Pencemaran Udara Dan Kesannya Terhadap Bumi
Oleh:
Norhaniza binti Abu Bakar
Dasawarsa ini, kemajuan yang dihadapi oleh negara kita telah
menyebabkan banyak perubahan yang berlaku terhadap pembangunan negara. Perubahan
demi perubahan telah memberi kesan negatif terhadap alam sekitar seperti
berlakunya pencemaran udara. Pencemaran udara berlaku apabila terdapat
bendasing dalam kepekatan yang mengganggu atau membahayakan manusia,
tumbuh-tumbuhan, binatang dan harta benda. Bendasing tersebut terdapat dalam
bentuk habuk, asap, kabus, wap dan gas. Antara contoh bahan pencemar udara
ialah sulfur dioksida, karbon monoksida, nitrogen dioksida, alergen, plumbum
dan logam-logam lain. Bahan-bahan tersebut telah menggugat kualiti udara di
negara kita. Walaupun manusia memerlukan kemajuan yang berterusan, tetapi
kemajuan haruslah diperoleh tanpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar.
Pencemaran udara yang sering dilaporkan di dada akhbar
adalah berpunca daripada pelbagai aspek sama ada berlaku secara sengaja atau
tidak disengajakan. Salah satu punca utama berlakunya pencemaran udara ialah pembakaran terbuka. Antara contoh
pembakaran terbuka ialah pembakaran hutan, sawah-sawah padi dan juga pembakaran
yang dilakukan di kawasan perumahan sehingga menyebabkan berlakunya jerebu. Asap
dan bau yang dihasilkan dari pembakaran terbuka yang mengandungi karbon
monoksida (CO2) dan nitrogen oksida (NOx) akan turut
serta dalam pembentukan jerebu. Pembakaran terbuka juga turut berlaku di
kawasan perindustrian. Terdapat kilang yang menghasilkan bahan-bahan lainnya
yang apabila dibakar akan membentuk gas-gas beracun yang boleh membahayakan
penduduk setempat.
Pembakaran
terbuka di kawasan sawah padi
Jerebu buat
pertama kali muncul dan mengganggu kehidupan seharian di Malaysia pada April
1983. Ketika itu punca jerebu masih tidak diketahui dan andaian dibuat bahawa
puncanya adalah akibat dari abu terapung dari letusan gunung berapi, zarah asap
terapung dari hutan terbakar secara besar-besaran, pembakaran terbuka pertanian
di negara jiran dan juga pembakaran pertanian tempatan. Gangguan ini berterusan
pada Ogos 1990 dan berulang setiap tahun sejak 1992. Pembakaran terbuka yang
berlaku di negara jiran seperti Indonesia telah memberi kesan kepada kualiti
udara di negara kita dan perkara ini akan menjadi punca kepada berlakunya
pencemaran udara di negara ini. Jerebu yang berlaku memakan masa yang agak lama
untuk berkurangan dan perkara ini akan menjejaskan kebersihan alam sekitar.
Seiring dengan kemajuan negara,
masyarakat di negara kita juga telah mencapai kemajuan sebagai buktinya
majoriti daripada setiap keluarga memiliki sebuah kenderaan. Penggunaan kenderaan bermotor yang
semakin meningkat seperti graf di bawah telah mengundang berlakunya pencemaran
udara. Fakta menunjukkan bahawa kenderaan merupakan faktor terbesar yang
menyebabkan pencemaran udara. Keadaan ini boleh dilihat di kawasan-kawasan
bandar yang menjadi pusat tumpuan orang ramai akan sesak dengan kenderaan
bermotor. Asap kenderaan akan menghasilkan karbon monoksida seterusnya dibebaskan
ke udara dalam kuantiti yang banyak. Terdapat pengguna yang tidak mempunyai
kesedaran untuk melakukan servis kenderaan mereka kerana tidak memikirkan kesan
yang akan berlaku. Sekiranya semakin ramai masyarakat yang tidak mempunyai
kesedaran, maka kualiti udara negara kita berada pada tahap yang paling rendah.
Jumlah pendaftaran kenderaan bermotor dari tahun 2005
sehingga 2012
Sektor perindustrian juga
telah mengakibatkan isu pencemaran udara sering berlaku terutamanya di
kawasan-kawasan perkilangan. Pelepasan asap daripada cerobong kilang terus ke
udara telah berlaku tanpa tapisan. Misalnya, aktiviti perindustrian kilang
seperti pembuatan kereta, elektronik dan penghasilan baja melepaskan asap tanpa
pemasangan alat penapis udara. Asap yang dibebaskan terdiri daripada gas
merbahaya dan kotor sekaligus mencemarkan kualiti udara. Perkara sebegini
seharusnya dielakkan bagi menjamin kebersihan alam sekitar kita supaya dapat
memberi keselesaan kepada
masyarakat untuk berada di negara ini.
Pembebasan asap dari cerobong-cerobong kilang
Aktiviti masyarakat membakar sampah,
memasak menggunakan arang atau kayu, dan juga merokok boleh
menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Bilangan masyarakat yang semakin ramai
mempunyai tabiat suka merokok terutamanya di tempat awam telah menyumbang
kepada isu pencemaran udara. Perkara sebegini berlaku berpunca dari sikap
individu itu sendiri kerana tidak menyedari keburukan perbuatannya terhadap
alam sekitar. Selain itu, aktiviti membakar sampah yang dilakukan dengan
sewenang-wenangnya di kawasan kampung atau perumahan mengeruhkan lagi keadaan
persekitaran dengan asap-asap kotor yang tidak enak untuk dihidu. Oleh itu,
aktiviti segelintir masyarakat boleh menggugat kualiti udara sekaligus
menyebabkan berlakunya pencemaran udara.
Pembakaran terbuka boleh menyebabkan pencemaran udara yang secara langsung
akan menjejaskan tahap kesihatan
masyarakat yang tinggal atau bekerja berdekatan dengan kawasan berlakunya
pembakaran tersebut (Rita, 2002). Sejumlah besar partikel dan gas-gas seperti
karbon dioksida, metilbromida, karbon monoksida, metan, hidrokarbon, oksida
nitrik dan partikel habuk dihasilkan semasa pembakaran hutan. Karbon monoksida
akan bergabung dengan haemoglobin dan mengurangkan jumlah oksigen yang masuk ke
dalam darah kita. Gabungan tersebut akan mengakibatkan perubahan fungsi
sesetengah organ seperti otak dan sistem vaskular serta mengganggu perkembangan
fetus. Udara menjadi kotor dengan kandungan bendasing, gas karbon dioksida,
karbon monoksida dan bahan pencemaran yang lain. Pembakaran yang dilakukan di
luar yang kemudiannya dilepaskan ke udara sekeliling secara terus tanpa melalui
cerobong asap. Kandungan udara yang kotor boleh mengakibatkan kesakitan pada
otak dan juga boleh menyebabkan mata berair dan pedih. Justeru itu, pencemaran
udara telah memberi impak yang besar terhadap kesihatan manusia.
Bahan-bahan pencemar terampai di udara dan memberi kesan negatif kepada tumbuh-tumbuhan. Cahaya matahari dihalang
sampai kepada tumbuhan oleh pepejal terapung di udara. Dianggarkan bahawa
jumlah cahaya matahari dikurangkan sebanyak lebih kurang 70% ketika jerebu
berlaku berbanding hari tanpa jerebu. Pengurangan cahaya akan mengganggu proses
fotosintesis sekaligus menyebabkan tumbuhan semakin tidak produktif. Ianya
memberi kesan negatif kepada sektor pertanian kerana tumbuh-tumbuhan memerlukan
cahaya yang cukup untuk melakukan proses fotosintesis. Keadaan ini mengurangkan
keupayaan tumbuhan melakukan aktiviti-aktiviti tersebut seterusnya merencatkan
pertumbuhan pokok.
Bahan partikulat
terampai yang dilihat menggunakan mikroskop
Kepelbagaian biologi juga akan
terancam akibat daripada pencemaran udara. Kepelbagaian biologi
yang bermaksud keanekaan dan perbezaan organisma yang hidup dengan keanekaan
habitat dan proses biologi merupakan satu khazanah yang perlu dijaga untuk
generasi kini dan juga akan datang. Gas-gas seperti sulfur dioksida dan
nitrogen dioksida yang dihasilkan oleh industri boleh memberi kesan terhadap
pertumbuhan pokok-pokok. Asid yang terbentuk di atmosfera akan dimendapkan ke
kawasan hutan melalui hujan asid. Natijahnya, tanah akan menjadi lebih berasid,
kurang nutrien dan meningkatkan kepekatan elemen seperti aluminium yang boleh
merencatkan proses pertumbuhannya. Haiwan yang bergantung pada tumbuhan
tersebut juga akan terganggu proses pembesaran dan pembiakannya. Air daripada
tanah yang berasid juga akan mengalir ke kawasan tasik dan sungai sekaligus memberi
kesan terhadap hidupan akuatik. Oleh itu, kepelbagaian biologi di sesuatu
habitat akan merosot akibat daripada pencemaran udara.
Isu pencemaran udara juga boleh menjejaskan
industri pelancongan yang akan mengakibatkan kerugian yang besar. Habuk
yang banyak dibebaskan ke udara akan menjadikan persekitaran tidak bersih dan
tidak selesa. Kesan daripada ketidakselesaan tersebut, kadar kemasukan
pelancong asing ke negara ini akan berkurangan begitu juga masa lawatan akan
menjadi singkat. Secara tidak langsung, industri perhotelan, restoran dan
pengangkutan yang ditawarkan mengalami kerugian teruk. Pendapatan penduduk
tempatan juga akan berkurangan seperti penjualan kraftangan yang dihasilkan
tidak mendapat pulangan. Justeru itu, pencemaran udara telah memberi kesan yang
besar terhadap segala aktiviti yang berlaku dalam negara kita.
Pelbagai usaha yang telah dan boleh dilakukan bagi mengatasi isu pencemaran
udara yang sering melanda negara kita pada masa kini. Antara usaha yang telah
dilakukan ialah program kitar semula, kempen-kempen dan penguatkuasaan
undang-undang. Selain itu, usaha penggunaan teknologi moden juga boleh
dilakukan seiring dengan kemajuan yang dihadapi oleh negara dalam era teknologi
ini. Pada pendapat saya, bagi menjayakan usaha tersebut, kerjasama daripada masyarakat adalah sangat penting supaya dapat
sama-sama mengatasi isu pencemaran udara dan dapat menjaga kebersihan alam
sekitar. Kesedaran setiap individu harus ada untuk mengelakkan bumi ini dari
terus tercemar dengan aktiviti yang boleh membahayakan atau menjejaskan kualiti
udara. Kesedaran yang ada dalam diri akan menggalakkan seseorang itu untuk
berperanan dalam usaha mengatasi isu pencemaran udara yang berlaku di negara
kita.
Program Kitar Semula
merupakan salah satu cara bagi mengatasi isu pencemaran udara. Didikan kepada
masyarakat mengenai kitar semula ini perlu dilakukan secara berterusan supaya
menjadi kebiasaan supaya dapat membantu mengelakkan sampah-sarap yang banyak
mencemarkan kualiti udara di negara kita. Pelancaran Program Kitar Semula oleh
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan satu usaha untuk
mengurangkan penghasilan sampah dengan tujuan mengurangkan pencemaran terhadap
alam sekitar (Faeiza, 2002). Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul,
memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah.
Komitmen daripada semua pihak penting dalam menjayakan program kitar semula.
Saya juga berpendapat bahawa organisasi
seperti sekolah-sekolah atau Kelab Rakan Muda boleh bersama-sama dalam
membantu mengatasi isu pencemaran udara sekaligus menjaga kebersihan alam
sekitar. Para guru di sekolah harus memainkan peranan untuk memberi kesedaran
kepada anak didik supaya prihatin terhadap alam sekitar melalui subjek sains
atau pendidikan moral. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan
pertandingan kelas paling bersih supaya murid-murid mempunyai rasa
tanggungjawab terhadap alam sekitar. Usaha yang bermula dari sekolah adalah
sangat penting kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Muird-murid di
sekolah boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak dan mereka adalah lebih mudah
untuk dibentuk sejak dari awal lagi berbanding mereka yang telah mencecah usia
dewasa. Kelab Rakan Muda pula perlu mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti
mengumpul barang-barang kitar semula dari rumah ke rumah. Usaha sebegini akan
menggalakkan di negara kita untuk menyedari kepentingan menjaga alam sekitar
sekaligus dapat mengatasi isu pencemaran udara.
MiniVol Portable
Air Sampler
Kesimpulannya, pencemaran udara boleh membawa kesan negatif kepada
kesihatan kita di samping ketidakseimbangan bumi pada masa hadapan. Pertambahan
aktiviti perindustrian sememangnya membawa pembangunan dan kemakmuran kepada
negara. Namun, pembangunan yang kurang terancang memberi beberapa kesan
sampingan terhadap persekitaran. Menurut pandangan Islam bahawa manusia harus
sentiasa menjaga dan melestarikan alam agar tidak menjadi rosak atau tercemar.
Hal ini kerana, alam adalah kurniaan Allah yang diberikan kepada manusia
merupakan suatu amanah. Sebagai seorang rakyat di negara ini, kita mestilah
berganding bahu dalam memastikan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan
bersih dan sihat untuk manfaat bersama.
Suntuk !!!
ReplyDeleteGak tau mau ngapain?
yuk klik link kami nih
asian17.com
di jamin mantap