Thursday, 16 October 2014

Rencana : Reka Bentuk Inovasi dan Reka Cipta (2)

ISU 1: REKA BENTUK, INOVASI DAN REKA CIPTA

Oleh: Rafidah binti Sahadad

Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan berita bangunan runtuh di Thailand yang meragut 3 nyawa dan 24 lagi cedera pada 11 Ogos 2014 yang lalu. Sebelum itu, pada 28 Jun 2014 pula dua bangunan runtuh di India yang mengorbankan 16 nyawa. Malaysia sendiri tidak sunyi dengan tragedi runtuhan berkaitan bangunan apabila 2 maut dan 8 cedera di Pulau Pinang apabila tiang pemancar telekomunikasi Menara UMNO di Jalan Macalister runtuh pada 13 Jun 2013. Kejadian menakutkan sebegini sekali lagi menggusarkan rakyat apabila siri runtuhan siling hospital kerajaan di Serdang berulang sebanyak 4 kali pada tahun lalu. Namun, kesemua kes yang telah disebutkan belum lagi dapat menandingi ketragisan runtuhan 1 daripada 3 blok kondominium di Taman Hillview pada 11 Disember 1993 yang merupakan satu-satunya tragedi bangunan runtuh yang pertama dan terburuk setelah negara kita mengecapi kemerdekaan. Kejadian menyayat hati yang meragut 48 nyawa itu lebih dikenali sebagai ‘Tragedi Highland Tower’. Takziah diucapkan kepada waris mangsa.


Jurutera Perunding Geoteknikal, Dr. Alan George  Weeks pada Ogos 1998 melalui  kenyataannya sebagai saksi di mahkamah menyatakan bahawa Blok A tumbang adalah disebabkan oleh keruntuhan besar dan bukan beberapa siri runtuhan seperti laporan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)  oleh Prof Noel Edward Simons pada 1993. MPAJ dipercayai membuat siasatan tidak menyeluruh pada 1993 kerana tidak mempunyai pengalaman menyiasat kejadian tanah runtuh sebelum itu. Manusia tidak akan lekang daripada melakukan kesilapan. Sejauh mana kebenaran hasil laporan kedua-dia pihak tersebut? Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Rentetan daripada penyataan tersebut, punca utama kejadian yang dikenal pasti ialah sistem perparitan yang tidak dikendalikan dengan sistematik. Proses penebangan pokok di kawasan berhampiran menyebabkan terbentuknya sasaran saliran yang mengakibatkan pergerakan bawah tanah dari atas bukit terus ke kawasan pangsapuri berkenaan. Secara teknikalnya, pergerakan tanah tersebut menyebabkan kekuatan ricih tanah menjadi rendah sekaligus meningkatkan tekanan aktif tanah sehingga menghasilkan hentam kuat terhadap cerucuk pangsapuri tersebut.

Kesan daripada runtuhnya Blok A pangsapuri tersebut, penghuni di 2 blok lain bergegas mengosongkan kediaman masing-masing kerana tidak yakin akan kekuatan bangunan tersebut. Tiada arahan bertulis mengosongkan pangsapuri dikeluarkan, namun penghuni tetap keberatan untuk terus tinggal di situ kerana bekalan air dan elektrik terputus selepas runtuhan itu. Pihak pemaju iaitu Highland Properties Sdn. Bhd. pula menghadapi kes tuntutan saman daripada 73 pemilik dua blok pangsapuri Highland Towers.

Sejauh mana tragedi ini memberi kesan kepada kita untuk berfikir sejenak tentang nilai alam sekitar kepada manusia atas nama pembangunan. Islam sendiri terang-terangan menyeru umatnya menggunakan segala sumber alam dengan sewajarnya dan berhati-hati. Merujuk kepada punca runtuhan tersebut, proses penebangan pokok di kawasan berhampiran menyebabkan saliran air bawah tanah yang melemahkan struktur tanah dan akhirnya runtuh sebagaimana yang dinyatakan oleh pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Ibrahim Komoo dalam Zamri Mohamad, 2005. Sudah tiba masa untuk kita mempraktikkan nilai dan etika sebenar dalam mengejar erti sebenar pembangunan di samping memelihara nilai kelestarian alam.

 Bencana yang berlaku turut mencerminkan tahap pegangan agama yang kian berkurangan. Pemaju perumahan seolah tidak mengendahkan keselamatan pembeli kerana hanya meinginkan keuntungan berlipat kali ganda daripada projek di tanah tinggi yang sememangnya merupakan projek mewah. Hampir semua agama di dunia meletakkan perhatian yang khusus terhadap kepentingan alam sekitar kepada manusia. Bagi agama Islam misalnya, Abu Bakar Yang (dalam Zamri Mohamad, 2005), menegaskan bahawa al-Quran meletakkan martabat manusia sebagai khalifah di muka bumi bersesuaian dengan kejadian manusia yang dianugerahkan nikmat akal yang membezakannya daripada makhluk lain. Berbekalkan akal dengan berpandukan ajaran Islam yang syumul, maka tanggungjawab manusia sebagai khalifah bukan sekadar menyempurnakan tanggungjawab terhadap Penciptanya malahan terhadap hubungannya sesama manusia dan alam sekitar demi mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, kekufuran segelintir manusia yang menyebabkan murka Allah membawa kepada datangnya bala kepada umat secara keseluruhannya tanpa berkecuali sebagaimana yang Dia kehendaki. Jadi, maka jadilah.

Kesal apabila melihat persepsi dan budaya masyarakat Malaysia yang kini menjadikan istilah ‘Highland Tower’ lebih sinonim dengan genre seram sehingga terbitnya sebuah filem seram berjudul ‘Highland Tower’. Generasi baru yang tidak mengetahui kisah tragis ini terlebih dahulu didedahkan kepada ‘Highland Tower’ yang menyeramkan sehingga tenggelamnya kisah menyayat hati mangsa runtuhan dan segala iktibar daripada musibah tersebut. Sudah menjadi budaya rakyat Malaysia lebih menggemari filem genre seram. Sehinggakan produser filem tertarik untuk memanipulasi ‘Highland Tower’ demi keuntungan dan kemahsyuran. Selain itu, tapak pangsapuri tersebut yang dulunya merupakan kediaman mewah kini telah terbiar sekian lama semenjak ditinggalkan penghuninya. Sedangkan rumah yang ditinggalkan kosong akan dihuni jin selepas 3 hari, inikan pula bangunan 12 tingkat yang telah 21 tahun terbiar tidak berpenghuni. Maka, sinonimnya ‘Highland Tower’ dengan genre seram tidak dapat dinafikan lagi.

Pembinaan ketiga-tiga blok kondominium tersebut telah mendapat Certificate of Fitness (CF) oleh Majlis Daerah Gombak (MDG) dan kemudiannya dipertanggungjawabkan kepada MPAJ yang baharu ditubuhkan pada waktu itu. Hal ini jelas menunjukkan keterlibatan pihak berkuasa tempatan dalam memperakui tahap keselamatannya. Namun, dengan berlakunya tragedi ini, kredibiliti pihak tersebut diragui sehingga masyarakat menimbulkan pelbagai spekulasi. Namun, segala yang telah terjadi mustahil dapat diubah lagi.

Tindakan sewajarnya adalah mengelakkannya daripada berulang dan membaiki kerosakan yang telah terjadi demi meraih semula kepercayaan rakyat umumnya. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengetatkan lagi penguatkuasaan dalam meluluskan projek pembinaan yang didapati berisiko tinggi. Kerajaan juga disarankan agar mengambil langkah pembersihan terhadap tapak pangsapuri tersebut agar dapat dimanfaatkan berbanding membiarkannya begitu sahaja. Antara cadangan yang boleh dijalankan ialah dengan membuka memorial bagi mengingati mangsa tragedi di tapak tersebut di samping menjadikannya kawasan rekreasi memandangkan kelebihannya yang kaya dengan udara yang segar dan kehijauan alam.

Masyarakat seharusnya memberikan sokongan terhadap segala usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang kepentingan aspek keselamatan berbanding keuntungan semata-mata demi kepentingan bersama. Sebarang musibah yang menimpa tidak wajar dijadikan isu politik atau perkauman demi menjaga imej negara di mata negara lain. Pihak pemaju pula diharapkan agar dapat menggiatkan lagi usaha untuk lebih terbuka menerima inovasi dalam meningkatkan kualiti dan keselamatan projek pembinaan mereka dengan mengikuti perkembangan teknologi pembinaan terkini. Selain itu, pihak pemaju juga diharapkan agar tidak memandang enteng isu kecil seperti perubahan kelembapan tanah yang hakikatnya telah terbukti mampu meruntuhkan sebuah bangunan setinggi 12 tingkat.

Secara peribadi, penulis berpendapat bahawa semua pihak mempunyai kepentingan dalam aspek keselamatan sesebuah bangunan yang di bina. Sememangnya diakui bahawa negara kita kekurangan dana untuk membangunkan lebih banyak bangunan dengan reka bentuk terkini. Namun, kita masih boleh berbangga dengan hasil kerja tangan anak jati Malaysia dalam sektor pembinaan di negara luar seperti Dubai. Sebagai sebuah negara membangun, kerajaan kita mempunyai pelbagai masalah di sektor lain yang perlu diatasi. Bagi sektor pembinaan di dalam negara, sudah banyak inovasi bagi meningkatkan kestabilan dan kekuatan bangunan telah dipraktikkan walaupun tiadalah setanding dengan teknologi dan inovasi struktur bangunan di negara-negara maju. ‘Ukur baju biarlah di badan sendiri’. Aspek keselamatan perlu menjadi prioriti. Biarpun hasilnya tidak secantik mana, asalkan keselamatan terjamin.



No comments:

Post a Comment