LAPORAN LAWATAN AKADEMIK DI INDAH WATER KONSORTIUM SDN BHD
SUNGAI UDANG, MELAKA
Tarikh : 11 September 2014 (Khamis)
Masa : 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari
Peserta: 17 orang guru pelatih
PISMP Sains Ambilan Januari 2011 dan 2 orang
pensyarah pengiring.
Aktiviti-aktiviti
Yang Dijalankan
:
Pihak Indah Water
Konsortium Sdn. Bhd. Sungai Udang telah membahagikan sesi lawatan pada kali ini
kepada lima sesi iaitu empat sesi taklimat bersama pegawai-pegawai yang
bertugas dan satu sesi site tour ke
sekitar kawasan loji. Berikut merupakan butiran aktiviti yang telah dijalankan
mengikut sesi:
Sesi 1: Taklimat khas
peranan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd.
Sebaik sahaja
tiba, kami telah diberikan taklimat khas oleh oleh Encik Mohd Johan bin Bahari
yang merupakan Ketua Bahagian Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Sungai Udang,
Melaka. Taklimat yang beliau
sampaikan berkisar mengenai peranan Indah Water dan perkhidmatan pembetungan
dan rawatan sisa kumbahan yang disediakan di seluruh negara kecuali bagi negeri
Kelantan. Encik Johan juga
memaklumkan bahawa terdapat hampir 557 buah loji pembetungan milik Indah Water
Konsortium Sdn. Bhd. yang beroperasi di seluruh negeri Melaka.
Dalam taklimat
ini guru pelatih juga telah diberi pendedahan mengenai jenis sistem pengolahan
kumbahan iaitu tangki septik individu dan sistem bersambung. Menurutnya lagi, sistem
pengolahan kumbahan sangat penting kerana tanpa sistem ini air kumbahan yang
tercemar akan merosakkan ekosistem, mencemarkan alam sekitar dan akhirnya mengehadkan
sumber air. Guru pelatih juga telah
diberikan sedikit penerangan mengenai sejarah Indah Water Konsortium Sdn. Bhd.
yang telah memulakan operasi pada tahun 1994 sehinggalah ke hari ini. Antara perkhidmatan lain yang
disediakan oleh Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. ialah perkhidmatan
penyelenggaraan loji rawatan kumbahan, perkhidmatan penyelenggaraan rangkaian
paip pembetungan, perkhidmatan pengosongan tangki septik individu, perancangan
strategi tadahan pembetungan, pengurusan projek infrastruktur pembetungan,
perakuan perancangan dan rekabentuk sistem pembetungan serta perhubungan
pelanggan.
Semasa sesi
taklimat itu juga Encik Johan turut meberi beberapa peringatan kepada guru
pelatih mengenai tanggungjawab orang awam terhadap loji kumbahan iaitu tidak
mencerobohi loji pengolahan kumbahan secara sesuka hati dan tidak membuang
sampah terutamanya di dalam tandas. Tambahnya
lagi loji kumbahan Indah Water
sering diceroboh oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk pelbagai
tujuan contohnya vandalisme, kecurian dan sebagainya. Sepanjang sesi taklimat guru pelatih juga tidak ketinggalan untuk
bersoal jawab dengan pihak Indah Water Konsortium. Lebih menarik lagi, sesi taklimat turut diselang-selikan dengan
kuiz dari pihak Indah Water dan para guru pelatih termasuk pensyarah pengiring
tidak melepaskan peluang untuk merebut hadiah-hadiah yang disediakan.
Sesi
2: Taklimat kemudahan yang terdapat di Indah Water KonsortiumSdn. Bhd.
Taklimat untuk
sesi kedua ini telah disampaikan oleh Puan Mariana binti Zabidi yang merupakan seorang
jurutera di Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Sungai Udang, Melaka. Beliau telah
menyampaikan penerangan secara ringkas mengenai proses-proses kumbahan dan rawatan
di loji Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Sungai Udang, Melaka. Menurut beliau,
loji terebut telah memulakan operasi pada 1 September 2008 dengan served population 300,000 (PE) dan boleh
menampung isipadu sludge sebanyak 250
m3/d. Antara kemudahan yang
terdapat di Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Sungai Udang ialahTanker Sludge Receiving Station, Sludge
Dewatering Building yang menempatkan Sludge
Holding Tank, Polymer Dissolving Tank, Sludge Dewatering Unit dan Sludge Cake Storage Yard.
Di sini juga
terdapat kemudahan Aeration Tank,
Clarifier, Odor Tank, Local Operation Panel, Local Link Panel, Motor Control
Centre Dan PLC & Monitoring System (SCADA). Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Sungai Udang, Melaka juga telah bekerjasama dengan pihak
tertentu untuk menjalankan beberapa projek.
Projek-projek yang telah dijalankan antaranya ialah kerjasama dengan pihak
MBMB dan akan datang projek bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)
untuk membekalkan baja bagi tanaman hiasan.
Sesi
3: Taklimat kesihatan dan keselamatan
Seterusnya,
guru pelatih telah mendengar taklimat berkaitan kesihatan dan keselamatan yang
disampaikan oleh Encik Mohd Rafi Sulaiman. Beliau merupakan pegawai Keselamatan
dan Kesihatan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. bagi negeri Melaka. Encik Rafi telah memulakan taklimat
pada pagi tersebut dengan memperkenalkan tahap sistem pengurusan keselamatan
Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. sekarang yang sudah berada di tahap MS 1722:
2003 dan sedang menuju ke tahap OHSAS 18001. Taklimat diteruskan lagi dengan
sedikit penerangan mengenai polisi keselamatan bagi pekerja-pekerja Indah Water
Konsortium Sdn. Bhd.
Menurut Encik
Rafi, tugas di Bahagian Keselamatan dan Kesihatan antaranya ialah memberikan
perkhidmatan dari segi penyelenggaraan peralatan, keselamatan orang awam,
pencegahan kemalangan di tempat kerja, keselamatan kontraktor, pengangkutan,
program kesedaran keselamatan dan kesihatan, menjaga kebajikan para pekerja dan
pencegahan vandalisme oleh orang awam. Taklimat
keselamatan mengenai sesi site tours
yang akan disertai oleh guru pelatih dan pensyarah pengiring turut disampaikan
agar semua peserta menjaga keselamatan masing-masing semasa berada di tapak
loji rawatan dan kumbahan untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang
kemalangan dan perkara yang tidak diingini.
Sesi
4: Taklimat simulasi proses rawatan dan kumbahan berbantukan model
Guru pelatih
dan pensyarah pengiring telah mendengar penerangan mengenai bagaimana setiap
satu kemudahan yang terdapat di Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Sungai Udang
berfungsi dengan berbantukan model yang telah disediakan di ruang pameran. Hal ini
bagi membolehkan semua peserta mendapat gambaran jelas tentang bagaimana setiap
proses kumbahan dan rawatan tersebut berlaku kerana tidak semua proses yang
berlaku di setiap kemudahan boleh dilihat oleh peserta berikutan faktor-faktor
keselamatan. Menurut pegawai yang bertugas proses rawatan sisa kumbahan akan
bermula di tankered sludge receiving
station, kemudian ke sludge
dewatering facility dan seterusnya dipindahkan ke aeration facility diikuti ke clarifier
facility dan utility water facility sebelum
berakhir di odor treatment facility.
Model sistem rawatan air
kumbahan Indahwater
Sesi
5: Site tours
Akhir sekali, guru
pelatih dan pensyarah pengiring telah dibawa melawat ke tapak loji untuk
melihat sendiri semua proses dan kemudahan yang terdapat di loji Indah Water
Konsortium Sdn. Bhd. Sungai Udang. Lawatan
ke tapak loji telah diiringi oleh tiga orang pekerja Indah Water Konsortium
Sdn. Bhd. Sungai Udang. Lawatan
tapak telah dimulakan di Tanker Sludge
Receiving Station, diikuti dengan Sludge
Dewatering Unit, Control Room, Aeration
Tank, Clarifier, Odor Control dan
akhir sekali di Sludge Cake Storage Yard.
Aeration Tank
Sludge
Tanker Receiving (STR)
Tangki
kumbahan
Semasa lawatan di tapak loji guru pelatih dan pensyarah pengiring turut bersoal
jawab dengan pekerja yang bertugas untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas
tentang operasi loji. Pada akhir lawatan di tapak loji peserta telah berpeluang
melihat proses akhir bahan enapcemar yang terdapat di loji Indah Water
Konsortium Sdn.Bhd. iaitu sludge cake
yang boleh dijadikan baja.
Sludge Cake Storage
(SCR)
Sebelum pulang
ke IPG, sedikit majlis penutup telah diadakan dan pihak Indah Water Konsortium
Sdn. Bhd. Sungai Udang serta pihak IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka telah
bertukar-tukar cenderahati tanda penghargaan. Encik Mohd Johan selaku Ketua
Bahagian di cawangan tersebut telah merumuskan keseluruhan lawatan dan berharap
segala ilmu yang diperoleh pada hari ini dapat dikongsi bersama anak-anak murid
apabila berkhidmat di sekolah kelak.
Kenangan peserta lawatan
bersama pegawai-pegawai Indahwater
No comments:
Post a Comment