Thursday, 16 October 2014

Rencana : Reka Bentuk Inovasi dan Reka Cipta

Isu I (Reka Bentuk Inovasi Dan Reka Cipta) : Kestabilan Struktur

Oleh : Nur Adibah binti Harun

Setiap pembinaan amat mengutamakan kestabilan struktur sebagai asas dalam mekanik pepejal. Ini perlu dititikberatkan dalam memastikan struktur daripada faktor yang menyebabkan ia runtuh (Bazant, 2000). Sebuah struktur yang stabil mempunyai bahagian-bahagian yang dipasang antara satu sama lain dengan penyambung yang sesuai dan selamat bagi menghasilkan suatu kerangka yang berupaya menanggung beban yang dijangkakan. Ini bermaksud struktur tersebut dikatakan stabil apabila dapat menampung beban dan tidak mudah retak. Sebuah struktur bangunan boleh dikatakan stabil apabila strukturnya statik di kedudukan yang sama tanpa mengalami sebarang pergerakan apabila berupaya menahan daya yang bertindak ke atasnya. Oleh itu, kestabilan struktur akan ditentukan terlebih dahulu melalui dua proses iaitu analisis struktur dan reka bentuk struktur (Kumar, 1998).

Kepentingan

Kestabilan struktur yang wujud dari zaman penjajahan menjadi bukti perkembangan sejarah yang dialami oleh sesebuah tempat. Contohnya di Melaka, Kota A’ Famosa tempat menjadi bukti bahawa Melaka pernah ditawan oleh penjajah Portugis pada tahun 1511. Diikuti pula dengan binaan Bangunan Stadthuys (1650) yang melambangkan kedatangan penjajah Belanda ke Melaka. Bangunan bersejarah ini merupakan kaedah terbaik dalam memberikan maklumat kepada masyarakat mengenai peristiwa yang telah berlaku pada masa itu.  

Gambar 1 dan 2 : Bangunan memaparkan rentetan perkembangan sejarah
Kewujudan struktur candi di Lembah Bujang sebagai monumen keagamaan bagi agama Hindu dan Buddha menjadi satu bukti penyebaran agama ketika itu. Ini melambangkan kehebatan struktur yang pernah menjadi rumah ibadat terkenal sebagai tempat penyimpanan patung dewa utama. Meskipun begitu, bahagian tapak sahaja yang berjaya dikekalkan di kesemua candi tersebut.

 Gambar 3 : Rentetan perkembangan agama Hindu dan Buddha 

Gambar 4 : Struktur candi yang masih utuh 
Keutuhan bangunan lama seperti Istana Kenangan di Perak menjadi lambang kestabilan struktur seni bina Melayu tradisional. Penggunaan pasak iaitu kayu yang ‘dipaku’ dengan kayu daripada lantai hingga ke atap amat mengagumkan. Istana yang masih kukuh tersergam dengan keaslian reka bentuk menjadi lambang kebudayaan Melayu yang indah. Ditambah lagi dengan corak kelarai di dindingnya menjadikan motif alam sebagai lambang ketelitian masyarakat Melayu pada masa itu.

Gambar 5 : Corak kelarai lambang seni bina Melayu 

Kini sektor pembinaan negara telah berjaya mengeksploitasi sepenuhnya teknologi canggih yang sedia ada. Buktinya dengan pembinaan pelbagai mercu tanda dan bangunan pencakar langit di seluruh pelosok negara. Sebagai contoh semasa pembinaan Menara Kuala Lumpur, kaedah pembinaan Slip Form atau acuan gelansar diperkenalkan dalam pembinaan terowong tegak menara (Faridah & Zuraidah, 1995).
Namun begitu, kita juga dikejutkan dengan kejadian bangunan runtuh yang telah menyebabkan kemusnahan harta benda serta mengorbankan puluhan nyawa seperti yang berlaku di Highland Towers (11 Disember 1993), Stadium Sultan Mizan (2 Jun 2009) dan Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar (14 Oktober 2010). Kejadian ini seolah-olah mempunyai rentetan pada tahun yang berikutnya. Menurut Ahamd Fauzi (2011), sudah tiba masanya semua pihak yang bertanggungjawab mengambil berat isu bangunan runtuh yang sekian lama dipandang remeh dan diperdolak-dalikan. Apa yang meragukan ialah runtuhan bangunan ini kerap berlaku pada bangunan komersial tetapi jarang sekali berlaku kepada mercu tanda dan bangunan pencakar langit.
Faktor

Kestabilan sesebuah struktur dipengaruhi oleh pelbagai faktor sama ada buatan, semula jadi dan lain-lain. Menurut Siti Mariam (2011), tragedi runtuhnya Highland Tower telah berlaku pada musim hujan iaitu selepas hujan tanpa henti selama 10 hari berturut-turut. Kadar aliran air bawah tanah yang banyak akibat hujan menyebabkan tanah menjadi lembab sehinggakan kekuatan struktur tanah terjejas. Kadar aliran air bawah tanah dan cuaca merupakan sebahagian daripada faktor semula jadi yang menyumbang kepada kejadian runtuhan bangunan.


          Dari segi faktor buatan, pemilihan bahan asas binaan menjadi punca utama ketidakstabilan struktur. Perkara ini berlaku kepada bangunan Sekolah Kebangsaan Gunung yang runtuh secara tiba-tiba disebabkan pengubahsuaian lantai simen tanpa konkrit yang kukuh (Azmi dan Siti Fatimah, 2010). Lantai simen tersebut tidak mampu menampung beban berat manusia dan peralatan kelas hingga menyebabkan berlaku runtuhan berkenaan.


Gambar 6 : Runtuhan berlaku ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung

Bagi Stadium Sultan Mizan yang telah runtuh sebanyak dua kali, faktor lain-lain yang menyumbang kepada runtuhnya stadium tersebut ialah kualiti kerja tidak mengikut spesifikasi serta tiada pengawasan dan kawalan kualiti dilakukan di tapak projek (Utusan Malaysia, 18 Julai 2013). Ini telah menyebabkan struktur besi untuk bumbung stadium tersebut runtuh dalam masa kurang dari setahun tempoh pembinaan siap dijalankan.

Kesan

Impak yang timbul daripada kejadian ini begitu menakutkan terutamanya pertambahan dalam bilangan mangsa korban kejadian. Selain itu, mangsa yang terselamat akan menghadapi kesan psikologi yang membimbangkan iaitu trauma. Trauma menjadikan mangsa berada dalam ketakutan dan dibelenggu kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga.
Malahan kemusnahan harta benda yang bernilai juta ringgit amat merugikan apatah lagi melibatkan harta benda seperti rumah, bangunan dan kemudahan awam terutamanya jalan raya. Akibatnya, kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk membina semula kemudahan atau memberikan bayaran pampasan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Kejadian ini juga menyebabkan perubahan landskap yang amat ketara pada struktur tanah dan topografinya. Kawasan tanah tinggi berkemungkinan menjadi rata akibat tanah dan lumpur yang terkumpul sekali gus memberi kesan kepada ekosistem kawasan berkenaan. Tambahan pula, imej Malaysia sebagai negara yang membangun akan terjejas di mata dunia. Ia menampakkan kelemahan tenaga kerja negara dalam mengendalikan pembinaan di tanah air sendiri.
Pertelagahan antara pihak tertentu yang membawa kepada kes saman-menyaman akibat penyelewengan kelulusan Certificate of Fitness (CF) hanya sebagai retorik dalam meletakkan kesalahan kepada pihak lawan. Contohnya saman awam yang difailkan oleh kerajaan negeri Terengganu kepada pihak yang terlibat dengan projek pembinaan stadium yang melibatkan tuntutan bernilai jutaan ringgit.

Gambar 7 dan 8 : Kesan runtuhan bangunan 
Peranan Kerajaan dan Masyarakat

Bagi mengelakkan kejadian buruk ini berulang lagi, kerajaan perlu mengatasi isu ini dengan mempraktikkan sistem pengurusan dan penyelengaraan bangunan yang lebih sistematik. Juru ukur bangunan diberikan tempat untuk bertindak sebagai juru runding yang mewakili kepentingan kerajaan bagi melakukan check and balance ke atas kerja yang dilakukan oleh kontraktor, akitek dan jurutera yang telah dilantik bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah (Ahmad Fauzi, 2011). Pihak ini bertanggungjawab untuk mengemukakan syor penambahbaikan kepada pembinaan untuk dipertimbangkan oleh pihak-pihak berkaitan.
            Penguatkuasaan undang-undang dengan memastikan bahan binaan yang digunakan melepasi ujian dan penilaian penentuan kualiti. Beberapa ujian seperti komposisi kimia, kehalusan, masa memejal dan kekuatan perlu dijalankan bagi mengawal mutu bahan yang digunakan. Kontraktor yang terpilih perlu mematuhi peraturan dan piawai yang ditetapkan. Kesemua kerja pembinaan perlu mengikut standard pembinaan dengan menyemak secara terperinci spesifikasi kerja dan merujuk kepada pakar perundingan yang dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang permasalahan.
              Selain itu, tender projek yang dipohon perlulah selari dengan keupayaan dan kemahiran yang dimiliki oleh sesebuah syarikat pembinaan. Keuntungan atas angin semata-mata tidak menjamin keutuhan syarikat pembinaan masing-masing kerana hasil pembinaan yang tidak berkualiti  ditambah pula pekerja yang tidak mahir akan mengundang lebih banyak masalah dan menyebabkan syarikat muflis.
Kejadian ini memangkin kesedaran masyarakat untuk mengambil berat tentang aspek kestabilan struktur di dalam pembinaan bangunan kediaman mereka. Bangunan kediaman yang dibina adalah berdasarkan jangkaan keutuhan semaksimum mungkin. Masyarakat juga semakin peka dengan status pemaju dan kontraktor binaan yang dipilih bagi menjalankan projek pembinaan agar berbaloi dengan kewangan yang telah diperuntukkan.

 Gambar 9 dan 10 : Penyelesaian bangunan runtuh memerlukan kerjasama daripada semua pihak yang bertanggungjawab

Kesimpulannya saya amat bersetuju dengan kenyataan Ahmad Fauzi (2011) bahawa sudah tiba masanya isu bangunan runtuh tidak lagi dipandang enteng oleh pihak yang bertanggungjawab. Namun begitu, terpulang kepada pihak tersebut untuk menerima tekanan ini secara positif atau negatif kerana cara penerimaan masing-masing akan membezakan kesannya terhadap mereka.
Tidak dinafikan bahawa pekerja sektor pembinaan terdedah dengan pelbagai cabaran, dugaan dan desakan duniawi sehingga boleh menggugat pertimbangan. Tidak hairanlah jika ada di antara pekerja ini terlibat dalam aktiviti penyelewengan, penyalahgunaan dan melanggar piawai yang ditetapkan yang bukan sahaja membawa kesan kepada integriti diri malah kepada keseluruhan imej sektor pembinaan itu sendiri. Ini kerana masyarakat semakin hari semakin bijak menilai keupayaan, ketelusan dan daya usaha yang ditunjukkan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam sektor pembinaan.

 Bibliografi
Ahmad Fauzi Md Sood. (2011, Mac 18). Bangunan Runtuh Bukan Isu Remeh. Berita Harian, 18.
Azmi Md Deros & Siti Fatimah Mohamed Anwar. (2010, Oktober 14). 10 Murid Cedera Lantai Sekolah Runtuh. Berita Harian, 5.
Bazant, Z. P. (2000). Structural Stability. International Journal Of Solids And Structures, 37(7), 55-67.
Diyana Rose Kamalludeen. (2009, Julai 25). Taipei 101 Gagah Hadapi Cabaran. Utusan Malaysia, 8.
Faridah Taib & Zuraidah Ali. (1995). Siri Teknologi : Teknologi Terkini. Petaling Jaya, Selangor : Penerbit Pinang.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. (2009). Lembah Bujang. Diakses pada 5 Ogos 2014 dari http://www.arkib.gov.my/en/web/guest/lembah-bujang.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. (2009). Kota A’ Famosa, Melaka. Diakses pada 5 Ogos 2014 dari http://www.arkib.gov.my/en/web/guest/kota-a-famosa-melaka1
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. (2009). Istana Kenangan. Diakses pada 5 Ogos 2014 dari http://www.arkib.gov.my/en/web/guest/istana-kenangan
Kumar, A. (1998). Stability Of Structures. Mumbai, India : Allied Publishers Limited.
Mohamad Hairi Arifin, Abdul Ghani Rafek, Ibrahim Abdullah & Mohd Rozi Umor. (2010). Geologi Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Bekas Terowong Sungai Lembing, Kuantan, Pahang Sebagai Tapak Warisan Geologi. Bulletion Of Geological Society Of Malaysia, 56(4), 61-66. 
Rasimah binti Md Zain. (2013). Penilaian Integriti Struktur Robi Test Bed (Road Bridge Interface Test Bed) Di Atas Tanah Lembut. Disertasi Ijazah Sarjana Muda. Universiti Tun Hussein Onn. 
Sinar Harian. (2013, Februari 20). Lima Cedera Kerangka Lama Stadium Gong Badak Runtuh, 5.
Siti Mariam Elias. (2011, Februari). Tumbangnya Highland Towers Eratkan Kasih Sayang Saya Dan Isteri. Majalah MIDI, 23-26.
Thomas, M. F. (1991). Geomorfologi Tropika. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Utusan Malaysia. (2013, Julai 18). Tak Ikut Spesifikasi Punca Stadium Sultan Mizan Runtuh, 6.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. (2009). Kemalangan Melibatkan Runtuhan Struktur Bangunan. Diakses pada 5 Ogos 2014 dari www.dosh.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=117:incident-regarding-collapse-of-building-structure&catid=440&Itemid=1127&lang=ms












No comments:

Post a Comment