LAPORAN LAWATAN AKADEMIK KE JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI
MELAKA (JAS)
Pada
5 September 2014 yang lalu, seramai 17 orang guru pelatih bersama seorang
pensyarah pengiring iaitu Puan Fatimah Binti Yusof dan Puan Suziela Binti Mat
Tahir daripada IPG Kampus Perempuan Melayu telah menyertai lawatan ilmiah ke
Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka. Lawatan ini diadakan bagi memenuhi
keperluan kursus bagi subjek Sains, Teknologi & Masyarakat (SCE 3114). Tujuan
lawatan ini diadakan adalah untuk
mendedahkan kepada guru pelatih mengenai peranan JAS kepada masyarakat. Malahan
secara tidak langsung, guru pelatih dapat melihat
dengan lebih dekat lagi mengenai
teknologi yang digunakan serta memberi pengalaman baru kepada peserta program
tentang penggunaan teknologi dalam bidang ini. Tambahan pula, lawatan
ini bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman guru
pelatih melalui medium pembelajaran yang
lebih berkesan iaitu melalui program lawatan ilmiah yang dijalankan ini. Lawatan ini juga melatih kepada guru pelatih
agar dapat mensintesiskan maklumat daripada pelbagai sumber untuk memperoleh
pemahaman yang koheren tentang teori dan amalan.
Sebelum
Sebelum
lawatan bermula, beberapa prosedur penting perlu dilakukan. Setelah
jawatankuasa pelaksana dibentuk, kertas kerja mula dirangka. Pengesahan
daripada pihak pentadbir IPG mengambil masa kira-kira hampir dua minggu.
Setelah kertas kerja mendapat pengesahan secara rasmi, kami mula menghubungi
pihak JAS untuk memaklumkan mengenai lawatan kami. Surat Permohonan dihantar
kepada pihak JAS melalui faksimili dan menunggu jawapan balas daripada pihak
mereka. Setelah menghubungi pihak JAS, pihak mereka tidak dapat menerima tarikh
yang telah diusul kerana terdapat program lain yang perlu mereka kendalikan.
Kemudian, tarikh baru untuk lawatan telah diberitahu oleh pihak JAS iaitu pada
5 September 2014. Kami lebih banyak berhubung dengan menggunakan kiriman emel
dan panggilan telefon kerana lebih mudah dan tidak mengambil masa. Pihak
pengurusan JAS juga sentiasa memberi layanan yang baik jika kami menghubungi
mereka. Setelah mendapat maklum balas daripada pihak JAS, kami meneruskan
beberapa prosedur lain seperti membuat tempahan penggunaan bas dan pesanan
barang daripada stor pusat IPG. Setiap permohonan berjalan lancar dan mendapat
sokongan daripada pihak IPG.
Semasa
Kami
tiba di Jabatan Alam Sekitar Melaka sekitar jam 9 pagi. Semasa berada di sana,
kami telah di sambut oleh Puan Azlina Binti Othman dan diminta mendaftarkan
diri terlebih dahulu. Kemudian, kami diminta untuk mengambil tempat di bilik
mesyuarat sebelum majlis bermula. Kami kemudian dijemput untuk menikmati
sarapan pagi. Selepas bersarapan, pihak JAS di bawah Unit Kesedaran Jabatan
Alam Sekitar Melaka telah mengadakan taklimat dan tayangan video mengenai
fungsi dan tugas mereka. Kami juga telah diberikan taklimat mengenai Rakan Alam
Sekitar (RAS) oleh Puan Azlina selaku wakil pihak JAS. Menurut beliau, pengetahuan
ini perlu disampaikan supaya ahli RAS tahu akan aktiviti yang dilakukan dan apa
peranan serta tugas mereka apabila menyertai Rakan Alam Sekitar.
Peserta lawatan khusyuk mendengar taklimat
Peserta lawatan mengisi borang penyertaan Rakan Alam Sekitar
Program
RAS adalah berbentuk ‘community based’ dan ‘hands-on’ di mana program ini
melibatkan penduduk setempat termasuklah generasi muda dan dewasa, NGO dan
lain-lain. Matlamat RAS adalah menjadikan orang ramai sebagai mata dan telinga
jabatan dalam membanteras masalah alam sekitar berkonsepkan "community
base" dan "hands on". Di samping itu, RAS juga ini memberi
kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga alam sekitar ini tak
kira agama bangsa keturunan tua atau muda tidak kira lelaki atau perempuan.
Menurut
beliau lagi, syarat penyertaan sebagai ahli RAS sangat mudah dan tidak
merumitkan di mana syarat-syaratnya adalah warganegara Malaysia, tanpa had
umur. Untuk menjadi rakan alam sekitar, anda boleh mendaftar menggunakan borang
atau secara online di http://ras.doe.gov.my/borang/pendaftaran_add.php.
Berdasarkan taklimat yang diberikan, kami sedar bahawa sebagai penduduk di bumi
ini, alam sekitar merupakan perkara yang perlu dijaga dan diberi perhatian. Kesemua
17 orang guru pelatih telah mengisi borang untuk menjadi Rakan Alam Sekitar
(RAS). Penyerahan borang dilakukan selepas mendapat penerangan daripada Puan
Azlina.
Selepas
taklimat diberikan, kami dibawa ke tempat di mana demonstrasi peralatan alat
penguatkuasaan terhadap kenderaan bermotor diadakan di Lobi Belakang Aras 1,
Menara Persekutuan. Demonstrasi ini dijalankan oleh Unit Kenderaan Bermotor
JASM. Empat demonstrasi diadakan iaitu demonstrasi alat Muller Berm898 untuk
ujian asap hitam kenderaan diesel, alat CO dan HC Analyser Innova untuk ujian
CO dan HC kenderaan petrol, alat Sound Level Meter (SLM) untuk ujian bunyi
bising motosikal dan alat Mini Vol Portable Air Sample untuk menguji kandungan
sampel udara tercemar.
Alat
Muller Berm898 merupakan alat untuk menguji asap hitam kenderaan diesel.
Menurut kakitangan JASM, di Jabatan Alam Sekitar Melaka, hanya terdapat 7 alat
ini yang dibeli di Itali. Pengujian asap bagi kenderaan diesel penting kerana
had pelepasan asap yang dibenarkan dari paip ekzos kenderaan diesel yang sedang
beroperasi di jalan raya adalah tidak melebihi 50 Unit Asap Hartridge (HSU)
atau dalam unit yang setara. Tambah beliau lagi, pemeriksaan asap kenderaan
diesel ini akan diadakan mengikut kepada jadual yang ditetapkan oleh pihak JAS.
Kenderaan yang didapati melepaskan gas yang mempunyai ketumpatan melebihi
standard yang dibenarkan dikenakan kompaun tidak melebihi RM 2000. Kenderaan
yang dikenakan perintah larangan tidak boleh beroperasi di jalan raya sehingga
kerosakannya telah diperbaiki dan lulus ujian asap semula oleh Jabatan Alam
Sekitar.
Di
stesen demonstrasi pengujian alat CO dan HC Analyser Innova untuk ujian CO dan
HC kenderaan petrol, kami diterangkan tentang pengawalan pelepasan daripada
enjin kenderaan bermotor. Pengawalan pelepasan ini telah dikuatkuasakan di
bawah peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1996. Menurut beliau, sebelum
1 Januari 1997 dan selepas 1 Januari 1997, standard pelepasan enjin petrol yang
diguna pakai adalah berbeza.
Setelah
melawat dua stesen demonstrasi, stesen ketiga pula adalah Mini Vol Portable Air Sample yang digunakan untuk mengukur kualiti
udara (particulate matter) bersaiz PM10 dan PM 2.5 micron. Alat ini bersifat
mudah alih, boleh diletakkan berdekatan dengan kawasan pencemaran serta
memerlukan punca bekalan kuasa. Pengukuran kualiti udara boleh dibuat secara
berterusan selama seminggu atau setiap minit secara manual.
Penerangan
mengenai cara menggunakan alat pengukur diesel
Kemudian,
stesen keempat adalah demonstrasi alat Sound Level Meter (SLM) untuk ujian
bunyi bising motosikal. Di stesen ini, kami diberikan penerangan mengenai
standard bunyi bising yang dibenarkan. Untuk mengukur bunyi yang dikeluarkan
oleh motosikal, jarak alat mikrofon adalah diletakkan selaras dengan ekzos
motosikal dan pada sudut 45 darjah. Kami dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Alam
Sekitar hanya mempunyai tiga alat Sound Level Meter (SLM). Menurut kakitangan
Unit Kenderaan Bermotor JASM, sekiranya pemeriksaan terhadap motosikal
dijalankan, bekalan kuasa alat ini bergantung kepada bateri.
Demonstrasi
oleh pihak JASM tamat pada pukul 12 tengah hari. Jutaan terima kasih diucapkan
kepada pihak Jabatan Alam Sekitar kerana sudi menerima lawatan daripada IPG.
Pujian diberikan kerana sangat komited terhadap tugas mereka dalam melayan
kami. Sehari lawatan bersama Jabatan Alam Sekitar banyak memberikan pengetahuan baru kepada kami sebagai seorang
bakal guru dan ahli masyarakat. Hasil lawatan ini telah memberikan pendedahan
kepada kami berkenaan dengan pelbagai ilmu tentang teknologi yang digunakan
dalam mengesan pencemaran bunyi, udara, tanah dan air. Kami sebenarnya amat
bertuah kerana berpeluang melihat demonstrasi oleh Pihak Jabatan Alam Sekitar
dalam mengesan pencemaran bunyi pada kenderaan motosikal dan teknologi dalam mengesan asap petrol dan diesel.
Melalui demonstrasi tersebut, kami dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana
pencemaran bunyi dan pencemaran udara daripada asap kenderaan yang menggunakan
petrol dan diesel dapat dikesan menggunakan teknologi masa kini.
Demonstrasi penggunaan alat
pengukur bunyi
Selepas
Kami
tiba di kampus IPG pada pukul 12.45 tengah hari pada hari tersebut. Selepas
lawatan selesai, kami telah mengadakan sesi refleksi tentang lawatan yang telah
diadakan. Setiap orang mengemukakan refleksi masing-masing tentang lawatan yang
telah dijalankan ke Jabatan Alam Sekitar Melaka. Selain itu, pendokumentasian
tentang lawatan juga dilakukan dengan menyediakan laporan berkenaan lawatan
tersebut. Kami selaku jawatankuasa yang terlibat di dalam lawatan tersebut juga
mencetak gambar-gambar sepanjang lawatan untuk tujuan pelaporan.
Sesi bergambar selepas demonstrasi
Lawatan ke Jabatan Alam
Sekitar yang berada di dalam Menara Persekutuan
No comments:
Post a Comment