Thursday, 16 October 2014

Rencana : Pemuliharaan Hutan

Pemuliharaan Hutan : Masa Depan Khazanah Negara
Oleh : Fadhlin Zahirah Binti Suhimi

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan khazanah hutan semula jadi yang amat tinggi nilainya malah pernah dinobatkan sebagai negara yang memiliki hutan hujan tertua di dunia yang berusia berjuta tahun (Ashriq Fahmy, 2011). Dalam meniti cabaran era globalisasi dan teknologi pada masa kini, hutan semakin terancam akibat ketamakan dan kerakusan segelintir manusia yang ingin mengaut keuntungan dengan melakukan kemusnahan dan pencemaran terhadap hutan di negara kita. Tidakkah mereka sedar perbuatan mereka ini sememangnya perbuatan yang sangat merugikan?

Marcapada ini, kita dikejutkan dengan satu isu kawasan hutan negara yang semakin mengecil saban tahun (Safri, 2013). Kawasan hutan di negara kita semakin terhad kesan daripada pembangunan yang begitu drastik bagi memenuhi keperluan masyarakat. Tambahan pula, kemusnahan hutan secara berleluasa juga menjadi pemangkin kepada permasalahan dalam isu ini. Menurut Jegatheswaran iaitu penceramah dari Fakulti Perhutanan UPM, Malaysia mempunyai rekod pengurusan hutan yang baik sejak 1901 kerana mengamalkan penghasilan secara saintifik bagi menjamin pengeluaran, pemulihan dan pemuliharaan hutan yang teratur (Safri, 2013). Oleh itu, sewajarnya kita menjaga prestasi dan mutu perkhidmatan negara dalam pengeluaran kayu ke seluruh dunia.


Isu kawasan hutan negara semakin terhad


Jika kita perhalusi hal ini, kerajaan sememangnya menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan hutan negara terus wujud dalam tempoh 100 tahun akan datang. Oleh itu, Jabatan Perhutanan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bertanggungjawab untuk mentadbir, mengurus dan membangunkan khazanah hutan di negara ini. Sehingga kini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sudah mencapai umur 110 tahun sejak penubuhannya. Sementara itu, Jabatan Perhutanan Sabah pula telah ditubuhkan pada 1914 diikuti dengan penubuhan Jabatan Perhutanan Sarawak pada tahun 1919 (Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, 2013; Jabatan Perhutanan Sabah, 2014; Jabatan Perhutanan Sarawak, 2014). Jabatan Perhutanan telah menjalankan fungsinya dalam memeliharaan biodiversiti, memulihara kawasan hutan, penguatkuasaan undang-undang dan pengurusan hutan bagi mengekalkan kepelbagaian biologi sumber hutan yang pelbagai.

Ketika melihat paparan gambar-gambar hutan yang gondol dan ditarah baru-baru ini, terdetik hati penulis mengatakan “Lupakah kita akan tanggungjawab manusia yang diangkat Allah swt sebagai khalifah dimuka bumi ini?” Al Quran dan sunnah memberi penekanan yang serius dalam menjaga alam sekitar dan menyeru manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya serta memanfaatkan khazanah alam sebagai satu kurniaan Tuhan yang agung (Mohd. Radzi, 2008). Usaha murni untuk memulihara hutan disanjung mulia dalam agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung di sisi Tuhan. Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam kerana disebalik kehijauan hutan, kebiruan langit dan ketenangan air yang menderu memperlihatkan kekuasaan Allah Yang Maha Esa (Mohd. Radzi, 2008).

Meskipun negara kita sudah mencapai negara membangun namun masih terdapat golongan orang Asli dan penduduk Pribumi Sabah dan Sarawak yang mendiami hutan dan menjadikan hutan sebagai sumber pencarian rezeki mereka. Impak daripada penerokaan, pembakaran dan pembalakan hutan telah mengganggu budaya dan kehidupan masyarakat orang Asli dan etnik pelbagai kaum disamping merosakkan habitat semula jadi pelbagai flora dan fauna. Budaya hidup seseorang juga mempengaruhi tindakannya terhadap alam sekitar (Mohd Zuhdi, 1998). Budaya hidup masyarakat yang tidak menghargai alam dan mementingkan pembangunan semata-mata telah mendorong mereka untuk mengeksploitasi hutan secara besar-besaran demi kepentingan diri. Oleh itu, pemupukan nilai murni terhadap alam sekitar perlu dilakukan dalam setiap peringkat umur bagi menangani krisis yang melibatkan kemusnahan dan pencemaran hutan. Nilai dan moral yang baik ini secara tidak langsung akan mewujudkan rasa bertanggungjawab dan memupuk sikap kepedulian masyarakat terhadap masalah yang menimpa khazanah hutan negara kita.

Hutan di Malaysia yang kaya dengan pelbagai hidupan biotik dan abiotik memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Pemuliharaan hutan penting kerana hutan merupakan habitat flora dan fauna. Penebangan hutan telah menyebabkan banyak spesies flora dan fauna diancam kepupusan seperti seladang, periuk kera, orang Utan, Harimau Malaya dan tapir. Kepelbagaian biodiversiti menjadikan khazanah hutan sangat bernilai terutama dalam penyelidikan dan pembangunan. Kajian mengenai khasiat perubatan hutan masih meluas dan berpotensi untuk dimajukan (Informasi, 2011). Hanya sebilangan kecil sahaja khasiat yang diketahui seperti tongkat Ali, kacip Fatimah, mahkota dewa dan misai kucing yang mana hakikatnya masih banyak khasiat hutan yang belum dikaji dan diterokai. Tambahan pula, kepelbagaian kayu seperti balak, meranti, cengal, keruing dan jati sangat penting dalam industri pembuatan perabot dan pembinaan rumah. Sumber-sumber ini telah menyumbang kepada pendapatan negara dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Tahukah anda? Mengikut statistik FAO, nilai eksport kayu dan produk kayu Malaysia pada tahun 2004 ialah USD 3.53 billion (Malaysian Timber Council, 2007). Tidakkah ini akan merugikan negara kita sekiranya pembalakan dan penebangan hutan dilakukan sewenang-wenangnya tanpa ada usaha untuk memulihara hutan?

Selain itu, hutan juga berperanan untuk menstabilkan suhu dunia melalui proses fotosintesis yang dapat memastikan purata suhu di negara kita tidak meningkat. Pembalakan hutan secara berleluasa menyebabkan suhu bertambah panas kerana peratus karbon dioksida yang bertambah telah menguasai ruang udara. Tambahan pula, hutan juga merupakan kawasan tadahan hujan di mana akar-akar pokok berfungsi untuk mencengkam tanah dan memperlahankan air larian permukaan semasa hujan. Jika hutan telah ditebang secara berleluasa, tanah-tanih akan mengalir ke dalam sungai semasa hujan dan menjadikan kawasan sungai cetek kerana tanah telah termendap di dasar sungai.

Krisis isu kawasan hutan negara yang semakin terhadap berpunca daripada penerokaan, pembalakan dan pembakaran hutan secara berleluasa tanpa kawalan. Penerokaan hutan untuk tujuan pembangunan menyebabkan kawasan hutan semakin mengecil dari hari ke hari. Hutan yang diterokai oleh golongan yang tidak bertanggungjawab menyebabkan saliran sungai menjadi cetek akibat berlakunya hakisan tanah dan timbunan pasir dan lumpur yang dibawa dari kawasan hutan yang diteroka. Keadaan air yang naik semasa hujan telah menyumbang kepada banjir kilat dan banjir lumpur di kawasan tersebut kerana hutan tidak lagi menjadi kawasan tadahan hujan.


Hakisan tanah berlaku dan memendapkan sungai


Penerokaan dan pembalakan hutan telah menyebabkan cuaca yang panas.






Pembalakan hutan yang tidak terkawal dan secara haram untuk tujuan komersial telah menyumbang kepada kepupusan flora dan fauna. Perbuatan menebang dan mengeluarkan kayu balak telah menyebabkan kawasan hutan menjadi gondol dan menyebabkan haiwan-haiwan terpaksa berpindah ke tempat lain dan tumbuhan-tumbuhan yang berharga musnah. Selain itu, pembakaran hutan yang dijalankan untuk tujuan pembukaan tanah yang baharu telah menyumbang kepada jerebu dan cuaca yang panas (Shaharuddin dan Noorazuan, 2006). Fenomena jerebu yang berlaku di negara kita kesan daripada pembakaran hutan di Sumatera telah menyebabkan penyakit asma, batuk, penyakit paru-paru dan sesak nafas menimpa sebilangan rakyat Malaysia. Kandungan peratus karbon dioksida yang semakin bertambah menyebabkan suhu semakin panas dan cuaca yang kering.

Sehubungan dengan itu, kerajaan dan masyarakat memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani isu ini. Penanaman semula pokok bagi menggantikan pokok yang telah ditebang harus dilakukan segera. Penghutanan semula kawasan yang ditebang mampu menampung keperluan negara dalam pengeluaran produk kayu pada masa akan datang. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang haruslah dikenakan ke atas pihak yang sewenang-wenangnya melakukan penerokaan dan pembakaran hutan. Dalam usaha untuk memulihara hutan di negara kita, Jabatan Perhutanan telah mengambil langkah dalam menubuhkan hutan simpan dara sebagai rezab semulajadi. Di samping itu, pengurusan hutan secara lestari juga perlu dititikberatkan iaitu mengurangkan kadar pembalakan tahunan dengan menghadkan kuota lesen pembalak serta penebangan secara terpilih bagi memastikan pokok yang matang sahaja ditebang (FRIM, 2010). Masyarakat juga mempunyai peranan dalam menangani isu ini dengan menyokong usaha kerajaan untuk memulihara hutan dan prihatin terhadap isu penerokaan hutan yang berlaku di negara kita. Budaya hidup masyarkat yang menjaga kebersihan perlu dijadikan amalan dan gaya hidup bagi memastikan kawasan pelancongan hutan seperti Taman Negara tidak terganggu.


Semua hutan perlu diwartakan sebagai hutan simpan atau taman negara.



Proses penanaman semula hutan merupakan satu usaha yang baik.




Pada pandangan saya, pendidikan alam sekitar pula perlu diterapkan dalam kurikulum sekolah. Murid-murid perlu didedahkan mengenai isu semasa alam sekitar bagi memberikan pendedahan yang sewajarnya seterusnya membentuk masyarakat yang menyayangi alam sekitar. Selain itu, masyarakat juga seharusnya mengamalkan budaya kitar dan guna semula barang-barang yang telah digunakan. Penggunaan sumber secara positif juga perlu diamalkan seperti menggunakan kertas dengan bijak tanpa pembaziran agar sumber kayu balak dapat dikurangkan. Langkah ini juga boleh dilanjutkan dengan menjalankan kempen kesedaran menggunakan media massa dan media elektronik bagi mendedahkan kepentingan hutan kepada masyarakat selain menyalurkan cara untuk memeliharan dan memulihara hutan kepada orang ramai melalui pameran, ceramah atau pertandingan poster dan sebagainya. Di samping itu, tindakan yang boleh diambil adalah dengan mewartakan semua kawasan hutan sebagai Hutan Simpan kekal dan taman negara bagi memastikan kawasan hutan terus terpelihara. Kesimpulannya, keseimbangan ekosistem hutan memberikan kesan kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup selari dengan kemajuan dan kemakmuran negara.

No comments:

Post a Comment