Thursday, 16 October 2014

Rencana : Tenaga yang Boleh Diperbaharui


Tenaga Yang Boleh Diperbaharui
Oleh : Siti Nor Fatin Izianti binti Nasib
Tenaga
Tenaga merupakan elemen yang sangat penting dalam memacu perkembangan ekonomi sesebuah negara termasuk Malaysia. Walaupun Malaysia mengeluarkan petroleum sendiri untuk kegunaan tempatan tetapi dalam jangka masa panjang, bahan mentah ini akan kehabisan. Menurut Syahrul Hisham et. al. (2012), berdasarkan kajian terkini ke atas penggunaan tenaga, dunia akan mengalami krisis kekurangan tenaga bagi sumber gas asli dalam masa 60 tahun dan jangka hayat arang batu pula hanya mampu bertahan 130 tahun dari sekarang. Justeru, kerajaan telah membangunkan tenaga yang boleh diperbaharui untuk memastikan bekalan tenaga ini dapat dijana secara berterusan untuk jangka masa yang panjang. Menurut Lian (2011), hasil kajian seramai 120 penyelidik daripada Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) menunjukkan sumber tenaga boleh diperbaharui berupaya untuk menampung 77% permintaan tenaga dunia menjelang tahun 2050, berbanding 13% pada tahun 2008. Ini menunjukkan bahawa tenaga yang boleh diperbaharui akan berkembang sejajar dengan globalisasi dunia pada hari ini.
Malaysia juga telah menjalankan pelbagai usaha untuk mencari dan menjana tenaga diperbaharui sebagai bekalan tenaga untuk masa depan khususnya untuk kehidupan generasi akan datang. Antara usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan ialah dengan menubuhkan Pusat Tenaga Malaysia (PTM) pada 1998 untuk mengkoordinasi dan mengurus program kajian dan pembangunan mengenai tenaga dan mempromosikan penggunaan tenaga diperbaharui di Malaysia. Tenaga diperbaharui berbeza dengan bahan api fosil kerana bekalan tenaga ini akan kekal untuk selama-lamanya.. Antara tenaga alternatif yang boleh dijana di Malaysia ialah tenaga solar, tenaga hidro, tenaga biomass dan tenaga angin.

Sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui
Tenaga solar diperolehi melalui pancaran cahaya matahari. Tenaga ini telah digunakan sejak berkurun lamanya untuk mengeringkan pakaian dan hasil pertanian seperti padi, koko, kopi, ikan bilis, ikan kering dan sebagainya. Malaysia berpotensi untuk projek menjana tenaga solar kerana menerima pancaran cahaya matahari selama 6 jam sehari dan tenaga ini adalah percuma serta menyeluruh. Kini, terdapat empat teknologi tenaga solar iaitu pemanasan udara untuk proses pengeringan, pemanasan air untuk menghasilkan air panas, pencahayaan melalui sinaran nampak yang tiba di muka bumi dan penukaran tenaga solar gelombang elektromagnet kepada tenaga elektrik iaitu sistem fotovoltaik. Tenaga solar banyak digunakan di kawasan pedalaman misalnya di Sarawak untuk mendapatkan bekalan elektrik dengan menggunakan panel sel fotovoltaik. Pada hari ini, menerusi sistem feed-in-tariff, pengguna dibayar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk setiap kilowatt tenaga elektrik yang dijana melalui sistem solar. 

Menukar tenaga solar kepada tenaga elektrik
Selain tenaga suria, tenaga hidro juga adalah tenaga yang amat penting sebagai salah satu sumber tenaga diperbaharui. Tenaga hidro digunakan sebagai bekalan air, kawalan banjir, pengairan dan tujuan rekreasi. Di Malaysia, penjanaan tenaga elektrik yang menggunakan tenaga hidro telah bermula pada awal tahun 1900 hinggalah sekarang. Sebanyak 90% bekalan elektrik bergantung kepada tenaga hidro. Antara tempat penjanaan kuasa hidroelektrik ialah di Empangan Chenderoh, Empangan Kenyir dan Empangan Bakun.
Di samping itu, tenaga biomass juga merupakan tenaga yang boleh diperbaharui iaitu tidak akan habis. Tenaga ini sebenarnya telah digunakan semenjak zaman purba lagi iaitu sebagai sumber tenaga untuk memasak, memanaskan badan, melebur logam dan pembuatan senjata. Biomass atau biojisim merupakan bahan organik daripada tumbuhan dan haiwan yang merupakan satu-satunya sumber yang sentiasa tersedia daripada sistem kitaran biologi semula jadi. Di Malaysia, sisa kelapa sawit mencecah 20 tan per hektar setahun, sisa padi menghampiri 10 tan per hektar setahun dan sisa dari industri balak, tekstil dan perabot melebihi 100 000 tan setahun. Semua ini merupakan ‘aset’ utama bagi tenaga biomass. Melalui proses uji kaji, rawatan dan olahan daripada formula-formula tindak balas tertentu, keupayaan biomass telah teruji sebagai suatu ejen pembakar berimpak dan berkapasitii tinggi yang berpotensi digunakan untuk menjana kuasa haba atau elektrik, penjanaan kuasa dalam loji kuasa stim, penjanaan kuasa dalam enjin pembakaran dan sebagai gas pengeluar untuk dapur masak.
Menukarkan biojisim kepada bentuk tenaga lain

Malaysia juga mengambil inisiatif dalam mempelbagaikan sumber tenaga dengan menggunakan tenaga angin sebagai sumber tenaga diperbaharui. Angin telah digunakan sebagai sumber kuasa berjuta-juta tahun dulu. Kincir angin telah dibina di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak pada Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995). Kincir angin ini telah membekalkan kapasiti 150 kilowatt (kW). Antara negara yang menggunakan turbin angin ialah Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Itali, Denmark, China dan Portugal.

Kebaikan tenaga yang boleh diperbaharui
Antara kebaikannya adalah tenaga alternatif dapat mengelakkan pencemaran.  Menurut Lian (2011), pelepasan gas rumah hijau juga dapat dikurangkan daripada 220 hingga 560 gigaton dari tahun 2010 hingga 2050 dengan menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui ini. Pembakaran bahan fosil seperti petroleum akan mengeluarkan karbon monoksida, yang menjadi salah satu punca utama dalam pencemaran udara. Gas yang terhasil daripada aktiviti rumah hijau mewujudkan fenomena pemanasan global, peningkatan suhu persekitaran yang mengakibatkan peningkatan paras air laut. Manakala sumber tenaga alternatif seperti solar, biomass, hidro dan sebagainya hanya menggunakan tenaga semula jadi dan tidak mencemarkan alam sekitar. Contohnya penggunaan biomass yang mana kandungan sulfur yang terhasil daripada proses pembakarannya menghampiri sifar berbanding sulfur dioksida yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil iaitu sebanyak 2 hingga 4 peratus yang menjadi pemangkin pencemaran.
Kebaikan seterusnya ialah dapat mengatasi krisis tenaga. Kadar penggunaan tenaga yang pesat akan mengakibatkan sumber tenaga fosil berkurangan. Sumber tenaga fosil seperti minyak, gas, dan arang batu bukan sahaja terhad malah tidak boleh diperbaharui dan dijangka akan kehabisan satu hari nanti.  
Kebaikan yang ketiga adalah sumber tenaga ini boleh dikitar semula. Contohnya, sumber fosil seperti petroleum tidak dapat dikitar semula seperti biomass dan tenaga hidro. Ini kerana sumber tenaga alternatif hanya bergantung kepada alam semula jadi seperti air, angin dan matahari. Semua sumber tenaga ini adalah percuma dan tidak memerlukan kos yang mahal untuk mendapatkannya.

Keburukan tenaga yang boleh diperbaharui
Walaupun penggunaan tenaga alternatif memberi kebaikan dalam kehidupan harian kita, namun ia ada juga mempunyai keburukan. Antaranya adalah menjejaskan ekologi alam sekitar. Contohnya, pembinaan empangan hidroelektrik memusnahkan hutan yang luas dan banyak kawasan hutan juga akan ditenggelami air yang menyebabkan hidupan yang terdapat di kawasan itu mati.
Keburukan yang kedua adalah tenaga yang boleh diperbaharui hanya terdapat di tempat tertentu sahaja. Tenaga angin dan ombak misalnya bergantung kepada kedudukan geografikal sesebuah negara. Hal ini kerana tenaga alternatif seperti angin perlu bergantung kepada kelajuan angin dan hanya didapati di kawasan tertentu sahaja.
Seterusnya, kos untuk menjana tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui adalah tinggi. Contohnya, bagi pembinaan empangan hidro elektrik kedua di Tasik Kenyir,kos yang dianggarkan ialah RM1 billion dengan kemampuan menjana tenaga sehingga 250 megaWatt. Kos bagi pemasangan panel solar pula adalah antara RM 10 000 hingga RM 12 000 per kilowatt.

Kesimpulan
Malaysia sebenarnya mempunyai kemampuan dari segi sumber dan modal insan untuk membangunkan tenaga yang boleh diperbaharui bagi menggantikan sumber yang sedia ada. Dengan memanfaatkan peluang dan kekuatan yang dimiliki melalui penumpuan terhadap tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin, solar, hidro dan juga biomass, Malaysia mampu menjadi contoh kepada negara lain dalam menghadapi krisis tenaga yang semakin meruncing. Penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui juga secara tidak langsung dapat menjamin kelestarian persekitaran yang sejahtera untuk generasi akan datang. Islam amat menggalakkan umatnya sentiasa berusaha untuk mencapai kemajuan kerana ini adalah salah satu tuntutan agama untuk mencapai keselesaan hidup sebagai khalifah di muka bumi ini tidak lupa akan tanggungjawab dalam memelihara kehidupan lain dan kesejahteraan bumi. Oleh itu, pembangunan teknologi tenaga yang boleh diperbaharui adalah penting agar krisis tenaga ini dapat diatasi dengan efektif dan produktif. 

RUJUKAN
Azizan Ahmad dan Mahdi A. Wahab. (2000). Tenaga hidro-elektrik dan pengurusan alam sekitar di Malaysia menjelang tahun 2020. RECEE 2000 Regional Conference on Energy and Environment Proceedings : the Emerging Energy Technologies p. A-71-A7-9. Selangor : Universiti Tenaga Nasional.
Che Wan Badrul Alias. (2013). Jerman Sedia Bangunkan Sektor Tenaga Bio Malaysia. http://www.bharian.com.my/articles/JermansediabangunkansektortenagabioMalaysia/Article/. Di akses pada 7 Ogos 2014.
Editor. (2014). Tenaga Biomass-Tenaga boleh diperbaharui. http://www.majalahsains.com/2014/04/tenaga-biomass-tenaga-boleh-diperbaharui/. Di akses pada 8 Ogos 2014.
Foon Weng Lian. (2011). Tenaga Boleh Diperbaharui Sebagai Tenaga Utama Masa Depan. http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/alam-sekitar/726-tenaga-boleh-diperbaharui-sebagai-tenaga-utama-masa-depan-. Di akses pada 9 Ogos 2014.
Ladfe Amir Zakaria. (2014). Geotermal- Sumber tenaga boleh perbaharu. ladfeamir.com/2014/04/21/geotermal-sumber-tenaga-boleh-baharu/. Di akses pada 11 Ogos 2014.
Mohd Azmi Mohd Lila. (2002). Potensi Sumber Tenaga Alternatif Biojisim. http://www.utusan.com.my/utusaninfo.asp?y=2002&dt=0907&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm/. Di akses pada 21 Ogos 2014.
Mohd. Faizal Aziz. (2010). Tenaga dan Masa Depan. http://www.majalahsains.com/2010/08/tenaga-dan-masa-depan-2/. Di akses pada 20 Ogos 2014.
Mohd Yusof Hj. Othman dan Kamaruzzaman Sopian. (2002). Teknologi Tenaga Suria. Selangor : Terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Syahrul Hisham Mohamad et. al. (2012). Pembangunan Sumber Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Mengikut Perspektif Islam. Jabatan Kejuruteraan Mekatronik dan Kawalan Automatik Universiti Teknologi Malaysia.

Tan Su Lin. (2013). Jana Pendapatan Menerusi Tenaga Matahari. http://www.astroawani.com/news/show/jana-pendapatan-menerusi-tenaga-matahari-27042. Di akses pada 22 Ogos 2014.



Tenaga Yang Boleh Diperbaharui

Oleh: Nur Adzrini binti Mohd Nayan

Tenaga boleh diperbaharui boleh ditakrifkan sebagai sumber tenaga yang boleh digunakan lagi, berulang-ulang dan tidak terbuang begitu sahaja. Sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui boleh diganti secara semula jadi dalam jangka masa yang singkat. Sumber tenaga ini juga akan kekal walaupun kita berterusan menggunakannya. Contoh-contoh tenaga yang boleh diperbaharui ialah tenaga suria atau solar, tenaga angin, tenaga air atau kuasa hidro, biojisim dan tenaga geotermal. 

Kebanyakan sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini digunakan untuk menghasilkan arus elektrik. Tenaga solar, air dan angin boleh memberi jumlah tenaga yang besar dan boleh digunakan untuk menjanakuasa elektrik. Ketiga-tiganya ini termasuk dalam sumber tenaga boleh diperbaharui yang boleh diguna secara berterusan dan tidak akan habis.

Tenaga Suria

Tenaga suria atau tenaga solar adalah teknologi untuk mendapatkan tenaga berguna daripada cahaya matahari. Matahari telah membekalkan tenaga selama berbilion-billion tahun. Tenaga suria adalah sinaran-sinaran matahari (radiasi suria) yang sampai ke bumi. Tenaga ini boleh ditukarkan menjadi bentuk tenaga yang lain seperti tenaga haba dan elektrik.


Matahari
 





Alat Voltan Foto (PV)

Alat Voltan Foto (PV) atau sel-sel suria yang menukarkan cahaya matahari terus kepada tenaga elektrik. Setiap sel suria dikumpulkan menjadi panel dan susunan panel boleh digunakan secara meluas. Sel-sel kecil boleh digunakan untuk mengecas kalkulator dan bateri jam, sehinggalah kepada loji janakuasa yang merangkumi beberapa ekar.

Penjanaan Kuasa di Loji Kuasa Terma

Loji Kuasa Terma Suria menggunakan sinaran matahari untuk memanaskan cecair ke satu suhu yang amat tinggi. Cecair itu kemudiannnya dialirkan menerusi paip, oleh itu, ia boleh memindahkan habanya kepada air untuk menghasilkan stim. Stim ditukarkan kepada tenaga mekanikal atau kinetik dalam turbin dan kemudian kepada elektrik oleh generator yang disambungkan kepada turbin. Tenaga terma suria selalunya digunakan untuk memanaskan air yang digunakan di rumah dan juga kolam renang serta untuk memanaskan bahagian dalam bangunan (pemanasan ruang).

Tenaga Angin

Angin adalah udara yang bergerak. Ianya terjadi oleh pemanasan permukaan bumi yang tidak sekata oleh matahari. Angin juga digunakan untuk menghasilkan elektrik.


Turbin Angin


Kincir angin di Pulau Perhentian

Angin yang bertiup (tenaga kinetik) akan memusingkan bilah kipas pada turbin angin. Bilah kipas akan menggerakkan gandar yang disambungkan pada generator yang akan menghasilkan tenaga elektrik. Setelah elektrik dihasilkan oleh turbin, elektrik dari seluruh ladang angin akan dikumpulkan dan dihantar ke transformer. Voltan akan ditambahkan untuk dihantar melalui kabel berkemampuan tinggi.


Tenaga Hidro

Tenaga hidro merupakan tenaga yang dijana melalui kitaran semulajadi iaitu proses hujan iaitu daya kuat ketika air turun dihasilkan secara sekata. Aliran yang melepasi turbin diserap kembali dan turun ketika hujan menyebabkan proses ini sentiasa berterusan untuk membekalkan kuasa. Stesen tenaga hidro menggunakan kekuatan pergerakan air untuk menghasilkan elektrik. Kebanyakan stesen ini akan menyimpan air dalam tangki yang besar yang terletak di belakang dinding empangan yang sangat cerun. Kemudiannya air akan dialirkan melalui turbin bawah air. Empangan Kenyir dan Empangan Bakun merupakan contoh penggunaan air sebagai sumber penjanaan tenaga. Pembangunan tenaga hidro ini pada masa yang sama dapat menguruskan sumber air negara dengan lebih efisien daripada terus dicemari.


Stesen Janakuasa Hidroelektrik


Kesan Positif Penggunaan Tenaga Yang Boleh Diperbaharui

Memanfaatkan tenaga yang boleh diperbaharui sebagai tenaga alternatif dalam kehidupan seharian menjadikan ia sebagai sumber penjanaan tenaga elektrik yang terbaik. Lebih menakjubkan, sumber tenaga ini dianggap lebih bersih dan tidak mencemarkan alam kerana tenaga ini diperoleh secara semulajadi dan tidak terhad serta berterusan penggunaannya.

Sumber alternatif ini mampu mengatasi masalah krisis penjanaan tenaga serta menjamin kestabilan ekonomi negara. Sebagai contoh, penjanaan tenaga solar dapat dijana pada sebelah pagi dan petang dan kemudiannya boleh disimpan untuk digunakan pada waktu malam pula. Ia boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lampu tiang yang banyak terdapat di Malaysia. Hal ini sudah pasti menunjukkan penjanaan dan pengunaan tenaga elektrik boleh dijana pada tahap yang optimum.

Penghasilan tenaga alternatif ini tidak membebaskan sebarang gas karbon dioksida yang mampu mencemarkan kandungan udara dan bahan radio aktif atau bahan kimia lain yang boleh mencemarkan sungai. Hal ini berbeza dengan tenaga konvensional seperti petroleum yang mampu mencemarkan kandungan udara sekeliling ketika penghasilan minyak. Tenaga elektrik juga telah menjadi komersial kerana tenaga ini selamat digunakan dan sangat efisien kepada pengguna.

Cabaran Penggunaan Tenaga Yang Boleh Diperbaharui

Kesan alam sekitar merupakan impak yang paling besar dalam penggunaan tenaga alternatif. Sebahagiannya memberi kesan negatif kepada populasi burung liar dan juga permandangan alam sekitar. Sesetengah orang berpendapat permandangan bilah turbin angin dan Alat Voltan Foto (PV) yang bergemerlapan adalah sesuatu yang menyakitkan mata. Walau bagaimanapun, sesetangah pendapat menagatakan ia merupakan alternatif yang indah kepada stesen jana kuasa konvensional.

Empangan Kenyir



Pembinaan empangan perlu dilakukan untuk menampung kawasan penyimpanan hidro bagi penjanaan tenaga elektrik. Pembinaan empangan ini dilihat akan memberikan kesan buruk kepada ekosistem termasuk hidupan liar, kepelbagaian tumbuhan, manusia dan ekonomi setempat. Pembinaan empangan secara umumnya akan menyebabkan kawasan tadahan menjadi semakin berkurangan, hidupan liar di daratan dan organisma hidro musnah sama sekali, aliran hidro mengalami perubahan secara mendadak, sifat kimia dan fizikal serta kualiti air berubah, habitat sungai berubah menjadi habitat tasik, ikan air tawar dan organisma akuatik yang lain berpindah tempat, juga habitat dan ekologi sistem yang baru wujud.


Peranan Kerajaan Dalam Pembangunan Sumber Tenaga Yang Boleh Diperbaharui

Kerajaan mengambil langkah proaktif dalam usaha meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui melalui pembangunan teknologi hijau dan mencari sumber asli baru. Antara strategi yang boleh digunakan  untuk  meningkatkan penggunaan tenaga alternatif adalah dengan mempromosi dan melaksanakan program kecekapan tenaga yang efektif dalam sektor tenaga dan sektor air. Strategi yang kedua  adalah mewujudkan peluang pekerjaan berkaitan dengan teknologi hijau  dan mewujudkan peluang aktiviti ekonomi berkaitan teknologi hijau. Strategi yang ketiga pula ialah mengorientasi semula industri-industri sedia ada untuk mempraktikkan amalan teknologi hijau  serta pembangunan strategi pembangunan dan penyelidikan dalam teknologi hijau ke arah pengkomersilan bagi pasaran tempatan. Strategi lain yang boleh dilaksanakan ialah peningkatan pembangunan modal insan dalam bidang teknologi hijau.


Penggunaan Tenaga Solar di Rumah

Video: Terokai Tenaga Suria


Penggunaan sumber tenaga alternatif mempunyai kelebihan dan kekurangan pada pelbagai aspek. Namun, dari segi jangka masa panjang kebaikan penggunaan sumber tenaga alternatif ini jauh mengatasi aspek keburukan. Penggunaan tenaga ini haruslah digunakan secara terkawal dan bijaksana. Tenaga alternatif ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk menangani masalah krisis tenaga dunia untuk generasi masa hadapan. Malaysia mempunyai kemampuan dari segi sumber dan modal insan untuk  membangunkan tenaga alternatif bagi menggantikan sumber yang sedia ada.


Kesimpulannya, dengan memanfaatkan peluang dan kekuatan yang dimiliki melalui penumpuan terhadap tenaga alternatif seperti tenaga angin, solar, hidro, dan juga biojisim, Malaysia mampu menjadi contoh kepada negara lain dalam menghadapi krisis tenaga yang semakin meruncing. Kita harus bergerak pantas dalam usaha menangani fenomena kenaikan harga bahan api dan krisis tenaga yang berterusan dengan melihat potensi tenaga alternatif. Bak kata Geoffrey Carr, seorang kolumnis majalah The Economist, ‘masa hadapan  bergantung kepada kuasa dan tenaga’.


No comments:

Post a Comment