Saturday, 18 October 2014

LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

LAPORAN LAWATAN AKADEMIK:
(AGENSI NUKLEAR MALAYSIA)

BUTIRAN LAWATAN: 

TARIKH  : 10 SEPTEMBER 2014

MASA      : 9.00 PAGI - 3.30 PETANG

TEMPAT : AGENSI NUKLEAR MALAYSIA, BANGI 43000 KAJANG, SELANGOR.

BILANGAN PESERTA : 17 ORANG GURU PELATIH PISMP SAINS JAN 2011 DAN DUA                                              ORANG PENSYARAH.

1.0          Pendahuluan
Pada 10 September 2014 telah diadakan lawatan akademik ke Agensi Nuklear Malaysia di Bangi, Selangor. Lawatan ini disertai oleh 17 guru pelatih PISMP Sains Januari 2011 dan 2 orang pensyarah pengiring. Kami tiba di ANM pada pukul 9.45 pagi dan disambut oleh En. Halim Ali iaitu pegawai dari Bahagian Komunikasi Korporat.

Industri Kuasa Nuklear telah mengumpul pengalaman sejak 60 tahun yang lalu. Pengalaman luas, rekod keselamatan, kajian dan perkembangan positif negara-negara yang menggunakan tenaga nuklear, telah meyakinkan Malaysia untuk menjadikan ia sebagai sumber tenaga alternatif negara. Oleh itu, Agensi Nuklear Malaysia (ANM) berperanan untuk menguruskan tenaga alternatif ini. Antara peranan utama ANM ialah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), khidmat dan latihan dalam bidang teknologi nuklear bagi pembangunan negara. Selain itu, ANM juga menggalakkan penggunaan, pemindahan dan pengkomersilan teknologi nuklear.

2.0       Tentatif / perjalanan program
 Masa                      Aktiviti
  

10.00 pagi                Taklimat dan Tayangan Video Korporat
11.00 pagi                Lawatan ke Reaktor Triga Puspati
            12.30 t/hari               Rehat
2.30 petang              Lawatan ke Makmal SSDL
4.00 petang              Tamat

2.1          Taklimat dan Tayangan Video Korporat
            Rombongan kami tiba di Agensi Nuklear Malaysia pada pukul 9.30 pagi iaitu lewat setengah jam daripada yang dijangkakan. Kedatangan kami telah diiringi oleh Cik Hasfazilah binti Hassan selaku Pengurus Unit Komunikasi Korporat. Beliau kemudian membawa kami ke Dewan Utama di aras 1 Bangunan Utama Agensi Nuklear Malaysia. Selepas beliau memberikan ucapan bagi mengalukan kedatangan kami di sana, kami telah diberikan taklimat ringkas mengenai sejarah dan latar belakang Agensi Nuklear Malaysia. Taklimat yang telah disampaikan oleh beliau juga menyentuh mengenai carta organisasi, fungsi agensi ini serta tenaga nuklear di Malaysia secara menyeluruh. Taklimat ini diadakan bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada kami mengenai kepentingan dan kegunaan tenaga nuklear dalam kehidupan seharian kita. Selain itu, kami juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan sepanjang berada di makmal dan loji reaktor bagi mengelakkan kecederaan atau kemalangan berlaku. Syukur Alhamdulillah, kerana pihak Agensi Nuklear Malaysia begitu prihatin terhadap kesedaran orang ramai mengenai penggunaan tenaga nuklear dalam kehidupan seharian terutama dalam kalangan guru pelatih yang akan mendidik generasi muda akan datang.

Sesi Tayangan Video Korporat. Guru pelatih menonton tayangan 
video korporat mengenai Agensi Nuklear Malaysia

            Sebelum mengakhiri taklimat, pihak agensi telah menayangkan video korporat kepada kami bagi memperkenalkan organisasi  yang menjadi tulang belakang bagi Agensi Nuklear Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, Agensi Nuklear Malaysia merupakan agensi yang bernaung di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Agensi Nuklear Malaysia merupakan satu-satunya agensi yang memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan penyelidikan yang berkualiti untuk penerokaan teknologi baru dalam skala yang besar untuk aplikasi teknologi nuklear. Kemampuan tersebut dicapai menerusi latihan dan disiplin tenaga kerja, infrastruktur, kejuruteraan selain penyediaan makmal penyelidikan yang moden.




1.1          Lawatan ke Reaktor Triga Puspati (RTP)
            Kami memenuhi sesi lawatan ini dengan melawat ke Reaktor Triga Puspati yang telah disambut oleh En. Rizuan dan lawatan ke sekitar loji ini mengambil masa selama lebih kurang satu jam. Pada permulaan sesi ini, beliau telah memperkenalkan kami mengenai langkah keselamatan yang diambil sebelum, semasa dan selepas keluar dari reaktor.  Beliau menerangkan mengenai beberapa peralatan yang digunakan untuk menyukat kadar radiasi persekitaran seperti pen dosimeter dan sebagainya. Beliau juga telah menyampaikan input-input mengenai sejarah dan kronologi penubuhan Reaktor Triga Puspati di Malaysia. TRIGA merupakan singkatan kepada Training, Research, Isotope Production, and General Atomic. Reaktor Triga  Puspati (RTP)  mula digunakan pada tahun 1982. Seperti reaktor TRIGA lain, ia cuma digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan dan pendidikan.Sepenjang lawatan di sekitar kawasan reaktor, Encik Rizuan yang merupakan pegawai penyelidikan di reaktor tersebut memperkenalkan kami dengan lebih dekat mengenai reaktor ini.RTP adalah reaktor jenis kolam , di mana teras reaktor terletak di bahagian bawah tangki aluminium yang berketinggian 7 meter dan dikelilingi oleh perisai biologi diperbuat daripada konkrit berketumpatan tinggi . Reaktor ini menggunakan unsur-unsur bahan api pepejal di mana moderator zirconium - hidrida iaitu homogen digabungkan dengan uranium yang diperkaya. Air yang dinyah mineral dan neutron moderator kedua-duanya bertindak sebagai penyejuk manakala grafit bertindak sebagai reflektor.

            Sebagai langkah keselamatan, kami diminta memakai jubah makmal dan memakai kasut yang bertutup penuh. Pada masa yang sama, kami juga tidak dibenarkan untuk mengambil gambar semasa berada di dalam kawasan reaktor. Walaupun kami sedikit teruja untuk mengambil foto-foto di dalam kawasan reaktor, namun begitu, kami akur demi keselamatan bersama. Selepas sesi lawatan, pegawai bertugas menjalankan sesi soal jawab antara guru-guru pelatih dan Encik Rizuan. Perbincangan yang berlansung aktif ini berjalan dengan lancar dan sesi soal jawab meningkatkan kefahaman guru pelatih mengenai sistem dan fungsi reaktor ini. Hal ini menunjukkan guru-guru pelatih fokus dan tertarik dengan isu yang telah disampaikan oleh pegawai bertugas. Sesungguhnya, banyak input berguna dapat kami perolehi pada sesi lawatan kali ini. Memandangkan tenaga nuklear merupakan sesuatu yang bukan asing lagi di negara kita, namun begitu pendedahan secara terus sebegini bukan mudah untuk diperoleh di mana-mana tempat lain di luar sana. Ternyata, peluang melawat ke Reaktor Triga Puspati ini merupakan peluang emas buat yang julung kalinya malah mungkin yang terakhir buat kami memandangkan kawasan ini tidak dibuka kepada individu yang tidak berkenaan dengan Agensi Nuklear Malaysia.

Pegawai bertugas memberi penerangan mengenai rod yang digunakan dalam penghasilan
 tenaga nuklear di Triga PUSPATI sebelum lawatan ke loji bermula.

Lawatan ke Makmal SSDL
Tepat pada pukul 2.15 petang, lawatan diteruskan lagi ke satu lagi bahagian yang terdapat di Agensi Nuklear Malaysia iaitu Makmal Dosimetri Standard Sekunder (SSDL). SSDL atau Secondary Standard Dosimetry Laboratory, merupakan satu-satunya yang wujud di Malaysia sejak tahun 1980.Makmal ini telah diiktiraf sebagai makmal kebangsaan serta berjaya menepati piawai ISU/IEC17025 dan ISO 9001:2000.Penerangan semasa lawatan ke SSDL telah disampaikan oleh En.Haimizanyang merupakan penolong pegawai di bahagian tersebut.
SSDL telah menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu personal dosimeter, calibration survey meter dan high dose industrial dosimeter.Personal dosimeter yang menyerupai bentuk kad matrik wajib dipakai oleh pekerja sinaran seperti pegawai x-ray dan yang bekerja kilang-kilang yang terdedah kepada sumber sinaran.Calibration survey meterdigunakan untuk memperoleh bacaan sinaran yang terdapat di sekeliling dalam masa yang cepat. Manakala high dose industrial dosimeterpula, digunakan dalam industri import dan eksport makanan di Malaysia. Sebagai contoh, buah pisang yang dieksport ke luar negara akan disinarkan dengan satu dose yang dapat mengelakkan buah pisang tersebut masak terlalu awal serta cepat busuk. Dose ini tidak berbahaya kepada manusia dan tidak mengubah sifat semula jadi makanan yang dieksport.
SSDL memainkan peranan penting dalam membantu hospital, industri dan NDT dalam mengawal produk yang dihasilkan di samping sebagai langkah menjaga keselamatan para pekerja dalam sektor tersebut.Oleh itu, penggunaan dosimeter yang merupakan sebahagian daripada perkembangan teknologi perlu diberikan pendedahan sewajarnya kepada umum melalui medium yang sesuai. Antara dosimeter yang digunakan ialah lencana filem dan dosimeter pendar kilau terma (TLD) iaitu lencana TLD dan cincin TLD. Kedua-dua sistem ini digunakan bagi penilaian seluruh badan dan pemantauan kawasan.
            Seterusnya kami dibawa ke Bahagian Quality Control In Diagnostic Radiology iaitu yang berkait rapat dengan Perubatan Fizik. Pegawai yang bertugas memberikan penerangan kepada kami ialah Cik Hayati. Kami diberikan penerangan tetang alat alat dalam bidang perubatan yang menggunakan tenaga nuklear seperti X-ray, Mammography dan Fluoroscopy termasuk C-arm dan Angiography.

 Penerangan di dalam Makmal TDL
 
 Penerangan untuk proses dosimeter menggunakan
 kaedah lama seakan-akan mencuci filem

Produk SSDL iaitu personal dosimeter

Selepas berakhirnya sesi terakhir bagi aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak Agensi Nuklear Malaysia kepada para guru pelatih, maka kami menamatkan sesi lawatan tersebut pada jam 4.00 petang. Sebelum itu, kami telah menyampaikan cendera mata dari IPG kepada wakil dari Agensi Nuklear Malaysia.Sebagai tanda kenang-kenangan, kami telah mengabadikan foto kenangan bersama pihak Agensi Nuklear Malaysia sebelum bersurai.Selepas sesi tersebut tamat, kami pulang ke kampus dengan menaiki bas IPG dan kepulangan yang membawa seribu satu pengertian dan input berguna kepada rakan guru pelatih dalam memahami tajuk ‘Radiasi’ dengan lebih mendalam. Seterusnya, segala bahan yang didokumentasikan sepanjang lawatan dilakukan diterjemahkan ke dalam bentuk laporan dokumentasi bagi tujuan penambahbaikan bagi program seterusnya dan dijadikan sebagai bahan rujukan bagi guru pelatih masa akandatang Sepanjang lawatan ini, banyak ilmu dan maklumat baru tentang tenaga nuklear yang telah kami peroleh. Banyak manfaat yang telah kita peroleh hasil daripada perkembangan tenaga ini khususnya dalam bidang perubatan dan dalam kehidupan harian kita sendiri. Semoga segala maklumat yang telah kami peroleh ini dapat kami aplikasikan kepada murid-murid yang berada di sekolah kelak.


Warga IPG Kampus Perempuan Melayu bergambar kenangan
 dengan pengurus Unit Komunikasi Korporat dari Agensi Nuklear Malaysia iaitu Cik Hasfa

3 comments:

  1. Assalamualaikum. Terima kasih atas perkongsian ini. Saya minta izin untuk mengambil input dan pengalaman yang awak kongsikan ini. Semoga awak berjaya selalu. Terima kasih :)

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum, terima kasih atas imlu dan perkongsian yang telah awak kongsikan di atas. izinkan saya untuk mengambil input yg telah awak kongsikan ini. :)

    ReplyDelete