Selamatkan Hidupan Liar Kita
Oleh: Mona Shazreen binti Mohd Zaini
Malaysia diiktiraf sebagai salah satu daripada 12 negara diversiti mega kerana memiliki spesies endemik iaitu spesies tersebut hanya ditemui di tempat tersebut sahaja dan tiada di tempat lain di dunia. Dianggarkan terdapat sekitar 1,500 spesies vertebrata terdapat di daratan sahaja. Antara spesies endemik yang terdapat di negara ini ialah 27 spesies daripada 286 spesies mamalia dan 11 jenis burung daripada 736 spesies telah ditemui. Ekosistem marin mempunyai lebih kurang 712 spesies ikan laut, 350 jenis spesies terumbu karang dan 426 jenis spesies ikan. Lebih daripada 200 spesies rumpai laut dan 14 spesies rumput laut yang telah dikenalpasti di sepanjang pantai Malaysia.
Namun begitu, terdapat 14 % daripada mamalia di Malaysia terancam. Antara contoh spesies yang mengalami kepupusan ialah harimau, tapir, orang utan, gajah Pygmy Borneo, seladang dan banyak lagi. Spesies marin seperti tuntung, penyu hijau dan terumbu karang juga menjadi semakin pupus. The World Conservation Union (IUCN) atau Kesatuan Pemuliharaan Dunia telah menganggarkan bahawa terdap at lebih 16,000 spesies hidupan liar yang diancam kepupusan. Hanya 2% hingga 4% daripada semua spesies masih wujud pada hari ini. Walaupun kepupusan adalah satu proses semula jadi yang telah berlaku di planet ini selama berjuta-juta tahun, kadar semasa kehilangan spesies adalah sekitar 1000 hingga 10,000 kali lebih tinggi daripada kadar kepupusan semulajadi. Pada 500 tahun yang lalu, 820 spesies telah pupus akibat aktiviti manusia.
Rajah 1: Harimau Malaya |
Rajah 2: Penyu hijau |
Rajah 3: Terumbu karang |
Punca Kepupusan Hidupan Liar
Kepupusan hidupan liar kebanyakannya adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia. Aktiviti pembalakan akan memusnahkan sesuatu habitat dan spesies haiwan dalam suatu jangka masa tertentu. Selain itu, pembakaran hutan secara terbuka seperti yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan spesies-spesies yang terancam yang ada di kawasan tersebut akan musnah. Pembukaan kawasan pertanian baru seperti pembukaan tanah baru seperti tanah rancangan oleh Felda dan Felcra turut menggalakkan kepupusan fauna yang terdapat di kawasan tersebut. Antara yang paling kritikal adalah pembukaan kawasan baru untuk penempatan manusia dan aktiviti ekonomi. Pemburuan haram yang berleluasa di hutan-hutan negara juga adalah faktor kemusnahan habitat dan spesies haiwan kerana permintaan tinggi daripada negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Britian dan Eropah terhadap haiwan-haiwan eksotik yang hanya terdapat di negara ini. Pencemaran laut juga menyumbang kepada kepupusan hidupan laut. Tumpahan minyak dan sampah-sarap serta pembuangan sisa toksik ke dalam laut menyebabkan kemusnahan hidupan laut. Hal ini boleh membunuh ikan dan tumbuhan seperti haiwan air yang lain. Perubahan suhu dunia juga menyebabkan sesuatu spesies mengalami kepupusan. Pemanasan global telah menyebabkan terdapat haiwan yang tidak dapat hidup dalam keadaan suhu yang terlampau panas. Manakala pembawaan wabak penyakit oleh spesies lain terhadap sesuatu spesies juga boleh mengakibatkan spesies tersebut menjadi pupus.
Rajah 4: Aktiviti pembalakan oleh manusia |
Kesan Kepupusan Hidupan Liar
Hidupan liar yang semakin pupus akan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem. Penerokaan kawasan-kawasan hutan boleh menyebabkan kemusnahan dan pengecilan habitat haiwan tertentu seperti harimau dan gajah yang memerlukan kawasan yang luas. Kawasan hutan yang kecil akan mengurangkan kemampuan haiwan-haiwan ini mencari makanan dan juga mencari pasangan untuk tujuan pembiakan. Selain itu, aktiviti perikanan moden Kematian dan pengurangan bilangan haiwan telah menyebabkan sesuatu spesies haiwan menjadi pupus.
Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana memiliki pelbagai spesies yang tidak dapat ditemui di negara lain. Kepupusan hidupan liar akan menyebabkan sesuatu spesies tidak lagi wujud atau ditemui di tempat lain. Selain itu, kepelbagaian haiwan dan tumbuhan adalah merupakan daya tarikan utama pelancong asing ke negara ini. Ekonomi pelancongan negara akan menjadi semakin merosot seiring dengan kepupusan hidupan liar. Generasi akan datang juga tidak dapat melihat spesies-spesies yang wujud sekiranya spesies-spesies ini pupus. Mereka hanya dapat melihat spesies-spesies ini dalam buku sahaja. Pembelajaran seharusnya menjadi lebih menyeronokkan apabila pelajar-pelajar sekolah dapat mengenali haiwan-haiwan yang dilindungi dengan lebih dekat lagi seperti mengadakan lawatan ke zoo dan tempat-tempat pemuliharaan.
Rajah 5: Orang utan didapati mati disebabkan oleh pembakaran hutan oleh manusia |
Kepentingan Memulihara Hidupan Liar
Pemuliharaan hidupan liar adalah amat penting bagi mengekalkan ekosistem. Malaysia merupakan bumi bertuah kerana dikurniakan kekayaan sumber asli, flora dan fauna oleh Ilahi yang mana kebanyakan spesies tidak ditemui di negara lain. Kepelbagaian biologi yang terdapat di negara kita adalah sebenarnya memberikan khidmat ekosistem seperti mengatur perjalanan cuaca dan iklim, kitaran hidrologi dan nutrien, membentuk tanah dan membersihkan udara dan air. Setiap spesies memainkan peranan masing-masing dalam memastikan ekosistem berada dalam keadaan stabil. Hidupan liar juga amat penting kerana dapat memberikan sumber maklumat atau pendidikan kepada masyarakat terutama sekali kepada pelajar sekolah. Sebagai contoh harimau dikategorikan kepada beberapa subspesies seperti Harimau Sumatera, Harimau Bengal, Harimau Indochina, Harimau Malaya dan Harimau China Selatan. Oleh itu, masyarakat akan berpeluang untuk mengenali spesies-spesies yang terdapat di negara kita dengan lebih dekat sekiranya haiwan-haiwan ini dilindungi daripada pupus. Hidupan liar juga merupakan sumber tarikan pelancong asing ke negara kita kerana kebanyakan spesies haiwan dan tumbuhan yang terdapat di negara ini tidak dapat ditemui di negara lain. Hal ini sekali gus dapat menjana pendapatan ekonomi negara.
Peranan Kerajaan dan Masyarakat
Pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah bekerjasama dengan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sejak Disember 2010. Kes penyeludupan hidupan liar di negara ini turun secara mendadak berikutan hukuman lebih berat dikenakan kepada penyeludup. Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) telah diwujudkan bagi melindungi 1,300 hidupan liar terutama yang berdepan ancaman kepupusan. Antara pembaharuan lain termasuk memperluaskan perlindungan spesies hidupan liar yang kini merangkumi amfibia (katak) arakniba (labah-labah) serta gastropoda (siput dara), selain spesies mamalia, reptilia, burung dan serangga. Sementara itu, orang ramai juga diberi amaran oleh pihak berwajib supaya tidak terbabit dengan kegiatan penjualan dan penyeludupan organ serta bahagian tertentu haiwan liar bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas. Pada tahun 2012, Unit Jenayah Hidupan Liar serta Pasukan Penguatkuasaan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (Penguatkuasa 1 NRE) telah ditubuhkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada masa itu iaitu Datuk Seri Douglas Uggah Embas pada masa itu bagi memantau dan membanteras kegiatan penyeludupan hidupan liar.
Salah satu badan bukan kerajaan yang bergiat dalam usaha memulihara hidupan liar ialah World Wildlife Foundation (WWF) atau Dana Hidupan Liar Sedunia. Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) meramalkan bahawa harimau akan pupus dalam masa 12 tahun lagi sekiranya tiada inisiatif pemuliharaan dilakukan dengan segera. Setelah kehilangan tiga subspesies harimau, iaitu spesies Bali, Jawa dan Caspian, kini hanya tinggal lebih kurang 3 200 ekor harimau daripada enam subspesies lain. Oleh itu, badan bukan kerajaan ini giat melaksanakan pemuliharaan harimau dan juga haiwan lain yang terancam seperti badak sumatera, tuntung, orang utan, penyu dan gajah.
Rajah 6: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar |
Rajah 7: PERHILITAN |
Rajah 8: World Wildlife Foundation (WWF) |
Langkah-langkah Pemuliharaan Hidupan Liar
Pemuliharaan hidupan liar boleh dilaksanakan secara ex-situ dan in-situ. Pemuliharaan ex-situ merupakan pemuliharaan flora dan fauna di luar habitat semulajadi mereka. Bagi fauna yang dikategorikan sebagai terancam atau akan mengalami kepupusan akan dilindungi dan dibiakbaka dalam kurungan atau habitat buatan manusia sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi mereka apabila saiz populasi spesis tersebut telah pulih dan mempunyai habitat yang sesuai. Pemuliharaan ex-situ hidupan liar fauna dijalankan di zoo, akuarium dan program pembiakan kurungan. Jadual 1 di bawah menunjukkan beberapa buah tempat pemuliharaan ex-situ telah ditubuhkan oleh PERHILITAN di Malaysia iaitu:
Jadual 1: Pusat Konservasi dan jenis pemuliharaan spesies
Pusat Konservasi
|
Jenis Pemuliharaan Spesies
|
1. Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Batu Pahat, Perlis
|
· Napuh (Tragulus napu)
· Pelanduk (Tragulus javanicus)
· Kijang (Muntiacus muntjac)
|
2. Pusat Konservasi Hidupan Liar Bukit Pinang, Kedah
|
· Tuntung Sungai (Batagur baska)
· Tuntung Laut (Callagur borneoensis).
|
3. Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak
|
· Rusa Sambar (Cervus unicolor)
· Seladang (Bos gaurus hubbacki)
· Burung Kuang iaitu Merak Pongsu (Polyplectron malacense), Merak Hijau (Pavo muticus), Merah Mata (Lophura erythropthalma), Kuang Raya (Argusianus argus), Kuang Cermin (Polyplectron inopinatum) dan Ayam Pegar (Lophura ignita).
|
4. Pusat Konservasi Hidupan Liar Bota Kanan, Perak
|
· Tuntung Sungai (Batagur baska) dan Tuntung Laut (Callagur borneoensis)
|
5. Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor
|
· Badak Cipan (Tapirus indicus)
· Buaya Julung-julung (Tomistoma schlegeliidan)
· Landak Raya (Hystrix brachyura)
|
6. Pusat Konservasi Hidupan Liar Bangas, Johor
|
· Kijang Semenanjung (Muntiacus muntjac)
· Kijang dari Borneo (Muntiacus atherodes).
|
7. Pusat Konservasi Hidupan Liar Jemaluang, Johor
|
· Burung Kuang yang terdapat di pusat ini adalah sebanyak lima spesies yang terdiri dari Merak Pongsu (Polyplectron malacense), Merak Hijau (Pavo muticus), Merah Mata (Lophura erythropthalma), Kuang raya (Argusianus argus) dan Pegar (Lophura ignita).
|
8. Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan, Pahang
|
· Seladang (Bos gaurus hubbacki)
|
9. Pusat Konservasi Hidupan Liar Gua Musang, Kelantan
|
· Rusa Sambar (Cervus unicolor).
|
10. Pusat Konservasi Hidupan Liar Bukit Paloh, Terengganu
|
· Tuntung Sungai (Batagur baska)
|
11. Pusat Konservasi Hidupan Liar Sepilok, Sabah
|
· Orang Utan
· Beruang Madu
· Beruang Matahari
|
12. Pusat Konservasi Hidupan Liar Semenggoh, Sarawak
|
· Tuntung
|
Pihak PERHILITAN juga telah menubuhkan Perbankan Sumber Genetik Hidupan Liar yang bermula pada akhir tahun 2006 dan merupakan tempat penyimpanan bahan biologikal termasuklah sperma, embrio, tisu, darah (Sel Darah Merah, Sel Darah Putih dan Serum) dan DNA daripada spesies hidupan liar Malaysia. Perbankan genetik ini terdiri dari dua unit yang saling berkaitan iaitu Pusat Depositori Kryogenik dan Unit Genetik Molekular Hidupan Liar.
Manakala pemuliharaan in-situ pula merupakan pemuliharaan terhadap spesies yang telah sedia ada di habitat asalnya. Kaedah ini banyak dijalankan dengan menubuhkan taman-taman negara di negara masing-masing. Hal ini adalah bertujuan untuk melindungi flora dan fauna serta dijadikan sebagai eko pelancongan kepada rakyat tempatan dan pelancong asing. Taman Laut juga adalah jenis pemuliharaan in-situ seperti Taman Laut di Pulau Tioman, Pahang dan di Pulau Perhentian, Terengganu. Taman negara dan taman laut dapat memelihara dan memulihara kepelbagaian biologi hutan yang kaya dan menjamin kestabilan alam sekitar.
Rajah 9: Taman Negara Endau-Rompin |
Cadangan Penyelesaian Isu di Malaysia
Masalah kepupusan hidupan liar ini boleh diatasi apabila masyarakat diberi kesedaran tentang kepentingan menjaga hidupan liar daripada semakin pupus. Oleh itu, pelbagai kempen kesedaran seperti mengadakan ceramah kepada orang ramai boleh diadakan supaya masyarakat terutama sekali berada di luar bandar diberi pendedahan tentang spesies hidupan liar yang kian pupus dan cara-cara untuk membantu memulihara hidupan liar. Peranan guru-guru di sekolah dan ibu bapa juga perlu dimainkan supaya kanak-kanak diberi kesedaran tentang kepentingan memulihara khazanah alam sejak kecil lagi. Selain itu, golongan belia juga hendaklah bergiat aktif dalam melibatkan diri menjadi sukarelawan untuk membantu memulihara hidupan liar di negara kita. Kerjasama daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan serta masyarakat juga diperlukan bagi merealisasikan impian supaya hidupan liar dapat dipulihara dan dikekalkan sehingga generasi masa hadapan.
Rajah 10: Kempen kesedaran pemuliharaan harimau |
Ganja...biarlah dia mampus HAHAHAHAHHA
ReplyDeleteMak dan bapak kau tak pernah ajar kau ke? Huuu. Kesian.
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSuatu rencana yang bagus dan memberi kefahaman dlm usaha melindungi khazanah alam semulajadi.Syabas.
ReplyDeleterencana yg sangat bagus.Saya sokong seratus peratus..
ReplyDeleteThank you so much...
ReplyDeleteThank you so much...
ReplyDeleteinformation yang baik..sama2 kita melindungi dan menghargai nikmat flora dan fauna di negara kita.
ReplyDeletei
ReplyDeletebgus sangat bermanfaat untuk remaja seperti saya ☺️
ReplyDelete