada radiasi memberi kesan yang positif dan negatif kepada manusia. Kesan positif atau kebaikan radiasi yang terhasil dapat digunakan oleh manusia dalam pelbagai bidang. Misalnya, dalam bidang perubatan, sinar-x digunakan untuk mengenalpasti masalah dalaman pesakit. Prosedur perubatan lain seperti MRI dan CT Scan juga menggunakan radiasi untuk tujuan rawatan. Selain itu, sinar gamma daripada tenaga nuklear digunakan untuk merawat penyakit kanser. Seterusnya, radioisotop digunakan sebagai alat diagnostik di hospital untuk mengesan dan menentukan penyakit kanser. Radioisotop Iodin-131 dicipta untuk membantu para doktor untuk memastikan sama ada kelenjar tiroid berfungsi dengan normal atau tidak. Sinar gamma dari Cobalt-60 digunakan untuk mensteril bahan-bahan perubatan. Sinaran ultra digunakan dalam pengesanan bayi dalam kandungan ibu. Jadi, teknologi nuklear ini membantu mencegah pelbagai jenis penyakit dan menyelamatkan nyawa manusia. Hal ini dapat meningkatkan taraf kesihatan rakyat.

Teknologi nuklear juga tidak ketinggalan membantu dalam bidang pembuatan dan perindustrian. Contohnya, percampuran bahan radioaktif ke dalam sistem paip yang mengalirkan petroleum atau air membolehkan pancaran radiasi mengesan kadar aliran dan kebocoran bawah tanah. Pancaran radiasi nuklear membolehkan produk yang dihasilkan berkualiti dan selamat untuk digunakan.

Sinaran radiasi juga dapat digunakan untuk menghasilkan baka tumbuh-tumbuhan yang baik dan bermutu seperti kaedah pembiakan baka mutasi aruhan. Penggunaan teknik isotop radioaktif dan sinaran pengionan seperti sinaran gamma dan sinaran-x berjaya meningkatkan hasil pengeluaran pertanian dan juga ternakan. Dalam penghasilan industri makanan juga radiasi digunakan untuk membunuh bakteria dan membantutkan proses biologi tumbuhan supaya ia dapat bertahan lebih lama.

Radiasi boleh menyebabkan biji benih tumbuhan bermutasi

Oleh sebab radiasi adalah sejenis gelombang yang di kategori sebagai gelombang yang bahaya kepada manusia, ia juga memberi kesan yang negatif kepada manusia. Cuma tahap bahaya gelombang ini harus di ambil kira bergantung kepada jenis. Gelombang yang berpunca daripada alat elektronik seperti internet wifi dan telefon bimbit adalah mungkin jenis yang tidak dapat dielakkan dari kehidupan seharian. Pendedahan secara terus menerus pada alatan seperti ini akan memberi kesan jangka masa panjang seperti tumor dan kanser.


 Penggunaan alat elektronik mendedahkan manusia kepada radiasi

Selain itu, penggunaan bahan radioaktif yang tidak terkawal sama ada untuk pembangunan atau peperangan akan membawa pelbagai kesan buruk yang menjejaskan alam sekeliling. Contohnya, isu peperangan nuklear oleh Amerika Syarikat keatas kedua-dua bandar di Jepun iaitu Nagasyaki dan Hiroshima pada tahun 1945. Pencemaran radiasi atau bencana nuklear ini berpunca daripada bahan nuklear yang dibebaskan di kawasan itu mengakibatkan kemusnahan flora dan fauna. Pada masa yang sama, bahan-bahan nuklear yang dibebaskan menyebabkan manusia yang dilahirkan menghidap pelbagai penyakit seperti mutasi genetik, kecacatan pada bayi yang dilahirkan dan penyakit kanser selain kematian. Selain itu, ujian nuklear akan menyebabkan lapisan ozon dimusnahkan sebahagian dan ia menyebabkan manusia terdedah dengan sinaran matahari yang menyebabkan manusia akan menghidap penyakit kulit.

Kesan radiasi ke atas manusia yang menyebabkan perubahan genetik dan somatik



Punca:
Rajah 1: Sumber-sumber radiasi

Untuk permulaan, radiasi tidak hanya berasal dari nuklear. Terdapat beberapa sumber yang dikenal pasti dapat menyumbang kepada radiasi. Salah satu puncanya termasuklah radiasi yang dihasilkan secara semulajadi. Radiasi yang dihasilkan secara semulajadi didapati dari galian bumi dan kosmik. Kebanyakan bahan di bumi mengandungi atom radioaktif sungguhpun dalam jumlah yang sedikit. Radionukleid utama dibimbangi bagi radiasi bumi adalah kaliumuranium dan thorium. Setiap sumber ini telah menjadi kurangan aktif semenjak kelahiran bumi sehinggakan dos kita kini
Sumber radiasi semula jadi dan buatan adalah sama dari segi sifat dan kesannya. Sesetengah sumber radiasi buatan memberi kesan kepada badan melalui radiasi langsung, sementara yang lain mengambil bentuk pencemaran radioaktif dan penyinaran badan dari dalam. Contohnya seperti radiasi yang digunakan dalam bidang perubatan termasuklah sinar-x, perubatan nuklear dan radioterapi. Tempat kerja misalnya, boleh mendedahkan individu kepada radiasi dan boleh diukur dengan teliti menggunakan peralatan bersaiz pen poket yang dikenali sebagai dosimeter.
Punca lain termasuklah daripada kitaran bahan bakar nuklear. Pada kadar lebih kecil, orang awam terdedah kepada radiasi dari kitaran bahan api nuklear, termasuklah keseluruhan rangkaian dari melombong dan mengilang uranium kepada pelupusan bahan api terpakai.
Pencemaran radiasi yang telah berlaku di loji-loji nuklear pula berpunca daripada pelbagai faktor. Menurut (Marlissa, 2013) kemalangan nuklear di Pennsylvania pada 1979 berpunca daripada masalah reaktor yang menyumbang kepada kebocoran radiasi. Pada tahun 1986, berlaku bencana nuklear di Chernobyl, Ukraine berpunca daripada kecuaian pengendali loji yang melanggar peraturan operasi manakala satu lagi insiden kebocoran radioaktif di Fukushima pada tahun 2011 berpunca daripada bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami.


Cadangan / pandangan dalam penyelesaian masalah berkaitan isu:

Oleh kerana pencemaran radiasi memberi kesan yang dahsyat kepada manusia, pihak kerajaan perlu berfikir secara rasional mengenai perancangan pembinaan loji nuklear yang boleh memberi kesan yang teruk sekiranya berlaku kebocoran. Pihak kerajaan juga perlu menyediakan pelbagai kursus dan latihan bagi melatih lebih ramai tenaga kerja yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Hal ini kerana, kepakaran mengendalikan loji-loji nuklear dan sistem kerja yang mencapai standard operasi mampu mengelak bencana yang lebih teruk daripada berlaku.
Masyarakat juga perlu mengambil langkah yang lebih berhati-hati dalam mengendalikan sebarang peralatan yang melibatkan radiasi seperti pengendalian bahan radioaktif di kawasan tempat kerja dan makmal. Pekerja sinaran iaitu mereka yang bekerja dalam bidang berkaitan radiasi boleh memakai alat pengesan radiasi khas dan membuat pemeriksaan kesihatan berkala. Kita juga boleh mengurangkan pendedahan kepada gelombang radiasi dengan mengurangkan penggunaan alat elektronik dalam kehidupan seharian kita. Contohnya seperti penggunaan telefon bimbit yang dapat mendedahakan diri kita kepada radiasi secara berterusan dan memberi kesan buruk pada jangka masa panjang.


Nilai:

Apabila memperkatakan mengenai tenaga nuklear, kebanyakan masyarakat pasti akan mengaitkannya sebagai ancaman keselamatan dan kemusnahan kepada negara. Namun begitu, apabila kita menggunakan teknologi ini dengan tujuan yang baik, maka hasilnya juga akan menjadi baik dan bermanfaat kepada kita. Seharusnya, kita perlu mendidik generasi muda sejak dari bangku sekolah lagi agar meminati dan menceburkan diri dalam bidang tenaga ini. Sesungguhnya, pendedahan yang jelas dan mantap kepada murid dapat menanamkan sikap dan nilai positif dalam pembelajaran mereka seperti minat dan bersifat ingin tahu mengenai alam sekeliling, bertanggungjawab ke atas keselamatan diri, rakan serta alam sekitar, menyedari bahawa sains merupakan salah satu cara untuk memahami alam dan menghargai sumbangan sains dan teknologi.


Peranan kerajaan dan masyarakat:

Oleh itu, pihak kerajaan perlulah memperluas dan mempergiatkan lagi penyelidikan dalam memperkembangkan pembangunan teknologi ini di Malaysia. Pihak terlibat juga perlulah merancang pelan pembangunan dan pendidikan yang lebih efektif dalam usaha untuk memberi suntikan baharu dalam bidang teknologi nuklear negara yang selama ini lebih tertumpu kepada bidang perubatan, perindustrian dan sebagainya. Masyarakat juga perlulah sentiasa peka dengan isu berkaitan teknologi nuklear dan menceburi bidang ini agar negara kita boleh melahirkan ramai golongan bijak pandai yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Selain itu, penglibatan masyarakat yang menggalakkan dalam bidang ini juga diharap mampu memajukan bidang ini pada masa akan datang selaras dengan hasrat negara kita yang merangcang untuk membina loji janakuasa nuklear berskala kecil yang dijangka siap pada tahun 2021 kelak.

No comments:

Post a Comment