Thursday, 16 October 2014

Rencana : Pencemaran Air




Pencemaran Air
Oleh: Suriati binti Johari


Definisi

        Pencemaran air merupakan satu fenomena yang telah wujud sejak Zaman Neolitik lagi. Kes kematian terawal yang pernah direkodkan dalam sejarah kehidupan manusia disebabkan oleh pencemaran air telah berlaku pada Zaman Keagungan Rom (Chan, 2003). Pencemaran air boleh diertikan sebagai penambahan benda asing yang tidak diperlukan dan menyebabkan kemerosotan kualiti air (Anhar Suki, 1999). Haliza Abdul Rahman (2007) menyatakan bahawa air dikatakan tercemar apabila berlakunya perubahan-perubahan dalam komposisi kimia, biologikal dan fizikal sehingga ianya tidak sesuai untuk digunakan seperti untuk bekalan air minuman, habitat kepada hidupan akuatik, pengairan untuk pertanian, pengangkutan, rekreasi dan sebagainya. UNESCO pula mendefinisikan pencemaran air sebagai satu pelemahan ke atas fungsi air yang meninggalkan kesan negatif terhadap penggunaannya. 

Ciri-ciri Air Tercemar dan Pengkelasannya

       Lazimnya sumber air yang tercemar boleh dikenal pasti hanya dengan melihat kepada warnanya yang keruh dan baunya yang busuk. Air yang tercemar juga mempunyai tahap pH yang tidak seimbang iaitu sama ada terlalu berasid atau terlalu beralkali. Ini tentu sekali mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan manusia yang menggunakannya dan turut berbahaya kepada kehidupan akuatik. Dalam konteks negara kita, bagi membolehkan tahap pencemaran air dikelaskan, beberapa petunjuk kualiti air diperlukan untuk menilai sama ada sesuatu air sungai yang dijadikan sumber bekalan air itu berkualiti ataupun tidak. Petunjuk- petunjuk ini merupakan kawalan kepada tahap pencemaran yang wujud di dalam badan air (Ismail Yaziz, 2001). Petunjuk kualiti air terdiri daripada Parameter Oksigen Biokimia (BOD), Parameter Oksigen Kimia (COD), Oksigen Terlarut (DO), Nitrogen Ammonia (NH3-N), Pepejal Terampai (SS) dan pH. Berikut disenaraikan pengkelasan tahap kebersihan sesuatu sumber air berdasarkan petunjuk kualiti air yang telah ditetapkan:


                    Jadual 1: Pengkelasan Tahap Kebersihan Sungai Berdasarkan IKA
Paramater
Bersih
Sedikit Tercemar
Teruk Tercemar
Indeks Kualiti Air
81-100
60-80
0-59
BOD
91-100
80-90
0-79
Nitrogen Ammonia
92-100
71-91
0-70
Pepejal Terampai
76-100
70-75
0-69










Pencemaran Air Di Malaysia

Senario pencemaran air di negara kita khususnya pencemaran sungai merupakan satu isu yang amat mendesak. Kualiti air sungai-sungai di Malaysia semakin terancam dengan pencemaran dan ini dapat dibuktikan melalui analisis sejak tahun 1976 yang menunjukkan terdapat 42 batang sungai yang teruk tercemar. Pada tahun 1987 pula terdapat 4 batang sungai didapati teruk tercemar sementara 25 batang sungai lagi sedikit tercemar. Laporan Kualiti Alam Sekeliling 1997 dan Jabatan Alam Sekitar pula menunjukkan bilangan sungai yang dikategorikan sebagai ‘bersih’ telah berkurangan sebanyak 43 peratus dari tahun 1996 ke 1997. Dalam tempoh yang sama, bilangan sungai yang tercemar pula telah bertambah sebanyak hampir sekali ganda daripada 13 batang pada tahun 1996 kepada 25 batang pada tahun 1997. Pada tahun 2007 pula, sebanyak 16 batang sungai di negara ini dikategorikan sebagai tercemar dan ‘hampir mati’ (Shariza Abdullah, 2007). Kita harus sedar bahawa kos bagi memulihkan sumber air yang telah  tercemar boleh menelan belanja jutaan ringgit Malaysia. Sebagai contoh, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Jabatan Pengairan dan Saliran telah mendapat peruntukan kira-kira RM500 juta untuk melakukan kerja-kerja pemulihan sungai. Angka-angka ini sekaligus memberi petunjuk kepada kita bahawa betapa kritikalnya isu pencemaran air yang berlaku di negara ini.


                          Jadual 2: Kualiti Air Sungai di Malaysia (1995 dan 1999)
Kategori


1995

1999

Bilangan
%
Bilangan
%
Sungai tercemar
14
12.2
13
10.8
Tercemar (sedikit)
53
46.1
75
62.5
Bersih
48
41.7
32
26.7



Punca dan Kesan

Pembuangan sisa domestik di kawasan bandar
      Antara punca-punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran air khususunya di negara kita ialah disebabkan oleh proses pembandaran. Peningkatan jumlah penduduk telah mendorong kepada pertambahan kawasan kediaman, perniagaan dan perindustrian. Sisa kumbahan domestik dari kawasan kediaman dan perniagaan yang tidak dirawat dengan betul dilepaskan terus ke sungai-sungai berdekatan sekaligus menyebabkan pencemaran. Pembuangan sisa domestik khususnya sampah sarap dari kawasan-kawasan setinggan menjadi punca kepada pencemaran teruk yang dialami oleh Sungai Gombak dan Sungai Klang di Kuala Lumpur (Jamaluddin Md Jahi, 1996). Sektor perkilangan dan perindustrian juga merupakan antara penyumbang terbesar terhadap krisis pencemaran air yang kita alami. Kebanyakan kilang dan industri bertindak membuat pelepasan effluent atau sisa kilang ke sungai, tasik, paya dan segala sumber air berhampiran. Malahan, senario ini semakin rumit dengan pengenalan bahan kimia baharu setiap hari untuk proses pengeluaran di kilang dan industri yang mana kesannya terhadap alam sekitar masih belum diketahui.

Proses hakisan tanah yang membawa kepada pencemaran air
          Selain itu, aktiviti pembangunan tanah untuk memenuhi keperluan semasa manusia secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya hakisan tanah dan seterusnya sumber air berhampiran mengalami pencemaran pepejal terampai (Sulong Mohamad, Mohd Ehwan Toriman, Kadarudin Aiyub & Mokhtar Jaafar, 2005). Contoh pencemaran air yang berlaku akibat aktiviti pembangunan tanah ialah pencemaran air di Sungai Kelantan pada tahun 1970-an ekoran pembangunan tanah kawasan KESEDAR. Ini tidak termasuk dengan penggunaan racun seperti DDT dan penggunaan baja kimia dalam sektor pertanian yang menyebabkan sumber-sumber air seperti air sungai, paya dan tasik tercemar akibat dibawa oleh air hujan. Penyaliran najis haiwan dan pembuangan sisa-sisa haiwan yang disembelih atau mati ke sungai, tasik dan paya dalam sektor penternakan akan menyebabkan peningkatan kandungan bakteria E.Coli dalam sumber air dan kadar aliran air sungai yang amat perlahan. Contohnya Sungai Sepang di Selangor telah dikelaskan sebagai terjejas teruk akibat pembuangan najis dan sisa ternakan dari hampir 100 ladang khinzir yang terletak di tebingnya (Salina Abdullah, 2002). Faktor-faktor lain seperti aktiviti perlombongan, pembangunan sumber tenaga dan mentaliti masyarakat kita sendiri yang kurang prihatin terhadap alam sekitar juga merupakan penyebab kepada isu pencemaran air di negara ini.

Air sungai yang tercemar akibat aktiviti pembangunan tanah 
Aktiviti penternakan haiwan turut menjadi
penyumbang kepada masalah pencemaran air




    Pencemaran air bukan sahaja mengganggu keselesaan awam, malah ia turut menyebabkan  tersebarnya wabak penyakit seperti taun. Sumber air yang telah tercemar juga sukar dirawat dan lama kelamaan negara akan mengalami kekurangan sumber bekalan air bersih. Jika perkara ini terjadi, kita mungkin perlu bergantung kepada bekalan air mentah yang bersih dari negara luar dan ini tentunya akan menelan kos perbelanjaan yang lebih tinggi. Bagi mengelakkan masalah ini daripada menjadi semakin kritikal, langkah-langkah untuk mengatasi isu pencemaran air harus dilakukan dengan segera dan secara menyeluruh. 



Langkah Mengatasi

Pelbagai pihak harus berganding bahu dalam
menjayakan usaha mengatasi masalah pencemaran air
      Oleh hal yang demikian, di pihak kerajaan, kempen kesedaran dan pendidikan terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar harus diperhebatkan dengan penglibatan bersama media massa dan badan-badan bukan kerajaan. Penguatkuasaan undang-undang, pemantauan yang teliti serta tindakan tegas termasuk denda dan kompaun harus dikenakan ke atas mana-mana pihak yang mencemarkan sumber-sumber air.Peruntukan kewangan bagi membaik pulih sistem perparitan daripada kawasan perumahan dan kawasan perindustrian juga dilihat sangat perlu agar sisa kumbahan dapat disalirkan serta dirawat di tempat yang sepatutnya. Pihak berkuasa juga seharusnya menambah bilangan tong sampah khususnya di tempat-tempat awam dan di pusat pengumpulan sampah. Ini bagi mengelakkan masyarakat daripada terus menerus menjadikan kawasan berair seperti sungai, tasik, paya dan laut sebagai tempat membuang sampah. 

      Walau bagaimanapun kesemua usaha yang dinyatakan sebentar tadi tidak mampu mendatangkan hasil positif sekiranya masyarakat kita sendiri tidak mengubah tabiat dan mentaliti masing-masing terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Kesedaran dan inisiatif diri sendiri sebenarnya merupakan kunci utama kepada kejayaan usaha-usaha dalam memelihara dan memulihara sumber air negara. Masyarakat juga diharapkan dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memaklumkan sebarang kegiatan mencurigakan berkaitan pemeliharaan sumber air selain memberi sokongan padu terhadap kempen dan program pendidikan yang dijalankan. Di peringkat institusi pengajian pula usaha bagi mengatasi krisis pencemaran air ini boleh dimulakan dengan memberi pendidikan formal mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Pelajar-pelajar harus diberi pendedahan mengenai masalah ini dan kesannya kepada manusia. Melalui cara ini, negara akan dapat melahirkan generasi yang lebih peka terhadap isu alam sekitar dan sekaligus menurunkan kadar pencemaran alam sekitar pada masa akan datang. 



Bilangan tong sampah perlu ditambah agar orang awam
dapat memaksimumkan penggunaannya


    Air merupakan merupakan ciptaan Allah S.W.T yang amat besar peranannya dalam kehidupan kita. Walau sehebat mana pun pembangunan dan kepesatan ekonomi yang harus dikejar, sebagai khalifah di muka bumi ini kita tidak seharusnya lupa akan tanggungjawab kita dalam melindungi kestabilan alam ini. Tangan manusia merupakan senjata utama yang telah merosakkan banyak kemakmuran di muka bumi ini. Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata telah membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu dan bersatu hati dalam menangani masalah pencemaran air ini agar generasi pada masa akan datang dapat menggunakan anugerah Allah yang tidak ternilai ini sebagaimana kita berpeluang menikmatinya.


“ Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat
dan dilaut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan sebab
apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang
demikian) kerana Allah S.W.T hendak merasakan mereka sebahagian
daripada perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan,
supaya mereka kembali (insaf dan taubat)”
(Ar-Rum 11)

No comments:

Post a Comment