Sunday 19 October 2014

LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE PETRONAS PENAPISAN (MELAKA) SDN. BHD.

LAPORAN
PENGISIAN AKTIVITI
LAWATAN ILMIAH
PETRONAS PENAPISAN (MELAKA) SDN. BHD.

Lawatan akademik ini telah berlangsung pada Rabu, 27 Ogos 2014  dengan jayanya di Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. (PPMSB) yang bertempat di Bangunan Pentadbiran Persiaran Penapisan, 76300 Sungai Udang, Melaka. Lawatan ini dijalankan dengan matlamat untuk melahirkan guru yang mempunyai kefahaman yang lebih mendalam mengenai tenaga yang tidak boleh diperbaharui iaitu petroleum. Program ini juga bermatlamat membuka minda guru pelatih tentang teknologi yang diaplikasikan untuk memproses dan menapis minyak mentah dan penggunaannya.

Objektif utama lawatan akademik ini adalah untuk memenuhi sukatan pelajaran bagi subjek ‘Sains, Teknologi dan Masyarakat’ (SCE 3143) yang ditetapkan pada semester ini disamping memberi peluang kepada guru pelatih untuk mempelajari dan mengukuhkan kefahaman berkaitan tenaga petroleum (tenaga alternatif) serta penggunaannya. Selain itu, lawatan akademik ini juga dapat menjadi salah satu wadah untuk guru pelatih menghargai pembangunan teknologi dan kesan positifnya kepada masyarakat. Satu objektif tidak dapat dicapai iaitu untuk memberikan pengalaman sebenar berkaitan proses-proses yang dijalankan di Petronas Penapisan kepada guru pelatih berikutan peraturan baru Petronas Penapisan yang tidak membenarkan lawatan ke tapak proses mulai tahun 2014.

Program lawatan ini disertai oleh 17 orang guru pelatih PISMP Sains Ambilan Januari 2014 dengan diiringi oleh 2 orang pensyarah pengiring iaitu Pn. Fatimah binti Yusof dan Pn. Rohaya binti Mee. Sepanjang program lawatan ini berlangsung, kumpulan kami telah disambut oleh wakil pihak Petronas iaitu YM Tunku Mukhriz bin Tunku Zainudin daripada Unit Perhubungan Korporat PPMSB Yang juga  bertanggungjawab untuk mengendalikan program lawatan ini secara keseluruhannya.  Program lawatan ini turut disertai oleh kumpulan pelajar dan guru daripada Kolej Yayasan Saad yang turut melakukan lawatan pada hari yang sama memandangkan PPMSB hanya dibuka untuk program lawatan pada hari Rabu sahaja setiap minggu.

Pintu Utama Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd.

Kami tiba di PPMSB pada pukul 8.50 pagi dan terus diarahkan oleh pengawal keselamatan untuk menuju ke dewan utama. Sebaik sahaja tiba di dewan utama, kami disambut oleh wakil Petronas Penapisan yang kemudiannya memaklumkan tentang masalah teknikal yang berlaku dan kami diminta untuk menunggu sebentar di lobi dewan utama.  Masalah teknikal berlarutan sehinggakan sesi kudapan diawalkan menjadi sarapan pagi. Pada pukul 10.15 pagi, barulah kami dipanggil masuk ke dewan untuk sesi seterusnya. Video keselamatan ditayangkan bagi memenuhi keperluan akreditasi keselamatan Petronas. Video tersebut menekankan aspek-aspek keselamatan yang perlu diikuti oleh pengunjung sepanjang berada di premis PPMSB.

Tayangan Video Keselamatan Petronas Penapisan.

Selepas persembahan video keselamatan, acara diteruskan dengan sesi penerangan dan perbincangan yang dikendalikan oleh wakil PPMSB.  Peserta lawatan dimaklumkan tentang jenis-jenis minyak mintah yang diproses di PPMSB iaitu sweet crude oil yang mengandungi kandungan sulfur rendah dan sour crude oil yang mengandungi kandungan sulfur tinggi. Antara pihak pengeluar bahan bersumberkan petroleum  yang berurusan dengan Petronas Penapisan termasuklah Petronas, Shell, Petron, Carltex dan BHP.

Petronas penapisan beroperasi sejak 1994 dan menjalankan PSR 1 yang menggunakan tenaga yang disalurkan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) diikuti PSR 2 pada 1999. Mulai 2007, Cogen pula diperkenalkan dan dijalankan di PPMSB melalui penjanaan tenaga sendiri oleh PPMSB untuk menampung segala aktiviti dan proses yang dijalankan bagi mengatasi kebergantungan terhadap tenaga daripada TNB sekaligus mengurangkan kos pengeluaran diikuti MG3 pada 2008. Minyak mentah diproses di PPMSB melalui 4 proses utama iaitu separation, conversion, treating dan blending. Produk yang dihasilkan di PPMSB boleh dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu LPG, MG3, mogas, kerosene, diesel dan bitumen.

Penerangan berkaitan Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. 
oleh wakil Petronas Penapisan.

PPMSB juga menjalankan program-program sosial di bawah Corporate Social Resourse (CSR) yang terbahagi kepada 3 bahagian iaitu pendidikan, pembangunan persekitaran dan pembangunan sosial. Bagi bahagian pendidikan, PPMSB telah menjalankan program sekolah angkat bagi 3 buah sekolah berdekatan. Selain itu, sekolah-sekolah lain juga berpeluang untuk melibatkan PPMSB dalam program berupa kesedaran keselamatan, kesedaran penyalahgunaan dadah dan program motivasi di sekolah menengah. Bagi bahagian perkembangan persekitaran pula, pihak PPMSB sentiasa menjalankan aktiviti pengawasan kualiti air dan paras air laut di kawasan perhampiran. Selain itu, pelbagai program turut dijalankan bagi memenuhi keperluan perkembangan sosial melalui program seperti latihan kecemasan, karnival sukan, program hari kesihatan, sambutan perayaan dan program sentuhan kasih yang  melibatkan komuniti setempat termasuklah penghuni rumah orang-orang tua berdekatan.

Peserta lawatan tekun mendengar penerangan.

Selepas tamat sesi pembentangan, wakil PPMSB membuka sesi soal jawab. Pelbagai soalan telah diajukan oleh kedua-dua kumpulan lawatan. Antara soalan yang diakui popular dan sering disuarakan oleh pelawat lain ialah perancangan pihak Petronas selepas berakhirnya bekalan petroleum negara. Wakil tersebut mengakui kebergantungan pihak Petronas terhadap petroleum. Menurut beliau, Petronas masih dalam usaha mengkaji tenaga alternatif yang boleh dijadikan pengganti bagi petroleum disamping menggiatkan usaha mencari telaga petroleum baru di perairan negara. Apabila ditanya tentang kelebihan perol yang dikeluarkan oleh petronas berbanding syarikat pengeluar petrol lain disamping perbandingan antara petrol RON95 dan RON97, beliau menegaskan bahawa Petronas hanya mengeluarkan petrol RON97 sahaja. Namun, yang mencipta perbezaan ialah bahan tambahan rahsia yang digunakan oleh setiap syarikat bagi melariskan produk keluaran mereka.

Sesi Soal Jawab

Program lawatan ditutup secara rasmi selepas acara penyampaian cenderamata dan sesi bergambar bersama pihak petronas. Guru pelatih juga sempat melahirkan hasrat untuk meneruskan kerjasama dengan pihak Petronas bagi menjalankan program-program di sekolah yang melibatkan Petronas apabila berkhidmat di sekolah kelak. Hasrat tersebut telah disambut baik oleh pihak petronas. Adalah sangat iharapkan agar semua guru pelatih dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang lawatan ini dengan baik untuk diaplikasikan pada masa hadapan.


Sesi Penyampaian cenderamata daripada 
Pihak IPG Kampus Perempuan Melayu


Sesi bergambar bersama wakil pihak Petronas Penapisan Melaka Sdn. Bhd.

1 comment:

  1. Assalamualaikum. Boleh saya bertanya, dengan siapakah saya perlu memohon untuk mengadakan lawatan di sana?

    ReplyDelete