Sunday 19 October 2014

LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE JABATAN KIMIA MALAYSIA CAWANGAN NEGERI MELAKA

LAPORAN
LAWATAN AKADEMIK:

(JABATAN KIMIA MALAYSIA CAWANGAN NEGERI MELAKA)

Pada 18 Ogos 2014, guru pelatih PISMP Sains Januari 2011, semester 8 telah mengadakan lawatan ke Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Negeri Melaka. Lawatan ini telah disertai oleh 17 orang guru pelatih dan 2 orang pensyarah pengiring. Antara objektif lawatan ini adalah seperti yang berikut.

Objektif Program     :

1)   Memenuhi sukatan pelajaran dan amali subjek ‘Sains Teknologi dan Masyarakat’           (SCE 3143) yang ditetapkan oleh IPGM pada semester ini.
2)   Untuk memenuhi keperluan tugasan kerja kursus projek bagi subjek ‘Sains Teknologi dan Masyarakat’.
3)   Untuk mempelajari dan mengukuhkan fahaman tentang isu-isu penggunaan bahan kimia sebagai bahan tambah dalam makanan berserta kesannya terhadap manusia.
4)   Melihat secara lebih dekat teknologi yang digunakan untuk mengenal pasti bahan tambah dalam makanan.
5)   Sebagai salah satu wadah untuk guru pelatih menghargai pembangunan teknologi dan kesan positifnya kepada masyarakat.

Sebelum memulakan lawatan, kertas kerja dihasilkan terlebih dahulu dan semua jawatankuasa telah menjalankan tugas masing-masing. Dalam memastikan lawatan ini berjalan lancar, guru pelatih telah berkomunikasi dengan pihak dari Jabatan Kimia mengenai aktiviti yang ingin dijalankan di sana. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti tentatif yang berikut.

Masa
Aktiviti
Tempat
9.00 pagi
Ketibaan guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu
Lobi JKMC Melaka


9.05 pagi
Taklimat Keselamatan OSH
Oleh Pengurus OSH Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Melaka
(En. Jayasilan a/l Sinnathurai)


Dewan PLKM, Aras 2
Tayangan Video Korporat Jabatan Kimia Malaysia
Sesi Pembentangan ‘Safety Food’
(En Najif Bin Rahman)
10.00 pagi
Sesi Lawatan ke Makmal Makanan
Makmal Makanan, Aras 1
Sesi demonstrasi analisis
Bilik Peralatan PLKM, Aras 2
12.30 tengah hari
Bersurai


Semua jawatankuasa menjalankan tugas masing-masing sepanjang proses lawatan berlangsung. Jawatankuasa makanan telah mengagihkan botol mineral kepada semua guru pelatih PISMP Sains Januari 2011, 2 orang pensyarah pengiring dan seorang pemandu bas sebelum bergerak ke Jabatan Kimia. Selain itu, jawatankuasa dokumentasi pula bertugas membuat rakaman video dan mengambil gambar sepanjang berada di sana. Jawatankuasa aktiviti mencatat dan mengumpulkan hasil analisis bahan tambah makanan yang telah dilakukan bersama pihak Jabatan Kimia Negeri Melaka.

            Oleh itu, pada jam 8.15 pagi kesemua guru pelatih dan pensyarah pengiring bertolak dari IPG Kampus Perempuan Melayu dan tiba di Jabatan Kimia tepat jam 8.45 pagi. Kami telah disambut dengan penuh ramah dan mesra oleh staf-staf Jabatan Kimia yang menyambut kedatangan kami di sana.

Laporan Aktiviti / Setiap Pengisian:-

Aktiviti 1 : Taklimat Keselamatan OSH

Pada permulaan lawatan kami di Jabatan Kimia, kami telah diiringi oleh En. Aidil Fahmi bin Shadan ke Dewan PLKM di aras 2 Jabatan Kimia. Selepas beliau memberikan ucapan bagi mengalukan kedatangan kami di sana, kami telah diberikan taklimat ringkas mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan terlebih dahulu. Taklimat ini telah disampaikan oleh En. Jayasilan a/l Sinnathurai iaitu Pengurus OSH Jabatan Kimia Negeri Melaka. Taklimat ini diadakan bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada kami dari aspek keselamatan sekiranya berlaku kebakaran sepanjang kami berada di situ. Selain itu, kami juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan sepanjang berada di makmal dan bilik peralatan bagi mengelakkan kecederaan atau kebakaran berlaku. Syukur Alhamdulillah, segala aktiviti dapat dijalankan dengan baik sepanjang kami berada di sana.

En. Jayasilan a/l Sinnathurai telah memberikan taklimat keselamatan kepada kami.

Aktiviti 2 : Tayangan Video Korporat JKM

Kemudian, pihak Jabatan Kimia Melaka telah menayangkan video korporat kepada kami bagi memperkenalkan organisasi Jabatan Kimia Malaysia. Jabatan Kimia Malaysia merupakan badan yang bergerak dibawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan mempunyai 6 fungsi bahagian iaitu bahagian Forensik, Kesihatan Alam Sekitar, Penyelidikan & Jaminan Kualiti, Industri & Klasifikasi Tarif Dagangan, Pembangunan & Maklumat Teknologi dan Khidmat Pengurusan & Sumber Manusia. Jabatan Kimia juga mempunyai beberapa cawangan di sekitar semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak.

Aktiviti 3 : Sesi Pembentangan ‘Safety Food’

Aktiviti seterusnya pula ialah sesi pembentangan mengenai ‘Safety Food’ yang telah disampaikan oleh En. Najif bin Rahman selama 40 minit. Pada sesi ini, beliau telah memperkenalkan kami mengenai keselamatan makanan iaitu makanan yang bersih daripada bahan kimia, kuman berbahaya, racun, toksin, najis dan bahan buangan yang lain. Beliau juga telah menyampaikan input-input mengenai aditif dan kontaminan dalam makanan termasuklah bahan pengawet, bahan pewarna, bahan pemanis tanpa zat, bahan perisa, antipengoksida, perapi makanan dan bahan tambah dalam makanan. Kontaminan merujuk kepada sisa racun serangga, logam berat, mikotoksin, antibiotik dan 3-mcpd. Selepas sesi pembentangan, sesi soal jawab antara guru-guru pelatih dan En. Najif bin Rahman berjalan dengan lancar dan perbincangan yang aktif berlaku sepanjang sesi soal jawab. Hal ini menunjukkan guru-guru pelatih fokus dan tertarik dengan isu yang telah disampaikan oleh pegawai JKM. Sesungguhnya, banyak ilmu yang telah kami peroleh mengenai bahan tambah dalam makanan dan kesannya kepada kami sepanjang berada di sana. Lawatan ini sememangnya telah membuka minda guru pelatih untuk terus mengkaji dan meneliti secara terperinci mengenai makanan-makanan yang berada di pasaran sekarang.

Sesi Pembentangan telah disampaikan oleh En Najif bin Rahman 
mengenai ‘Safety Food’ yang merangkumi aspek bahan tambah dalam makanan.

Aktiviti 4 : Sesi Lawatan ke Makmal Makanan

Selepas sesi pembentangan, kami telah dibawa ke makmal makanan di aras 1 Jabatan Kimia Melaka. Sepanjang berada di makmal, kami berpeluang untuk melakukan demonstrasi mengenai bahan pewarna dalam makanan menggunakan peralatan di sana. En Najif telah memperkenalkan kami kepada pelatih di sana iaitu Nur Izyan bagi menunjukkan demonstrasi dan membimbing kami melakukan analisis bahan pewarna dalam kordial minuman. Sesi ini sememangnya telah memberikan banyak pendedahan kepada kami mengenai pewarna yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam kordial minuman khususnya.

Cik Nur Izyan telah memberikan taklimat terlebih dahulu mengenai 
proses dalam menentukan bahan pewarna dalam makanan 
dengan melibatkan 3 proses iaitu Extraction, Separation dan Confirmation.

Bahan-bahan yang diperlukan sebelum memulakan
 proses mengestrak bahan pewarna dalam makanan.

Cik Nur Izyan menunjukkan langkah-langkah untuk 
mengekstrak bahan pewarna kepada kami.

Bahan pewarna tersebut kemudian dianalisis 
menggunakan peralatan UV Spectrophotometer.

Aktiviti 5 : Sesi Demonstrasi Analisis

Pada sesi yang terakhir, kami telah dibawa ke bilik peralatan PLKM, Aras 2 untuk menganalisis bahan tambah seperti pewarna dalam teh. Dalam proses ini kami dapat menilai teh yang menggunakan pewarna dan teh yang menggunakan bahan asli iaitu daun teh dalam tabung uji yang berisi air suling dan serbuk teh. Selain itu, En Najif juga telah menunjukkan demonstrasi penggredan beras di Malaysia yang melibatkan proses mengukur tahap kerosakan, kematangan dan kandungan benda asing dalam beras bagi menentukan gred beras kepada gred 5 dan gred 10. Walaupun kami tidak dibenarkan untuk menangkap gambar di dalam kawasan tersebut namun kami berasa sungguh bertuah dan bersyukur kerana diberi peluang untuk melihat proses analisis penggredan beras dan analisis bahan pewarna dalam teh. Sebelum bersurai, kami telah menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada pihak Jabatan Kimia Malaysia kerana sudi menerima kami dan memberikan tunjuk ajar sepanjang lawatan akademik berlangsung.

 Pn Hjh Fatimah menyampaikan cenderamata dari pihak IPG KPM 
kepada En Najif bin Rahman iaitu wakil dari Jabatan Kimia Melaka.

Selepas berakhirnya sesi terakhir bagi aktiviti yang telah dijalankan oleh Jabatan Kimia kepada para pengunjungnya, maka kami menamatkan sesi lawatan tersebut pada jam 2.00 petang. Selepas lawatan tersebut tamat, kami telah menjalankan sesi refleksi di dalam kelas pada keesokan harinya mengenai lawatan yang telah dijalankan pada hari tersebut. Sesungguhnya, ilmu yang kami perolehi sepanjang berada di sana tidak mungkin dapat kami peroleh di dalam kelas. Dengan menggunakan teknologi yang canggih dan penerangan yang mantap daripada pihak Jabatan Kimia Melaka telah membuka mata dan minda kami mengenai bahan tambah dalam makanan.

Sesi pengambaran guru pelatih dan pensyarah

 bersama En Najif bin Rahman 

Selepas lawatan ini, kami telah pulang ke kampus dengan penambahan ilmu bagi tajuk ‘Bahan Tambah Makanan’ dengan lebih mendalam. Seterusnya, segala bahan yang didokumentasikan sepanjang lawatan dilakukan diterjemahkan ke dalam bentuk laporan dokumentasi bagi tujuan penambahbaikan bagi sesi akan datang dan dijadikan sebagai bahan rujukan bagi guru pelatih yang akan datang. Setiausaha lawatan iaitu Fadhlin Zahirah binti Suhimi dan Bahjatu Sholihah binti Raman telah bersama-sama menyediakan laporan bagi lawatan ke Jabatan Kimia Negeri Melaka. Semoga lawatan yang telah dijalankan ini memberi manfaat kepada semua guru pelatih PISMP Sains Januari 2011 terutama dari aspek pedagogi dan pengetahuan sains pemakanan dalam meniti kehidupan sebagai seorang guru kelak.








No comments:

Post a Comment