Thursday, 16 October 2014

Rencana : Rantai Makanan dan Siratan Makanan



Rantaian Dan Siratan Makanan Dalam Ekosistem Hutan Paya Bakau
Oleh : Najwa binti Zaninudin

Pengenalan
Ekosistem hutan paya bakau mempunyai rantaian dan siratan makanannya yang tersendiri. Ia melibatkan tumbuhan di daratan dan juga organisma yang hidup di dalam air dan daratan (dua alam). Pokok bakau merupakan pengeluar makanan utama dalam ekosistem hutan paya bakau. Pokok bakau membuat makanannya sendiri melalui proses fotosintesis setelah mendapat tenaga daripada  matahari. Daun, bunga dan buah pokok bakau menjadi sumber makanan kepada organisma herbivor di daratan seperti ulat, serangga, burung dan haiwan primat seperti monyet dan lutong cikong.
Namun begitu rantaian makanan ini tidak berterusan di daratan, ia akan diteruskan pula oleh hidupan dua alam di daratan yang menghuni hutan paya ini. Hidupan dua alam ini mendapat sumber makanan daripada dedaun dan buah pokok bakau yang gugur dan jatuh ke tanah. Selain itu juga ia datang daripada najis haiwan-haiwan primat. Apabila serasah daun bakau ini jatuh ke dalam air maka ia akan diuraikan oleh mikrorganisma seperti bakteria dan fungi untuk menjadi nutrien. Nutrien-nutrien tersebut menjadi sumber makanan pengguna primer dalam ekosistem seperti ketam,cacing dan udang. Seterusnya pengguna-pengguna primer ini akan menjadi sumber makanan kepada pengguna-pengguna sekunder yang lain yang lebih besar seperti ikan. Selain itu. ikan-ikan yang besar dan juga pengguna-pengguna primer boleh menjadi sumber makanan kepada pengguna-pengguna tertier yang bertindak sebagai karnivor di dalam ekosistem bakau seperti memerang, biawak dan ular. Akhirnya hasil-hasil perkumuhan pengguna primer, pengguna sekunder dan pengguna tertier akan diuraikan pula oleh mirorganisma yang lain untuk menjadi bahan nutrien yang baru.
Oleh sebab itu, bahan nutrien dalam ekosistem bakau sentiasa berkitar dan berterusan. Selain daripada hidupan di atas, zooplankton juga memainkan peranan yang penting dalam rantaian makanan ekosistem bakau ini. Ia menjadi perhubungan antara pengeluaran primer dengan pengeluaran tertier. 
 

                                                         Siratan Makanan di Hutan Paya Bakau 

                                                                 Pengenalan Kepada Rantai Makanan



                                           Proses Pembentukan Rantai Makanan Kepada Siratan Makanan
                    


                                                          

Kepentingan Hutan Paya Bakau Kepada Ekosistem
Hutan bakau penting untuk ekosistem pantai.  Detritus hutan bakau yang terdiri daripada daun-daun yang gugur dan dahan-dahan pokok bakau, menyumbangkan  nutrien untuk persekitaran marin.  Detritus ini turut menjadi asas makanan dalam jaringan makanan di hutan  bakau yang menyokong pelbagai jenis hidupan laut yang melibatkan spesies pemakan detritus seperti ikan belanak dan udang penaeid.  Daun-daun yang gugur akan diuraikan oleh bakteria, fungi, algae dan plankton sebagai sumber makanan bagi ikan-ikan kecil, ketam, udang dan moluska. 
Selain daripada peranannya sebagai asas makanan, hutan bakau juga memainkan peranan penting dalam perkembangan hidup beberapa spesies ikan, udang dan juga ketam kerana struktur akar jangkang dan pneumatofor yang ada pada pokok bakau memberi perlindungan kepada ikan-ikan kecil, udang dan ketam dari pemangsa dan pergerakan arus air serta ombak. Ini membolehkan ikan, udang dan ketam membesar sehingga cukup dewasa untuk berpindah ke laut. Sekiranya kawasan hutan bakau di sesuatu tempat itu pupus atau tercemar maka keseluruhan populasi ikan dan industri nelayan di kawasan tersebut akan terancam kerana tiada lagi tempat bagi anak ikan berlindung dan membesar.  





































































Tambahan pula, hutan bakau dan dataran lumpur kaya dengan pelbagai jenis makanan, termasuk plankton, tumbuh-tumbuhan air, cacing, krustasia, moluska dan ikan yang menjadi makanan utama bagi burung-burung air. Hutan bakau juga menjadi kawasan persinggahan untuk berehat dan mencari makanan bagi burung-burung yang berhijrah setelah terbang beribu-ribu kilometer (Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, 2006).  Sesetengah hutan bakau di Malaysia seperti Kuala Gula, Perak berada di atas laluan migrasi burung pesisiran pantai yang penting iaitu merupakan Jalur Migrasi Asia Timur-Australasia. Semasa musim sejuk di hemisfera utara, iaitu dari bulan September hingga Mei, banyak burung pesisiran pantai mengunjungi Kuala Gula untuk menghindari musim sejuk atau singgah sebentar untuk makan dan berehat sebelum meneruskan perjalanan mereka ke tempat lain. 

 

                                 Jenis-jenis burung berhijrah /migrasi

Kawasan hutan paya bakau yang kaya dengan sumber makanan dan tempat perlindungan turut menjadi habitat bagi monyet, buaya, harimau, ular dan sebagainya. Kepupusan hutan paya bakau menyebabkan siratan makanan dalam ekosistem pantai terjejas dan menyebabkan kepupusan spesies haiwan yang bukan sahaja akan memberi kesan terhadap ekologi semulajadi malah memberi kesan terhadap alam sekitar.

Langkah Mengekalkan Hutan Paya Bakau
 Kepentingan hutan bakau terhadap alam sekitar dan ekosistem sememangnya sentiasa disedari dan diberikan perhatian sewajarnya sama ada oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau Jabatan Perhutanan.  Oleh sebab itu, pihak JAS, Jabatan Perhutanan dan badan-badan NGO telah menjalankan beberapa langkah pemeliharaan dan pemuliharaan bagi memastikan kawasan hutan bakau ini terus terpelihara. Sebagai contoh, program menanam semula pokok bakau mampu untuk memeliharan kawasan hutan bakau daripada terus musnah.
Usahasama dan kerjasama pelbagai pihak juga penting dalam memastikan kelangsungan hutan paya bakau negara kita. Antara usaha yang boleh kita buat adalah dengan mengamalkan sikap sentiasa menjaga alam sekitar daripada terus tercemar. Kita mengamalkan amalan kitar semula untuk mengurangkan pembuangan sampah pepejal ke alam sekitar. Tambahan pula, pengurusan sampah pepejal yang efektif dan berkesan dilihat dapat mengurangkan kadar pencemaran yang boleh membawa ancaman terhadap alam sekitar.
Pendidikan amat memainkan peranan yang begitu penting dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan memelihara dan memulihara hutan paya bakau di negara Malaysia. Pelbagai kempen telah dijalankan oleh badan-badan bukan kerajaan dan kerajaan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai agar sentiasa memelihara hutan paya bakau yang cukup berharga kepada kehidupan seharian kita. Peranan guru dalam memberikan pengetahuan dan nasihat tentang kepentingan menjaga hutan paya bakau kepada anak murid amat dititikberatkan.

Hutan paya bakau merupakan satu kawasan ekosistem yang harus dipelihara bagi mengelakkan berlaku sebarang kemusnahan di kawasan ini.  Masyarakat akan rugi jika membiarkan tanah paya bakau mengalami kemusnahan kerana negara akan kehilangan satu ekosistem alam yang unik dan tidak terdapat di kawasan lain.  Jika eksploitasi berlebihan dilakukan di kawasan  tanah paya ini akan menyebabkan kawasan tanah paya bakau akan berkurangan dan keseimbangan ekosistem juga turut terancam.  Satu sistem pengurusan bagi mengelakkan pengurangan tanah paya yang efisen perlu dilaksanakan supaya dapat menjaga kelestarian tanah paya bakau agar akan terus berkekalan.  Oleh sebab itu, semua pihak seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan tanah paya bakau ini terus berkekalan dan tidak hanya memandang untuk mendapat keuntungan sahaja.




3 comments: